KUALA LUMPUR: Ahli Tokoh Melayu Terkemuka (G25) Tawfik Ismail berkata negara kehilangan lebih banyak wang dalam projek-projek kesayangan Tun Dr Mahathir Mohamad berbanding hutang RM42 bilion yang dikumpulkan oleh firma pelaburan negara, 1MDB.
Tawfik berkata beliau memaklumkan perkara itu kepada Dr Mahathir ketika perjumpaan G25 dengannya antara bulan Mac dan April tahun ini yang bertujuan meraih sokongan untuk menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“(Dia) cakap lagi tentang wang yang didakwa hilang dalam 1MDB.
“Bagaimanapun, saya beritahu dia, jika kita menoleh kembali nilai semasa apa yang Dr Mahathir hilangkan semasa menjadi perdana menteri, saya yakin jumlah wang itu jauh lebih besar daripada apa yang didakwa hilang dalam 1MDB.
“Dia terdiam selepas itu,” kata Tawfik dalam temu bual dengan akhbar New Straits Times, hari ini.
Mahathir semalam berkata, Tawfik, yang merupakan anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail Abdul Rahman adalah seseorang yang tidak boleh dipercayai dan mempunyai niat jahat.
Dr Mahahir juga semalam mengesahkan beliau mencadangkan penubuhan sebuah majlis yang dianggotai orang yang lebih berumur bagi membimbing perdana menteri dalam menerajui kerajaan.
Tawfik memberitahu NST bahawa beliau tidak menerima dengan baik cadangan itu dan memberitahu Mahathir bahawa tindakan berkenaan adalah tidak demokratik dan tidak mengikut perlembagaan.
“Perbincangan itu dipengaruhi dengan ketaksubannya untuk menyingkirkan Najib.
“Secara peribadi, saya rasa mungkin Dr Mahathir adalah seseorang yang mahu melakukan sesuatu mengikut caranya. Dia mahu kembali berkuasa,” katanya kepada akhbar milik Umno itu. – MK
No comments:
Post a Comment