Thursday, 26 October 2017

Islam Itulah Kebenaran Hakiki: Jawapan untuk penganut Agama Liberal

Kesimpulannya, nilai kebenaran bertitik tolak dari neraca apa yang diguna pakai. Kerana Islam itu sempurna dan menyeluruh, tidak ada kebenaran lain yang boleh mengambil tempat Islam sebagai satu kebenaran hakiki.

Jika LGBT itu kebenaran kerana memenuhi kehendak manusia atas dasar rahmatan lil ‘alamin, maka terputuslah deen sedari zaman Nabi Lut sehingga hari ini. 

Jika pluralisme agama itu kebenaran atas asbab yang sama, maka Nabi telah menolak kebenaran apabila ditawar oleh kaum Musyrikin untuk bertukar-tukar ibadah secara bergilir. 

Jika menggadai kedudukan Islam itu kebenaran kerana ia memenuhi kehendak masyarakat majmuk, maka tidak perlulah Nabi diutuskan untuk membina umat yang bersatu atas nama Islam di bawah kekuasaan kerajaan Islam.

July 21, 2014

Islam Itulah Kebenaran Hakiki – Danial Ariff Shaari


Saya tersentak dengan beberapa kenyataan rakan-rakan berkenaan status Facebook saya baru-baru ini. Komen dan pandangan yang dikongsi membuatkan saya terfikir apakah sebenarnya fikrah atau cara fikir anda berkenaan isu yang saya bincangkan, atau berkenaan apa-apa isu secara amnya.

Berikut adalah salah satu komen tersebut;

My point is, apakah disebabkan sesuatu agenda itu tidak dilabel Islam, dan tidak pula secara spesifik mengekstrak isi kandungannya dari sumber Islam, maka, ia secara tidak langsung terbatal sebagai sesuatu yg benar. Bukankah sifat Al-Amin Muhammad itu mendahului turunnya wahyu?

Antara persoalan awal saya, apakah maksud kebenaran yang ingin dibincangkan? Apakah dasar atau neraca yang menjadikan sesuatu itu sebagai suatu kebenaran? Siapakah pula yang menentukan kebenaran?

Kenyataan tersebut tidak menjawab bahkan sangat subjektif. Kebenaran itu sendiri subjektif.

Namun sebagai umat Islam, sebagai seorang Muslim, saya tidak dilarang bahkan menjadi kewajipan untuk mengatakan bahawa Islam itulah kebenaran hakiki. Firman Allah dan Sunnah-sunnah Nabi yang menjadi rujukan itulah sumber rujukan untuk menentukan kebenaran, dan apa-apa yang bertentangan dengan sumber-sumber ini adalah secara jelas dan mudah difahami sebagai kebatilan yang tertolak daripada Islam.

Persoalan seterusnya, jika kebenaran itu bukan pada firman Allah dan Sunnah-sunnah RasulNya, apakah fungsi sebenar Allah mengutuskan Rasul-Rasul pada permulaannya? Allah berfirman bahawa penciptaan manusia itu tidak sia-sia, dan Allah juga berfirman bahawa Rasul-Rasul diutuskan untuk menunjuk jalan ke arah syurga melalui jalan-jalan kebenaran di bawah naungan Islam.

Jika anda merujuk kepada kehidupan sebelum zaman Nabi Muhammad bahawa kebenaran sudah pun wujud ketika itu, di mana Nabi Muhammad sudah pun digelar sebagai al-Amin, ya saya dan kita akui ia adalah kebenaran dan satu sifat yang terpuji. Namun, apakah anda menolak keistimewaan Nabi Muhammad sebagai pesuruh Allah yang dijaga oleh Allah sedari kecil untuk memastikan kejayaan dakwah Nabi menjayakan misi yang sama dengan Nabi Adam? Apakah anda terlupa akan kisah malaikat membelah dada Nabi dan menyuci hati Nabi? Adakah ini dikira kebenaran pada kaca mata Quraisy?

Kerana Qaum Quraisy mengatakan bahawa itu hanyalah dongengan, rekayasa semata-mata ataupun sihir yang terkutuk. Jika anda sendiri mengatakan ia adalah kisah benar, atau ia satu kebenaran kerana anda adalah seorang Muslim dan kerana anda seorang umat Nabi Muhammad, maka anda perlu terima kebenaran al-Quran dan as-Sunnah. Jadi mengapa perlu rujuk kebenaran lain selain merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah?

