Thursday, 22 August 2019

SEBAB SEBENAR KITA KALAH PRU-14: JAWAPAN KEPADA JOHARI GHANI

8 OGOS 2018

PANDANGAN TERBUKA DATUK SERI JOHARI ABDUL GHANI KETUA UMNO BAHAGIAN TITIWANGSA MERANGKAP PENGERUSI PERHUBUNGAN UMNO WILAYAH PERSEKUTUAN

1. Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Kandis sangat penting kerana merupakan PRK pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang menyaksikan UMNO berkolaborasi dengan PAS.PRK ini menyaksikan isu-isu yang kita bangkitkan mengenai kegagalan Pakatan Harapan (PH) untuk memenuhi janji-janji mereka, antaranya seperti memansuhkan tol, menetapkan harga minyak RM1.50 seliter dan penangguhan pembayaran hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan lain-lain janji lagi.

2. Cuma, apa yang menjadi tanda tanya kepada kita adalah sejauh mana isu-isu yang kita bangkitkan ini menjadi daya tarikan kepada pengundi di Sungai Kandis terutama pengundi-pengundi Melayu yang majoritinya mewakili lebih 70 peratus di situ.

3. Keputusan PRK ini yang menyaksikan majoriti 5,764 undi diperoleh calon PKR boleh diinterpretasikan dalam pelbagai sudut. Adakah masyarakat Melayu sudah tidak ambil peduli sama ada sesuatu kerajaan itu menepati janji-janji pilihanraya atau tidak? Ataupun pengundi-pengundi lebih berminat untuk melihat kerajaan yang mempunyai kredibiliti dan bebas dari isu-isu yang melibatkan korupsi dan salah guna kuasa?

4.Mungkin juga berita-berita rampasan wang tunai dan barang barang kemas di kediaman bekas Perdana Menteri menguatkan lagi persepsi korupsi dan salah guna kuasa yang telah ditanam di dalam minda dan jiwa rakyat selama ini?  Meskipun ada penjelasan diberi, persepsi korupsi dan salah guna kuasa ini mungkin masih tebal dan penjelasan yang di beri masih tidak cukup untuk meyakinkan pengundi-pengundi untuk memberikan undi mereka kepada UMNO.

5. Di PRK Sungai Kandis baru-baru ini kita juga dapat melihat bekas Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak telah berkempen dengan begitu aktif. Memandangkan kes mahkamah Datuk Seri Najib masih belum lagi di bicarakan dan mengambil kira persepsi korupsi dan pecah amanah yang masih lagi membelengungi beliau, apakah strategi UMNO dalam mempertengahkan Datuk Seri Najib sebagai salah seorang tokoh yang aktif berkempen bagi PRK Sungai Kandis baru-baru ini suatu strategi yang bijak? Perlukah UMNO merehatkan Datuk Seri Najib dari menyertai kempen-kempen pilihanraya akan datang? Kita perlu ingat bahawa UMNO bukan berkempen untuk ahli-ahlinya sahaja tetapi kepada pengundi Sungai Kandis yang mana soal persepsi boleh menentukan kalah menang seseorang calon.

6. Barangkali akan ada yang mengatakan mengapa Datuk Seri Najib perlu direhatkan  sedangkan Menteri Kewangan Pakatan Harapan DAP, Lim Guan Eng yang sedang didakwa di mahkamah pun tidak ambil peduli perkara ini. Pendirian saya kita  tidak perlu mencontohi DAP. UMNO mempunyai benchmark nya yang tersendiri dan kita perlu menjadikan ini sebagai suatu titik mula untuk mencipta suatu benchmark baharu yang mana UMNO mengutamakan integriti dan kredibiliti pemimpinnya sebagai agenda yang penting dalam perjuangan. Kita perlu letakkan benchmark ini kepada setiap pemimpin bagi memulangkan keyakinan pengundi bahawa UMNO adalah sebuah parti yang mempunyai benchmark yang tinggi mengatasi DAP.

