Pabila kaduk naik junjung
Sedar diri sedikit Hindraf. Tidak cukup lagikah dengan universiti India dan Cina?
SELEPAS PH mencapai kejayaan PRU14 dan berjaya membentuk kerajaan, kedengaran suara-suara sumbang dan desakan demi desakan daripada golongan minoriti atau ultra kiasu yang sangat menyakitkan hati. Ia sama sekali bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Mereka mahukan keadilan. Ya… semua mahukan keadilan. Tidak berkecuali. Tetapi keadilan bukan ‘fair and square’, sama rata dan sama rasa atau seorang sebiji. Keadilan adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya, atau memberikan hak kepada yang berhak. Jika tidak faham lagi, mari berjumpa saya.
Inilah akibat apabila kaduk sudah naik junjung. Mereka terlebih perasan bahawa kejayaan PH pada PRU14 adalah kerana undi mereka. Maka masa inilah mereka mahu menuntut segala yang selama ini terbuku di hati.
Saya semakin lemas apabila Hindraf mula mendesak supaya diwujudkan tanah rancangan seperti Felda untuk orang India, membuka UiTM untuk orang India dan lain-lain lagi. Sedar diri sedikit Hindraf. Jika tidak faham erti syukur mari saya ajarkan. Tanah rancangan Felda memang ada orang India yang susah. Pergilah banci tengok.
Saya sudah cukup masak dengan strategi ultra kiasu, mereka akan desak dan tuntut seekstrem-ekstremnya. Mereka tahu ia tidak masuk akal, rakyat (pribumi) akan marah memberontak. Namun, mereka tahu kerajaan sentiasa mendengar. Mereka tahu kerajaan tidak akan memenuhi sepenuhnya tuntutan ekstrem itu.
Tetapi, mereka amat yakin kerajaan akan beri sedikit. Pemberian sedikit itulah kejayaan terbesar mereka. Itulah strategi ultra kiasu yang sebenar sejak dahulu saya perkatakan. Apakah kita buta dengan permainan licik ini?
Tidak cukup lagikah dengan universiti India yang sedia ada seperti AIMST di Merbok kepunyaan orang India (MIC). Begitu juga universiti kepunyaan orang Cina seperti KUTAR (MCA), UTAR (MCA), Universti Terbuka Wawasan (Gerakan), Kolej Universiti New Era dan lain-lain universiti swasta berasaskan etnik. Tidak ada negara di dunia ini yang memberikan kemudahan sebesar ini. Nak buat macam mana. Malaysia boleh!
Tidak ketinggalan, begitu juga dengan kuil Hindu yang berselerak hampir 300,000 buah di seluruh negara, 10 kali ganda surau dan masjid. Ini belum campur rumah ibarat lain yang menghampiri 500,000 semuanya. Masih tidak cukup lagi kah? Itu pun masih kedengaran, janji Ketua Menteri Sabah yang baharu berkata, lebih banyak gereja akan dibina di Sabah.
Saya pergi ke Sabah, saya jumpa setiap satu kilometer akan ada gereja. Masih tidak cukup? Apa sebenarnya yang berlaku?
Saya menjadi semakin keliru. Baik sungguh orang Islam (Melayu), mereka tidak akan bina surau atau masjid jika tidak ada penghuni. Ini tidak, kadangkala kita lihat penghuninya boleh dikatakan tiada, tetapi rumah ibarat berselerak. Lebih lucu lagi, jalan yang lurus terpaksa dibengkokkan kerana memberi laluan kepada kuil. Apakah semua ini?
Apabila surau atau masjid menghalang pembangunan atau jalan raya, mudah sahaja dirobohkan. Tetapi apabila kena kepada bukan Islam, tidak boleh dirobohkan atas nama hak asasi manusia. Jika dirobohkan juga, maka berkokoklah ultra kiasu ini memberitahu dunia, betapa zalimnya Malaysia kerana tidak menghormati hak asasi manusia. Hak asasi apa ni? Hak asasi tahi kucing?
Bertindaklah mengikut landasan apa yang betul, apa yang salah berteraskan keadilan, bukan siapa yang betul, siapa yang salah? Inilah budaya politik kita yang masih belum matang. Nak maju macam mana?
Sebab itu, saya teruja dengan kenyataan Presiden PAS dalam wawancara bersama Astro Awani, yang memuji tindakan parti DAP yang matang apabila tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang berisiko menjejaskan keharmonian umat Islam selepas PRU14 baru-baru ini.
Ini suatu perkembangan yang positif apabila parti komponen PHn itu tidak lagi mengeluarkan kenyataan-kenyataan menyentuh berhubung hak masyarakat Islam, walhal mengetahui mereka tidak berhak untuk bercakap mengenainya.