Jikalau anda mengatakan bahawa sifat amanah sebagai satu kebenaran itu wujud sebelum misi dakwah digalas ke atas bahu Nabi sekalipun, kedatangan Islam itu menyempurnakan kebenaran yang ada. Sabda Rasulullah mafhumnya, Nabi diutuskan untuk menyempurnakan akhlak sahabat-sahabatnya. Sememangnya ada di antara sahabat-sahabat yang sudah berbuat kebajikan sebelum memeluk Islam lagi, namun ia masih kekurangan aspek yang penting dalam kehidupan sebagai orang Islam iaitu lafaz syahadah dan kesaksian ke atas aqidah yang menjadi neraca dalam setiap perkara.

Atau jika kita mengatakan bahawa kebenaran itu sudah wujud bahkan sebelum diturunkan wahyu, anda perlu mengambil kira kronologi penciptaan manusia. Manusia terawal yang dicipta adalah Nabi Adam, seorang pesuruh dan hamba Allah. Sedari penciptaan Nabi Adam sudah wujud kebenaran, dan satu-satunya kebenaran itu adalah kebenaran deen yang mentauhidkan Allah.

Deen itulah yang menuntut manusia menjadi hamba kepada Allah, dan deen itulah yang menuntut manusia menyampaikan risalah deen kepada manusia keseluruhannya agar semua manusia tunduk kepada Allah. Ini adalah dasar kebenaran yang tidak boleh disangkal dan inilah neraca kebenaran yang sekian lama ditinggalkan.

Nabi Adam itu pesuruh Allah, dan ahli keluarganya adalah masyarakat yang menjadi sasaran dakwahnya. Dan risalah atau deen tersebut diteruskan dari zaman ke zaman sehinggalah diutuskan Nabi Muhammad di mana sebelum kewafatannya Allah sudah mengisytihar bahawa telah sempurna deen Islam dan Allah redha Islam itu satu-satunya deen atau cara hidup, fikrah atau neraca bagi manusia. Walaupun syariat di setiap zaman ketika Nabi dan Rasul diutuskan, namun dalam sudut deen, aqidah, visi dan misi tetap sama, iaitu menyampaikan risalah yang menundukan system kehidupan manusia kepada Allah dan Islam.

Inilah pegangan seorang Muslim dan umat Islam. Inilah kebenaran hakiki.

Jika kita mengambil contoh sejarah atau seerah, kaum Musyrikin mempunyai budaya kehidupan jahiliyyah, membunuh anak perempuan, berjudi, memakan harta anak yatim, perhambaan dan penindasan, saling berbunuhan dan semangat asobiyyah antara qabilah sehingga memusuhi bangsa sendiri, bagi mereka itulah kebenaran dan kebenaran ini ditentukan oleh kaum Musyrikin sendiri. Kerana bagi mereka, itulah kebenaran kerana mengikut amalan nenek moyang, itulah kebenaran kerana itulah yang diamalkan majoriti masyarakat.

Oleh sebab itulah mereka memerangi Nabi kerana Nabi membawa sesuatu yang bercanggah dengan sistem kehidupan mereka. Jadi, yang mana satu kebenaran? Siapa penentu kebenaran? Apakah pula neraca kebenaran yang dibawa Nabi? Jawapan ada pada diri anda. Kerana akhirnya jahiliyyah tidak boleh bersama dengan Islam, begitulah sebaliknya.

Jika kita menyingkap pula sejarah kejatuhan khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1924 yang menjadi syiar kekuasaan dan kedaulatan Islam, apakah dia kebenaran? Menegakkan khilafah semula, atau tiada keperluan kerana sistem kenegaraan sudah cukup baik kerana terdapat nilai Islami dalam pentadbiran negara walaupun tidak kesemuanya? Apakah pula justifikasi kita terhadap penggulingan khalifah itu sendiri pada 1924? Adakah ia satu kebenaran? Kerana jika melihat dari kata mata selain Islam, ia adalah kebenaran dan kebenaran ini ditentukan oleh golongan yang mahu menundukan Islam yang dipelopor Barat.

Kesimpulannya, nilai kebenaran bertitik tolak dari neraca apa yang diguna pakai. Kerana Islam itu sempurna dan menyeluruh, tidak ada kebenaran lain yang boleh mengambil tempat Islam sebagai satu kebenaran hakiki.

Jika LGBT itu kebenaran kerana memenuhi kehendak manusia atas dasar rahmatan lil ‘alamin, maka terputuslah deen sedari zaman Nabi Lut sehingga hari ini. Jika pluralisme agama itu kebenaran atas asbab yang sama, maka Nabi telah menolak kebenaran apabila ditawar oleh kaum Musyrikin untuk bertukar-tukar ibadah secara bergilir. Jika menggadai kedudukan Islam itu kebenaran kerana ia memenuhi kehendak masyarakat majmuk, maka tidak perlulah Nabi diutuskan untuk membina umat yang bersatu atas nama Islam di bawah kekuasaan kerajaan Islam.

Danial Ariff Shaari
Aktivis ISMA

No comments:

Post a Comment