7. UMNO perlu mengatasi masaalah persepsi integriti dan kredibiliti ini jika mahu terus relevan. Kita perlu lupakan era terdahulu sebelum PRU-14. UMNO kini sudah pun ada Presiden dan kepimpinan baru. Era Presiden terdahulu sudahpun berlalu menjadi sejarah. Jika UMNO tidak berubah dan masih berterusan mempertahankannya legasi dan isu-isu yang membawa kepada penolakannya di PRU 14, maka tidak mustahil jika UMNO juga akan menjadi sejarah. Contohnya, ramai kalangan kita tidak faham isu 1MDB dan SRC dan sebahagian dari kita tidak faham isu ini secara total. Oleh itu, apabila kita berbahas isu-isu ini di dalam Parlimen, ianya di buat tanpa mengetahui maklumat yang lengkap dan tepat. Ianya hanya akan menyebabkan pemimpin-pemimpin kita hilang kredibiliti.

8.Dari segi gabungan UMNO-PAS pula, PRK Sungai Kandis ini menggambarkan bahawa pakatan UMNO-PAS tidak langsung memberi sebarang kesan terhadap kebolehan  meraih undi melebihi apa yang UMNO peroleh pada PRU-14. Sewaktu UMNO, PKR dan PAS bertanding mengikut haluan masing-masing pada PRU-14, UMNO mampu mendapat 11,518 undi, tetapi hari ini selepas pakatan UMNO-PAS berlaku di PRK Sungai Kandis, kita cuma dapat 9,583 undi.  Walau apa sahaja yang  kita spin untuk `menyedapkan’ hati kita, pokok pangkalnya kita telah kalah. Kita kalah dengan jumlah undi yang jauh lebih rendah selepas kita berpakat dengan PAS.

9. Apakah pakatan UMNO-PAS ini adalah terlalu awal atau pakatan ini merupakan pakatan yang agak sukar untuk diterima sebahagian besar ahli-ahli PAS? Kempen PAS kepada ahli-ahlinya adalah PAS mesti memilih parti yang lebih kecil kemudaratannya daripada  parti yang memudaratkan lebih besar. Kalau inilah landasan prinsip PAS untuk berpakat dengan UMNO, adakah pakatan ini praktikal? Adakah kita bersedia untuk menolak pemimpin-pemimpin UMNO yang dari segi persepsinya telah kelihatan tidak amanah, korup dan hanya mementingkan sesuatu kaum sahaja dalam perjuangan?

10.Ada maklumat yang disampaikan kepada saya bahawa PAS sememangnya suka UMNO lemah. Dalam erti kata lain, di mana sahaja UMNO lemah, PAS akan mendapat keuntungan. Bila UMNO lemah di Kelantan, PAS terus berkuasa selama 6 penggal; bila UMNO lemah di Terengganu, PAS berjaya menguasai kerajaan negeri dan bila UMNO lemah di Kedah, PAS mendapat lebih banyak kerusi pada PRU-14. Di kawasan-kawasan bandar pula, apabila UMNO lemah, parti-parti PKR dan DAP mendapat keuntungan. Jadi, UMNO dan BN tidak boleh lemah.

11. UMNO pernah bersama-sama PAS mempertahankan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 untuk memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah,  membela nasib etnik Rohingya, pernah bersama PAS dalam isu-isu persoalan agama tetapi ini sahaja belum dapat meyakinkan orang PAS di Sungai  Kandis untuk melihat ia sebagai faktor utama untuk mereka memberi undi kepada Umno/BN.

12. PAS tidak pernah menunjukkan bahawa mereka sanggup duduk di atas pentas yang sama dengan UMNO untuk berkempen seperti mana dilakukan oleh PH  - parti DAP, Bersatu,  PKR dan Amanah yang bersama-sama di atas pentas semasa berkempen. Ini secara tidak langsung memperlihatkan belum ada lagi persefahaman atau  penerimaan kedua-dua parti dari segi mempraktikkan Pakatan UMNO-PAS ini secara jujur dan ikhlas.

13. Sehubungan itu, saya berpandangan UMNO sepatutnya mengekalkan kedudukannya  sebagai sebuah parti nasional dengan tidak sepatutnya bergantung atau terikut dengan rentak parti yang lebih kecil dari Umno. Sebagai sebuah parti nasional kita mestilah mengambil kira bukan sahaja kepentingan orang-orang Melayu sahaja tetapi juga kepentingan kaum-kaum lain dinegara ini.

14.Kalau diperhatikan, ada di kalangan  pemimpin Umno kita berucap sehingga mengguris hati perasaan orang-orang bukan Melayu. Mereka ini barangkali boleh berbangga dengan menang dikawasan masing-masing tetapi apa gunanya kita menang dikawasan kita sahaja sedangkan ucapan-ucapan sensitif ini yang menyentuh perasaan orang bukan Melayu menyebabkan ramai rakan-rakan seperjuangan UMNO/BN “terkorban” di kawasan bandar dalam pilihanraya yg lepas.