Beliau juga menyatakan, tidak ada masalah untuk PAS bekerjasama dengan DAP sekiranya veteran DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menghulurkan tangan kepadanya. Katanya, PAS menerima semua dan mengamalkan prinsip taawun, iaitu kerjasama ke arah kebaikan dan tidak bekerjasama dalam perkara yang tidak baik. Ini baharu betul matang.
Saya juga berharap ucapan Naib Presiden Pas, Mohd Amar, diambil di luar konteks yang mengatakan, biar PH tanggung hutang UMNO sekarang ini, bila dah bersih semuanya nanti, 5 tahun datang, barulah mudah untuk PAS mengambilalih. Jika benar, ia amat menyedihkan, seolah-olah memperlihatkan kita tidak mahu mengambil tanggungjawab.
Ketika PAS mengambilalih Kelantan suatu ketika dahulu dan kini Terengganu daripada BN (UMNO), adakah PAS akan berkata, masalah atau hutang yang dicipta oleh BN dahulu kita biarkan sahaja. Tidak perlu bayar hutang tersebut kerana bukan kita punya. Ternyata PAS tidak berkata sedemikian. Inilah integriti namanya. Saya tabik PAS.
Kita perlu mengambil tanggungjawab apabila kerajaan berubah terajunya. Hutang tetapi hutang, menjadi tangungjawab kita untuk melangsaikannya, tidak kiranya siapa yang memulakan hutang tersebut. Dengan sebab itu, saya tabik kerajaan yang diterajui oleh PH mengambil pelbagai inisiatif untuk melangsaikan hutang kerajaan BN sebelum ini.
Tetapi, biarlah telus, bukan tujuan untuk membalas dendam. Beritahu keadaan sebenarnya. Benarkah hutang kerajaan diterajui BN dahulu melebihi satu trilion? Bentuk hutang yang bagaimana sehingga melebihi satu trilion. Berterus terang. Ini kerana rakyat sudah pandai menilai.
Saya fikir dalam menjayakan Persekutuan Malaysia, susah senang hari ini kita kena harungi bersama. Negeri-negeri di bawah Persekutuan yang miskin perlu dibantu. Kemiskinan tidak oleh dibiarkan hanya kerana berbeza ideologi politik. Begitu juga perbezaan agama dan bangsa. Ia mesti dibenteras hingga ke akar umbi. Jika Melayu, Cina, India atau lain-lain bangsa miskin, perlu bantuan, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk bantu.
Sama halnya dengan Kelantan dan Terengganu. Jika kedua negeri di bawah Persekutuan ini layak mendapat royalti minyak, berikan. Jangan hukum rakyat Kelantan dan Terengganu, hanya kerana mereka memilih PAS menerajui kerajaan. Rakyat tidak bersalah. PAS pun tidak bersalah. Mereka bergerak dalam ruang lingkup demokrasi.
Rakyat telah memilih atas prinsip demokrasi. Maka hormati pilihan itu. Jangan hukum mereka kerana memilih parti yang berlainan dengan Kerajaan Pusat. Hormati sistem demokrasi berasaskan pilihan raya dalam menentukan kerajaan yang kita pilih. Jika tidak, beralih kepada sistem lain. Islam boleh menjadi alternatif, jika bukan sistem komunis menjadi pilihan.
Bertindaklah mengikut apa yang betul, apa yang salah, bukan melihat siapa betul, siapa salah? Apa yang betul?
Pertama, mereka yang telah terpilih menjadi pemimpin, menteri atau Exco, saudara semua bergelar negarawan. Negarawan tidak boleh lagi melihat kepada parti atau ahli parti sahaja. Tetapi melihat kepentingan rakyat secara keseluruhan. Jika tidak, rakyat akan menghukum kamu pada masa akan datang.
Kedua, rakyat pula hendaklah sedaya upaya membantu kerajaan meringankan beban yang ditanggung. Jika kerajaan hari ini dikatakan dibebani dengan hutang. Bantu bersama. Jika bukan dengan bantuan kewangan kerana tidak mampu, kita boleh membantu dengan cara seperti bekerja keras dan bekerja penuh integriti.
Elakkan terlibat dengan salah laku, rasuah, korupsi, kroni dan sebagainya. Menjadi mata dan telinga kerajaan. Beri kritikan yang membina. Tidak kira datang daripada siapa? Pepatah Cina ada berkata, nak tahu kelemahan tanya musuh, nak tahu kebaikan tanya rakan. Tetapi bukan rakan yang membodek gila-gila kerana mahukan habuan.
