Siapa lebih banyak berkorban dan terkorban
3:13 PM
POSTED BY RIDHUAN TEE
https://www.ismaweb.net/2018/09/03/melayu-bumiputera-lebih-banyak-terkorban-berkorban-pertahan-negara/
SAYA tidak pernah dengar lagi, desakan dan tuntutan Bumiputera Sabah dan Sarawak agar kerajaan mendirikan sekolah berasaskan kaum di sana, seperti sekolah jenis kebangsaan (SJK) Kadazan, Murut, Dayak, Iban, Melanau dan sekolah-sekolah berasaskan kaum yang masih banyak lain di sana.
Bumiputera Sabah dan Sarawak hanya mahukan sekolah aliran kebangsaan. Ini kerana sekolah inilah yang menyatukan mereka selama ini. Saya mohon, agar pemimpin ultra kiasu supaya membuat kajian kenapa perpaduan kaum Sabah dan Sarawak begitu mantap berbanding di Semenanjung.
Puncanya tidak lain, bahasa dan sekolah menyatukan mereka. Jika ada orang, termasuk Ahli Parlimen Cina Sabah dan Sarawak yang tidak fasih berbahasa Melayu, semuanya disebabkan oleh produk yang dikeluarkan oleh SJK Cina (SJKC) dan Sekolah Persendirian Cina di sana.
Sebab itu saya cukup tabik kepada sikap toleransi Melayu dan Bmiputera Sabah, kerana sanggup membenarkan SJKC dan Sekolah Persendirian Cina beroperasi, didirikan dan dibina secina-cinanya di tanah tumpah darah mereka sendiri. Sedangkan, sekalipun Bumiputera di sana tidak pernah menuntut sekolah berasaskan kaum mereka.
Dalam kata lain, bahasa Bumiputera Sabah Sarawak tidak terdarjat, bahasa asing menjadi berdarjat.
Mana kita dapat jumpa toleransi sebegini di dunia ini kecuali di Malaysia. Terima kasih Bumiputera Sabah dan Sarawak. Saya amat menghargai toleransi saudara semua.
Justeru, bersyukurlah. Jangan jadi seperti kaduk naik junjung. Tidak ada negara di dunia ini yang sanggup berkorban, membenarkan bahasa asing berkembang secara akademik, sedang bahasa mereka sendiri seolah-olah merempat di bumi sendiri.
Sebab itu saya mohon Bumiputera Sabah dan Sarawak supaya sentiasa berhati-hati dengan ultra kiasu. Mereka tidak boleh diharap untuk memimpin negara. Saya tidak boleh bayangkan jika mereka ini mendapat kuasa penuh suatu hari ini nanti.
Sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang telah dan akan disambut nanti, sudah sampai masanya perkara ini difikirkan demi masa depan Malaysia yang gemilang.
Ingin saya bertanya, adakah ultra kiasu turut memperjuangkan kemerdekaan Sabah dan Sarawak ketika negeri-negeri ini dijajah sepertimana keadaan yang sama di Tanah Melayu? Kita selalu didendangkan nama Mat Salleh, Antanum, Rentap, Sharif Masahor, Abdul Ghapur, Penghulu Asun dan lain-lain nama Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Adakah nama ultra kiasu turut tersenarai?
Saya berani mengatakan bahawa peranan mereka yang berhijrah dalam memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak, tidaklah sebesar penduduk pribumi atau Bumiputera. Ternyata, Melayu dan Bumiputera lebih banyak terkorban dan berkorban daripada yang lain dalam mempertahankan pertiwi ini.
Selaku orang Cina (Muslim) yang mengkaji sejarah China, saya cukup kagum dengan bangsa Cina (China) ketika berinteraksi dengan alam Melayu (Tanah Melayu) sebelum berlaku penjajahan Barat. Ketika itu, ternyata, orang Cina begitu menghormati orang Melayu.
Begitu juga orang Melayu begitu menghormati orang Cina. Boleh sahaja negara China ketika itu menjajah Tanah Melayu kerana mereka mempunyai armada yang kuat. Tetapi China tidak melakukan sedemikian atas sifat sebagai bangsa yang bertamadun dan mahu terus mengekalkan ketamadunannya itu.
Dalam sejarah China, negara besar ini tidak pernah menjajah negara yang menjadi destinasi persinggahan dalam urusan perdagangan dan pendakwahan. Islam turut disebarkan ke alam Melayu melalui China. Namun, keadaan ini mula berubah apabila pupusnya sistem beraja, dan digantikan dengan sistem komunis 1912.
Apabila orang Cina diresapi dengan ideologi komunis, diikuti dengan penghijrahan besar-besaran berlaku, mereka mula berubah. Islam tidak dapat lagi berkembang di sana. Mereka yang berhijrah turut membawa dan menyebarkan ideologi komunis. Sifat mulia sebagai bangsa yang bertamadun mula pudar dan bermula episod ultra kiasu ini.
Akhirnya, bersempena dengan Hari Kebangsaan ke-61 yang telah disambut dan Hari Malaysia yang akan disambut pada 16 September, marilah kita buang semua sifat ultra kiasu ini.
Berfikirkan untuk membangunkan negara bukan membangunkan bangsa. Kita akan menyesalkan suatu hari nanti jika terus membangunkan bangsa tanpa memperdulikan orang lain, terutama Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak.
Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
No comments:
Post a Comment