PRK RANTAU: APABILA ANWAR IBRAHIM DITIMPA PERASAAN…
1. Anwar Ibrahim bukanlah calon untuk PRK Rantau, namun lagaknya seperti beliau yang bertanding di PRK tersebut. Seperti dijangka, beliau akan membuat apa sahaja bagi menonjolkan dirinya untuk mencari bahan berita. Bagi pengundi DUN Rantau, ingatlah bahawa Anwar Ibrahim adalah orang luar. Calon PKR Dr. Streram juga adalah orang luar.
Jangan perjudikan masa depan DUN Rantau kepada orang luar yang bersifat ‘Touch n Go‘ seperti yang terjadi di Port Dickson (Anwar Ibrahim), Iskandar Puteri (Lim Kit Siang), Mat Sabu (Kota Raja) dan beberapa orang wakil rakyat PH yang lain. Nak nampak muka mereka selepas menang pilihan raya sebulan sekalipun payah!
2. Anwar dan calon PKR kini kepanasan apabila kempen PRK Rantau memasuki minggu kedua. Streram yang terhimpit dengan isu intergriti, terus cuba mengumpan pengundi DUN Rantau dengan janji-janji manis PH-PKR.
Balai Bomba, Pusat Pengajian Tinggi, pembangunan pelancongan, perkhidmatan kesihatan dan banyak lagi pembangunan dijanjikan Dr. Streram. Apakah Dr. Streram telah dilanda sindrom ‘lupa’, atau buat-buat lupa banyak janji-janji manifesto PH semasa PRU lalu masih tidak ditunaikan? Bagaimana janji beliau mahu ditunaikan sedangkan banyak lagi janji lain kepada rakyat Malaysia tidak tertunai?
3. Anwar yang kepanasan kerana terpalit isu cuba merampas kuasa melalui jalan belakang, kini kelihatan sering tersenyum akibat ditimpa perasaan setelah Mahathir memuji Anwar. Anwar tambah ‘perasan’ hingga mengeluarkan kenyataan ‘masuk bakul angkat sendiri’.
Namun jauh di sudut hati Anwar, beliau tahu pujian Mahathir itu mengundang seribu persoalan lain. Anwar pernah melalui detik seperti ini apabila dipuji melambung oleh Mahathir sepanjang Mahathir menjadi PM ke-4. Malahan di saat akhir sebelum dipecat, Mahathir tetap memuji Anwar seorang menteri yang baik dan mereka berkawan rapat.
4. Anwar dipecat Mahathir pada 2 September 1998. Sebelum itu, Anwar sentiasa dipuji Mahathir hingga diberi kepercayaan memangku jawatan Perdana Menteri selama 3 bulan apabila Mahathir pergi bercuti. Pada awal 1998 apabila hubungan Mahathir-Anwar dikatakan mula retak, Mahathir tetap memuji Anwar.
Bahkan ketika sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos 1998 di Pulau Pinang, mereka berdua tetap ‘nampak’ mesra. Masih lagi saling memuji antara satu sama lain di hadapan masyarakat umum. 1 September 1998, dalam satu temuramah dengan media antarabangsa, Mahathir ditanya apakah benar khabar angin beliau akan memecat Anwar, Mahathir menafikan khabar angin tersebut.
5. Mahathir turut memberikan keyakinan beliau tidak akan memecat Anwar dan memaklumkan perbezaan pandangan beliau dan Anwar adalah perkara biasa. Pada siang 1 September 1998 Mahathir memberi harapan, malamnya keadaan amat berbeza. Anwar yang mendapat tahu Mahathir memanggil semua Menteri Besar ke Seri Perdana, cuba menghubungi kebanyakan MB tersebut.
Malangnya panggilan Anwar ke beberapa orang Menteri Besar ketika itu tidak dijawab. Pembantu Anwar juga dikerah menghubungi rakan sejawatan mereka bagi mendapatkan gambaran sebenar, malangnya tetap gagal. Anwar mula menghidu sesuatu yang tidak baik tentang nasibnya.
Esoknya 2 September 1998, sebelum bermulanya mesyuarat kabinet, Anwar berjumpa Mahathir di pejabat Mahathir. Mahathir meminta Anwar meletakkan jawatan Timbalan Perdana Menteri tetapi Anwar enggan. Menjelang jam 3 petang hari tersebut, JPM mengeluarkan kenyataan rasmi Anwar dipecat dari jawatannya berkuatkuasa serta merta.
6. Begitulah puji-pujian Mahathir kepada Anwar pada tahun 1998. Setelah lebih 20 tahun, mereka berdua kembali bergabung sebagai satu pasukan. Dialog lama yang meloyakan kembali diulang mereka berdua. Saling memuji antara satu sama lain. Namun di sebalik pujian, masing-masing menantikan saat yang sesuai untuk saling menikam antara satu sama lain.
Di pusingan kali ini, Mahathir sekali lagi mempunyai kelebihan kerana beliau Perdana Menteri dan punya kuasa. Anwar yang menggunakan Azizah dan Nurul Izzah sebagai perisai tidak punya banyak waktu lagi kerana Mahathir semakin kuat. Sama-sama kita nantikan berapa lama lagikah Anwar akan ditimpa perasaan dan terbuai dengan pujian Mahathir. Jika mengikut perkembangan semasa, apakah insiden 1998 bakal berulang sekali lagi?
Biarkan Mahathir dan Anwar berentap sesama mereka. Moga pengundi DUN Rantau tetap fokus dan memilih Tok Mat Hassan. Usah hanyut dengan janji-janji Anwar yang ‘asyik’ ditimpa perasaan dan Dr. Streram yang dilanda sindrom ‘janji manis’ sebelum pilihanraya…
No comments:
Post a Comment