Tuesday, 16 June 2015

Hadith al-Jariah

Posted by: bankwahabi | Disember 25, 2006

Jelaskan Maksud,Makna,Syarahan Hadith al-Jariah.

Bismillahhirrahmanirrahim.

Alhamdulillahhirabbil Alamin, Wa Usholli Sholatan Ala Habibina Wa Syafi’una Wa Maulana Muhammad Rasulullah Sholawatuhu Wa Salamuhu Alaih…

Segala pujian bagi Allah Rabbul Jalil.

Penjelasan yang saya ingin utarakan ini adalah antara permasalahan hadith yang masyhur dikalangan ahli-ahli Tauhid@Ulamak Usul Tauhid.Hadith ini juga telah diguna pakai oleh golongan yang mahu menegakkan kebenaran bahawa Allah itu bertempat; mereka itu adalah golongan Salafi Mua’shorah/Wahabiyyah dan juga pengikut Ibn Taimiyyah, Hasya Lillahiantakuna Lahu Makanun.

Sebelum saya memulakan penjelasan ini, saya mahu sahabat-sahabat melihat penerangan matan hadith dan penjelasannya di blog CD Abu Muhd.Rafa’ahullah hu Sya’nuhu. Alhamdulillah penerangan CD Abu Muhd sangat mantap dan jelas pada kita semua. Dan saya juga memohon CD Abu Muhd perbetulkan jika terdapat kesilapan. Syukran. http://bahrusshofa.blogspot.com/2006/12/hadits-jariah-imam-muslim.html

Selain itu, penjelasan ini bukanlah datang dari saya sendiri dengan hanya membaca kitab-kitab, tetapi penjelasan ini datang dari Masyayikh Ahlul Hadith dan Ahlul Usul.

Soalan: Jelaskan Maksud Hadith Al-Jariah.

Jawapan:

Hadith Jariah ini adalah hadih Mudtharib(1). Dan Ketepatan makna Hadith ini bukanlah maknanya Allah tinggal/menetap/berada di langit seperti yang disangka-sangka oleh kaum juhala’ dengan ilmu mushtolah hadith. Imam An-Nawawi telah berkata dalam syarahnya pada Shohih Muslim(2) dan Hadith ini secara Khusus: Perkataan di mana Allah adalah pertanyaan tentang Darjat(al-Makanah) dan bukanlah tentang tempat(al-Makan). Maksudnya Apakah I’tiqad kamu daripada daripada kebesaran Allah, dan kata Jariah(hamba) itu di langit adalah bermaksud: Allah yang maha Tinggi kuasanya. Tidak boleh kita beri’tiqad bahawa Rasulullah bertanya pada hamba tersebut tentang tempat bagi Allah dan tidak boleh juga kita beri’tiqad bahawa hamba tersebut maksudkan Allah tinggal di langit. Hasya Lillahi Antakuna lahu Makanun.

Imam Ali Karramallhuwajhah telah berkata, telah disebut dalam kitab Risalah AL-Qusyairiyyah oleh Abi Al-Qasim Al-Qusyairi : Berkata Imam Ali: Tidak boleh kita katakan dimana pada siapa(Allah) yang menciptakan dimana(tempat). Maksud dari kata-kata tersebut, kita tidak boleh meletakkan tempat pada yang menjadikan tempat dan Allah itu adalah tidak bertempat, kerana tempat itu makhluk dan benda baru yang memerlukan permulaan. Dan Allah tidak berhajat pada benda baharu. Maka Allah wujud dengan tidak ada permulaan.

Imam Abu Hanifa telah berkata dalam kitabnya Fiqh Al-Absat : Bahawa (Allah) sebelum wujudnya tempat (makanun), telah wujud (Allah) dan tidak ada langsung tempat atau makhluk dan Allah adalah pencipta kepada segala makhluk. Maksud: Kewujudan Allah adalah sebelum wujudnya apa jua makhluq seperti tempat,sifat, dan segala makhluq yang adanya permulaan.

Allah rabbul Jalil berfirman: ” Laisa Kamithlihi Syaiun ” Surah As-Syura ayat ke 11. Syarah: (laisa) adalah alat penafian dalam bahasa arab. (Ka) memberikan faedah (ta’kid) menguatkan penafian pada alat nafi tadi. (mithlihi) sepertiNya-Seperti Allah. (Syaiun) makna lafaz-sesuatu. Syaiun didatangkan dengan lafaz (nakirah) umum. Dalam bahasa arab penggunaan perkataan nakirah memberikan maksud dan faedah umum lafaz itu. Dengan itu penafian di sini memberikan maksud yang syumul kepada persamaan Allah dengan apa jua perkara/benda/makhluq, samada boleh dilihat atau tidak dapat dilihat, samada terlintas pada minda manusia atau tidak.

