Memahami agenda Islam liberal
Akar falsafah liberalisme, sekularisme dan humanisme adalah aliran pemikiran yang mempunyai teras yang sangat rapat dengan tamadun Barat.
Ia lahir hasil penolakan orang Barat terhadap institusi gereja pada abad pertengahan.
Prinsip utama liberalisme adalah memperjuangkan kebebasan manusia. Golongan itu mahu manusia bebas dan tidak dikongkong.
Selain itu, tiada sistem nilai, undang-undang dan akhlak yang boleh memaksa mereka berpegang termasuklah agama, mitos dan sistem kepercayaan yang dibawa dalam konteks budaya.
Disebabkan berpegang kepada prinsip dan falsafah kebebasan dan keterbukaan menyebabkan golongan itu bebas menentukan sistem nilai terbaik buat diri mereka dengan menggunakan akal sebagai pertimbangan.
Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik (SYARAK), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr Mohd Farid Mohd Shahran berkata, liberalisme membawa beberapa prinsip penting iaitu apabila diterjemahkan dalam sistem hidup manusia mereka membawa semangat persamaan, kesejagatan (universalisme) dan keragaman (pluralisme).
Menurutnya, istilah liberal juga dikaitkan dengan sikap antifeudal iaitu tidak terikat dengan mana-mana kekuasaan politik.
“Ia dikaitkan dengan sifat rasional, bebas dan berfikiran terbuka. Golongan liberal juga menentang undang-undang yang mengekang mereka bersuara terhadap apa yang mereka mahukan.
“Dari segi ekonomi, liberalisme membawa pendekatan pasaran bebas yang membataskan tanpa campur tangan kerajaan yang memerintah. Dari sudut sosial pula, mereka akan memperjuangkan kebebasan wanita.
“Wanita tidak boleh dikongkong dan sebab itu mereka melihat perkahwinan sebagai satu kontrak (partnership). Apabila berkahwin, golongan itu mahukan hak persamaan iaitu kesamarataan jantina dan penghapusan kawalan terhadap individu.
“Dalam konteks agama, sudah pasti liberalisme mempunyai agenda khusus. Bagi mereka, agama menjadi punca mereka disekat serta dicengkam selama ribuan tahun oleh kelompok yang dikatakan sebagai institusi agama,” katanya.
Beliau berkata, liberalisme juga menganjurkan agama itu adalah kebebasan menganut, meyakini dan mengamalkan apa saja yang sesuai dengan kehendak dan selera masing-masing.
“Agama tidak boleh ditentukan oleh kuasa mutlak yang akhirnya membataskan kebebasan manusia. Kalau hendak beragama, agama itu perlu bebas membuka ruang bagi mentafsirkan sumber agama dari sudut pandang apa sekalipun.
“Mereka akan menyempitkan ruang agama sehingga tidak boleh dibawa dalam politik, ekonomi mahupun pendidikan. Agama hanya boleh tinggal di tempat ibadat dan rumah.
“Apabila sampai dalam konteks umat Islam, kita melihat ada kelompok yang cuba membawa aliran liberalisme dengan nama liberal Islam. Misi Islam liberal untuk membebaskan umat Islam daripada dibelenggu fahaman lama dan cengkaman dominasi tafsiran golongan ulama.
“Golongan Islam liberal terbabit mahu menyamakan konteks sejarah yang berlaku dalam agama Kristian iaitu menolak gereja yang menyebabkan mereka maju.
“Malah ‘sifir’ itu juga mahu digunakan dalam Islam untuk menolak apa saja bentuk autoriti agama dan menganggap perkara sama boleh berlaku terhadap agama Islam (maju),” katanya.
Katanya, umat Islam mempunyai institusi ulama, namun asasnya sangat berbeza dengan institusi gereja.
“Ulama asasnya ilmu manakala gereja pula berasaskan kedudukan golongan suci yang dipelihara dan institusi gereja sehingga mereka dianggap sebagai infallible iaitu tidak melakukan kesalahan.
“Mereka juga boleh menentukan apa saja bentuk kebenaran serta mengampunkan dosa sesiapa saja bagi pihak Tuhan. Itulah perbezaan yang amat besar sekali berdasarkan konteks sejarah Kristian dan Islam.
“Islam liberal juga menyeru ke arah pembukaan pintu ijtihad, kefahaman Islam yang terbuka dan progresif. Antara tema dalam Islam liberal berdasarkan karya mereka ialah membawa idea seperti Islam ‘warna-warni’ iaitu Islam bukan satu dan mempunyai pelbagai tafsiran,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai liberalisme dan media baru, beliau berkata, kesan media baru membolehkan setiap orang mampu menjadi ‘pustakawan’ dan ‘penerbit’.
“Dengan bantuan media baru, semua orang mendapat pelbagai maklumat tanpa dikawal dan ditetapkan agenda pembacaannya. Paling bahaya, media baru menawarkan sumber yang pelbagai.
“Kecanggihan media baru yang sifatnya lebih pantas, interaktif dan meluas menjadikan keadaan lebih terbuka. Segala maklumat lebih mudah diakses dan disebarkan.
“Ia membuka peluang kepada liberalisme berkembang kerana berkongsi wawasan dan visi yang sama iaitu keterbukaan dan kebebasan.
“Menerusi media baru juga manusia hilang privasi dan adab. Contohnya, semua orang boleh kritik atau hentam sesiapa di Facebook walaupun individu itu seorang ulama,” katanya.
Penulis wartawan Harian Metro
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 11:50 AM
No comments:
Post a Comment