Masalahnya, sekarang kita tidak berani menegur kerana takut hilang kepentingan dan jawatan. Saya teruja apabila BN gagal menerajui kerajaan selepas PRU14, terdengar suara-suara sumbang menteri sebelumnya seperti Khairy Jamaludin yang berkata, sebenarnya, sudah lama beliau mahu menegur bekas PM, Najib Razak mengenai masalah 1MDB dan isterinya, Rosmah ketika berkuasa.
Masalahnya, kenapa tidak tegur ketika itu? Kerana takut hilang kuasa kan? Takut dipecatkan? Jika kamu ketika itu sebagai menteri tidak berani menegur, siapalah aku selaku kakitangan atau ‘civil servant’ cabok mampu untuk menegur? Setiap kali kami tegur, akan datanglah surat tunjuk sebab dan tindakan disiplin. Begitulah kuatnya budaya membodek menteri yang berlaku dahulu. Saya harap ia tidak berlaku lagi masa kini.
Sudahlah Khairy, saya kenal siapa kamu? Dahulu saya pernah mengkritik kamu ketika kamu berkuasa, kamu mempersoalkan aku dengan berkata siapa aku? Sehingga aku dikenakan tindakan disiplin. Tidakkah sebaik-baiknya kamu panggil aku untuk dapatkan penjelasan.
Tetapi kamu gunakan kuasa kamu sewenang-wenang. Aku terkapai-kapai berhadapan dengan tindakan disiplin. Sekarang, siapa kamu? Siapa aku? Sudahlah. Apapun, aku masih menghormati kamu, selagi kamu sedar akan kesilapan kamu. Maaf, saya masih menggunakan perkataan siapa?
Sebelum ini, kamu juga berkata, jika nak hapuskan sekolah vernakular, maka sekolah agama mesti juga dihapuskan. Begitu juga pandangan kamu mengenai Dasar Ekonomi Baharu dan hak-hak istimewa orang Melayu. Kamu tidak percaya, betapa orang Melayu masih perlukan tongkat, sebab kamu lahir sahaja sudah bertongkat.
Pergilah ke ceruk kampung dan desa, lihat betapa daifnya mereka. Pada semua tongkat perlu dibuang, kembali kepada ‘fair and square’. Di sinilah salahnya kamu dalam menilai maksud adil.
Saya tegaskan di sini, adil bermakna meletakkan sesuatu pada tempatnya, memberikan hak kepada yang berhak atau bahasa lain, diskriminasi perlindungan itu juga adil. Jika Melayu masih perlu hak istimewa, berikan selagi mana tidak disalahgunakan. Bukan hapuskannya, kerana ia termaktub dalam Perlembagaan Perkara 153.
Itu bukan bermakna bangsa lain, yang tidak disebutkan dalam Perlembagaan berkaitan hak istimewanya tidak perlu dibantu. Bantulah kerana Islam adalah agama yang adil. Tetapi dengan berkata, hapuskan hak istimewa itu, maka tidak adil namanya.
Diskriminasi perlindungan dipraktikkan di merata tempat, bukan hanya di Malaysia. Lihat contoh di India. Moga Hindraf buka mata.
Perkara 46 Perlembagaan India menghendaki kerajaan memberikan perlindungan yang istimewa untuk kepentingan pelajaran dan ekonomi sesuatu kumpulan yang mundur (India). Contohnya, keutamaan dalam lantikan dalam perkhidmatan tertentu seperti kereta api, pos, kastam dan perkhidmatan telegraf.
Diskriminasi perlindungan itu dibuat bagi tujuan:
Pertama, ia dilakukan bagi membetulkan semula ketidakseimbangan politik di sesebuah negara yang rakyatnya bersifat majmuk dan baharu merdeka;
Kedua,diskriminasi perlindungan diberi kepada golongan minoriti supaya kepentingan mereka dapat dipertahankan daripada ditenggelami majoriti;
Ketiga, Perlembagaan memberi keutamaan kepada kumpulan yang telah merasai dan mengecapi keistimewaan itu sebelumnya; dan
Keempat, disebabkan oleh kompromi di antara kaum atau kumpulan tertentu ketika Perlembagaan digubal.
Cuba bandingkan dengan situasi di Malaysia? Masih tidak faham? Adakah ini bukan adil namanya. Ironinya, kenapa Hindraf tidak nampak semua ini. Malah, tidak mengaku pula apabila berita menjadi viral. Buka mata buka minda, mari kita menuju Malaysia baharu, dengan azam baharu.
Jika masih berlaku ketidakadilan, itu bukan salah sistem atau Perlembagaan, tetapi salahnya adalah manusia yang rakus, bernafsu besar dan jauh daripada sifat menjadi negarawan.
Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).
No comments:
Post a Comment