“Ya Allah berikanlah selawat kepada penghulu kami Nabi Muhammad yang membuka apa yang tertutup dan yang menutupi apa-apa yang terdahulu,penolong kebenaran dengan kebenaran yang memberi petunjuk ke arah jalan yang lurus. Dan kepada keluarganya, sebenar-benar kemuliaan padanya dan kedudukan yang amat mulia.”
Asal Usul Selawat Fatih
Selawat al-Fatih adalah salah satu ciri khas dari Tarekat Tijani. Di antara keistimewaan selawat Fatih ialah lafaznya yang tidak menyimpang dari ayat atau kandungan Al Quran, tetapi harus diingat bahawa Selawat al-Fatih bukan sebahagian dari ayat Al quran.
Syeikh Ahmad Tijani ra. belum pernah memberi suatu pernyataan sedikitpun bahawa Selawat al-Fatih itu sebahagian dari ayat Al-Quran, kitabullah, hadis qudsi atau wahyu kenabian. Cuma dinyatakan konteksnya adalah tidak lari dari kandungan ajaran al-Quran dan Hadis.
Beliau juga tidak pernah menyatakan Selawat al-Fatih lebih utama dari Al-Quran atau mengimbanginya. Tidak ada satu kalam pun yang melebihi Al Quran, begitulah yang ditegaskan oleh Syeikh Ahmad Tijani.
Maksud Selawat Fatih ialah Selawat Pembuka.
Kisah Selawat Fatih
Setelah 16 tahun (1180-1196 H) dalam usia 46 tahun Al-Qutbul Maktum Asy- Syeikh Ahmad bin Muhammad bin Asy-Syarif Al-Hasani At-Tijani ra. berjumpa Sayyidul Wujud SAW dalam keadaan jaga tidak dalam tidur/mimpi dan diberi ijazah Selawat Al-Fatih dan diberi penjelasan tentang pahalanya, fadhilat, faedahnya dan keistimewaannya juga tingkatan memberi ijazah pada orang lain.
Huraian Makna Selawat Fatih:
Yang membuka apa yang tertutup
– Dunia ini asalnya tidak ada dan masih tertutup. Maka dijadikan dunia ini adalah disebabkan wujudnya Nabi Muhammad SAW. Kalaulah tidak ada Nabi Muhammad SAW tidaklah akan wujud dunia ini. Allah menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai rahmat bagi sekalian alam.
Rahmat dan kenabian bagi sekalian makhluk termasuk manusia, jin dan binatang. Hati manusia juga pada mulanya tertutup dengan syirik, tertutup dengan kezaliman dan kejahilan.
Iman, Islam dan akhlak tertutup, semuanya itu dibuka oleh Nabi Muhammad SAW dengan dakwah yang berpandukan kitab Al Quran. Terbukalah kebenaran akidah dan syariat Islam, terbukalah akhlak dan budi pekerti yang luhur, terbukalah keadilan sosial dan terbukalah sebuah negara Islam yang dipimpin oleh Nabi Muhammad SAW yang membuka apa yang tertutup.
Dan penyudah (penamat) apa yang telah lalu
– Tidak ada Nabi lagi sesudah Nabi Muhammad SAW Juga sebagai penutup berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj dan penutup kitab suci Al Quran
Dan yang menolong kebenaran dengan kebenaran
– Pertolongan Nabi Muhammad SAW yang benar ialah Al Quran. Di dalamnya mengandungi segala kelengkapan termasuk akidah, syariat, akhlak, ibadat, bermasyarakat bernegara, falsafah dan mistik. Manusia tidak akan mengetahui kebenaran tersebut tanpa pertolongan Nabi SAW .
Dan yang menunjukkan jalan-Mu yang lurus
– lalu yang ditunjukkan oleh Nabi SAW adalah jalan yang lurus, betul dan tegak. Ertinya jalan yang lurus itu adalah ialah jalan Islam, jalan selamat sejahtera dan bahagia. Mustakim selain dari makna lurus boleh diertikan yang tetap dan teguh pendirian dalam melaksanakan perintah Allah. Selain dari Nabi SAW penolong kebenaran ia juga memimpin. Memipin ke jalan yang lurus sejahtera dan selamat.
.