Dalam Hadith Shohih al-Bukhari “Kana Allah wa lam yakun syaiun ghairuhu” . Mafhumnya: Telah wujud Allah dan tidak ada apa jua yang wujud selain Allah. Dalam hadith ini juga penggunaan Syaiun adalah dengan shighah nakirah(lafaz nakirah) yang memberikan maksud umum sesuatu benda. Dengan itu tidak ada langsung pengkhususan pada hadith tersebut. Kaedah: Penafian pada umum menyebabkan ternafinya apa jua yg khusus.

…………………………………………………………………………………………………………………………………………

Syarah:

(1) Penjelasan maksud hadith Mudtharib. Hadith mudtharib ini adalah disebabkan salah satu dari dua perkara.

Pertama: kerana hadith ini telah diriwayatkan dengan pelbagai lafaz dimana lafaz antara satu sama lain ini berlawanan dengan lafaz yang lain. Maka hadith ini jatuh pada hadith mudtharib.

Takrif makna Hadith Mudtharib: Telah berkata Al-Hafiz Al-Iraqi dalam kitab Fath al-Mughith pada Syarah Alfiyyah Mustholah Al-Hadith : Hadith Mudtharib adalah hadith yang berbeza perawi pada hadith itu atau satu rawi(periwayat) tetapi dengan beberapa lafaz yang berbeza. Pada satu masa diriwayatkan dengan lafaz ini dan riwayat kedua dengan lafaz yang berbeza.. Maka hadith tersebut dikira Mudtharib walau pun berbeza hanya dengan dua periwayat. Mudtharib ini boleh berlaku pada dua tempat, pertama pada matan hadith dan kedua pada sanad hadith. Dan dinamakan juga Hadith Mudtharib jika dua riwayat yang berbeza tetapi sama shohihnya pada hukum hadith itu. Maka riwayat pertama tidak boleh dikatakan lebih shohih dari yang lain.(lam tatarajjah ihdahuma ala akhar)

Dan sekiranya satu hadiith lebih arjah/lebih shohih dari satu yang lain sama taraf dengannya adalah disebabkan perawinya lebih banyak menghafaz hadith atau lebih rapat mengenali orang yang dia ambil hadith itu atau apa jua sebab yang boleh mentarjihkan satu hadith itu. Maka hadith yang tergolong dari golongan arjah itu tidak dikatakan mudtharib. Bahkan boleh diguna pakai untuk membuat hukum.

Tambahnya lagi, Hadith mudtharib ini hukumnya dhaif kerana ketiadaan dhabt(jatuh salah satu dari syarat hadith shohih) perawi atau ruwat(banyak rawi)

Kedua: Riwayat hadith ini (aina Allah) bercanggah dengan Usul, kerana daripada usul Syariah (usul Tauhid), kita tidak menghukum seseorang itu Islam dengan hanya dia berkata Allah di langit.Hal demikian adalah kerana perkataan tersebut bersamaan dengan kaum kuffar seperti Yahudi dan Nasrani yang mengaku bahawa Allah itu di langit. Oleh itu, ilmu Usul yang telah masyhur dan maklum bagi jumhur ulamak Usul dan umumnya kaum muslimin bahawa apa yang telah diriwayatkan pada Hadith Mutawatir (hadith yang diriwayatkan oleh lebih 15 orang shohabat). Hadith tersebut “Aku diperintahkan untuk memerangi/membunuh manusia sehingga dia mengucapkan bahawa Tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad peusruh Allah”. Dengan itu pengislaman seseorang itu bukanlah dengan hanya berkata Allah di langit atau menunjukkan Allah di langit. Kalau dilihat umumnya kebanyakkan kaum kuffar mendakwa Allah berada di langit.

2) pada muqaddimah shohih muslim, Imam Muslim radhiallahuanhu telah berkata “aku telah bawakan dan bentangkan kitab ini(shohih muslim) pada sesetengah al-Huffaz, maka ada hadith yang telah diterima dan ada juga ditolak oleh mereka.” Imam muslim tidak menyatakan mana yang shohih dan dhoif. Dengan itu, kita tidak boleh nafikan bahawa hadith ini antaranya.

Faedah: Jika ditanya bagaimana boleh hadith yang diriwayat oleh Imam Muslim ini ditolak, sedangkan Kitab Shohih Muslim ini telah disepakati dengan keshohihannya. Maka jawabnya: sesungguhnya ada beberapa hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim telah ditolak oleh Ulamak-Ulamak Hadith. Mereka telah sebukan dalam kitab mereka.

Faedah: Jika kita lihat hadith ini pada zahir lafaznya sahaja, maka zahir hadith ini terbatal, kerana berlawanan dengan hadith mutawatir yang telah disebutkan sebentar tadi. Ulamak-ulamak Usul Hadith dan usul tauhid bersepakat bahawa hadith yang bercanggah dengan hadith mutawatir(diriwayatkan oleh lebih 15 shohabat) adalah batal hadith tersebut jika tidak MENTAKWILKAN hadith tersebut sepertimana Imam An-Nawawi takwilkan.

Maka telah sepakat ulamak dalam mentakwilkan hadith ini dan begitu juga pada hadith lain yang mesti ditakwilkan.

Faedah Penting: Di sini ada dua hadith yang boleh menolak dakwaan Wahabiyyah.

1) telah diriwayatkan dalam shohih bukhari yang mafhum hadith ini “jika seseorang berada dalam sholat dan memohon hajat pada Allah, janganlah kamu meludah pada kiblatnya tidak juga pada sebelah kanannya, kerana sesungguhnya Allah itu berada di antaranya dan di antara kiblatnya ” dan hadith ini lebih kuat sanad dia daripada hadith jariah. Maksud hadith ini: rahmat Allah berada di depan kamu.

2) telah dikuarkan oleh imam al-Bukhari juga dari Abi Musa Al-As’arie radiallahuanhu: sesunggunya Rasulullah telah bersabda: rendahkan suara kamu sesungguhnya kamu tidak berdoa meminta pada yang pekak lagi ghaib, tetapi kamu meminta/berdoa pada Allah yang Maha mendengar dan lagi dekat pada hambanya, dan Allah yang kamu minta itu adalah lebih dekat dari tengkok/leher kamu”. Maksudnya, Allah itu amat dekat pada hambanya, dan dekat di sini tidak bermaksud tempat.

Maka kita katakan pada mereka (wahabiyyah salafiyyah) ,

JIKA KAMU AMBIL HADITH JARIAH PADA ZAHIR LAFAZNYA SAHAJA DAN DUA HADITH YANG TERSEBUT PADA ZAHIRNYA JUGA, MAKA DENGAN ITU TERBATALLAH DAKYAH/SANGKAAN /KATA-KATA KAMU BAHAWA ALLAH ITU BERADA DI LANGIT.

JIKA KAMU MENTAKWILKAN DUA HADITH TERSEBUT TANPA MENTAKWILKAN HADITH JARIAH, MAKA INI ADALAH SATU PERKARA YANG MEMBERI HUKUM TANPA DALIL(AL-TAHAKKUM). SEBAB KAMU MENGKHUSUSKAN TAKWIL PADA SATU HADITH DAN TIDAK PADA YANG LAIN.

PERINGATAN: DENGAN ITU BENARLAH PADA KAMU KATA ALLAH PADA KAUM YAHUDI “ADAKAH KAMU BERIMAN PADA SESETENGAH KITAB DAN TIDAK BERIMAN PADA SESETENGAH YANG LAIN” AL-BAQARAH 85.

Selain itu, apakah akan kamu katakan pada ayat al-Quran “di mana kamu berada hadapkanlah pada muka Allah” ….jika kamu takwilkan ayat ini kenapa tidak pada hadith jariah…Tafsir ayat ini telah datang dari Mujahid anak murid Ibn Abbas radhiallahu anhu – wajhullah-bermaksud qiblat Allah- iaitu pada ketika solat nafilah pada ketika bermusafir dan di atas tunggangan.

Adakah pentakwilan itu digunakan hanya semata-mata menyokong dakyah sesat?atau menyokong benang yang basah?atau membenarkan perkara yang jelas bukti kukuh salah idea mereka?

Pada mereka yang ingin menegakkan pandangan wahabiyyah/salafiyyah yang dholal ini dinasihatkan agar tidak berbuat demikian kerana saya tidak akan melayan apa jua dakyah wahabiyyah.

Semoga Allah memberi hidayah pada mereka yang sentiasa mengaharapkan hidayah Allah dan pada mereka yang sentiasa mencintai kebenaran dan membenci kesesatan.

Yang baik itu datangnya dari Allah, dan yang salah silap lemah itu sifat saya seorang insan. Moga Allah merahmati dan memasukkan saya sekeluarga dalam jannah ridhwanullah alaihim ajmain.

Wallahu a’la wa a’lam.

No comments:

Post a Comment