15. Ada juga dikalangan Umno yang menggunakan isu keagamaan bagi meraih sokongan.  Apakah benar orang Melayu yang menyokong PKR, orang Melayu yang menyokong Bersatu atau orang Melayu yang menyokong Amanah akan membiarkan sahaja  Islam ini diperkotak-katikkan atau UMNO hanya takut pada bayang bayang sendiri?

16.Perkara-perkara  inilah yang perlu dilihat semula oleh pemimpin-pemimpin UMNO dan fokus semula kepada asas penubuhan UMNO itu iaitu disamping menjaga kepentingan Melayu yang sememangnya termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, kita tidak mengecilkan kepentingan dan hak kaum-kaum lain. Ini lah hakikat yang perlu di terima oleh UMNO dan ini juga lah resipi yang digunapakai oleh pejuang-pejuang UMNO terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan negara ini dan ianya merupakan resipi yang terbukti berjaya selama 61 tahun.

17. Kejayaan BN selama 61 tahun ini adalah kerana orang Cina, India dan kaum-kaum lain merasakan bahawa mereka boleh meletakkan kepercayaan dan kepentingan mereka kepada BN. Sebab itu PAS selama berpuluh-puluh tahun tidak dapat membentuk kerajaan persekutuan kerana mereka  tidak dapat meyakinkan masyarakat Cina, India dan kaum-kaum lain untuk bersetuju dengan ideologi PAS yang tidak bersifat nasional. Kalau kita menurunkan taraf kita sebagai parti nasional kepada tahap PAS, maka kita telah mengecilkan perjuangan UMNO ini.

18. Kalau boleh saya ungkapkan kata-kata seorang ketua bahagian UMNO iaitu “Syarat kalah bukan semestinya lemah dan syarat menang, bukan semestinya kuat”. Walau apapun, yang pasti untuk menang, kita mestilah kelihatan sebagai parti yang sentiasa menjadi harapan kepada setiap pengundi, tidak kiralah sama ada orang Melayu, Cina, India dan lain-lain. Kalau ada di kalangan parti-parti komponen dalam BN yang lemah, maka UMNO perlu mencari strategi baru untuk menguatkan mereka kembali.

19. Saya memohon maaf sekiranya ada rakan-rakan seperjuangan, ketua-ketua bahagian,  ahli-ahli Majlis Tertinggi atau para pejuang  UMNO yang merasakan bahawa pandangan saya ini mengguris hati dan perasaan mana-mana pihak. Saya hanya mahu UMNO bangkit semula menjadi sebuah parti nasional yang kuat, inklusif, penuh kredibiliti dan berwibawa.  Saya yakin, apabila parti kita kuat, orang akan mencari kita. Proses memperbaiki parti perlu diteruskan, yang lainnya kita berserah kepada Allah.

Salam Perjuangan.
Johari Abdul Ghani

------------------------


SEBAB SEBENAR KITA KALAH PRU-14: JAWAPAN KEPADA JOHARI GHANI

1. Memang BN kalah pada PRU-14 sebab isu 1MDB. Dan isu GST. Dan Perdana Menteri dan Pengerusi BN pada ketika itu adalah Dato’ Seri Najib.

2. Namun BN kalah bukanlah sebab 1MDB, GST dan Dato’ Seri Najib itu sahih kesalahannya, tetapi BN kalah sebab persepsi yang dimainkan oleh Pakatan Harapan yang menggambarkan yang isu-isu ini amat teruk dan salah di mata rakyat, walaupun hakikatnya jauh dari itu. Kita kalah sebab kita tewas dalam perang persepsi. Kita telah tewas dalam politik. Kita telah tewas dalam permainan ini.

3. Hampir semua isu politik adalah polemik, iaitu tidak ada yang betul-betul benar atau betul-betul salah secara total, dan tiada hitam dan putih, namun banyak yang kelabu dengan pelbagai pendapat. Siapa yang menang adalah siapa yang membawa hujah yang nampak lebih meyakinkan. Kebenaran tidak dimonopoli oleh mana-mana pihak, setiap pihak berpendapat mereka adalah di pihak yang benar. Permainan persepsi mengubah lanskap politik, bukannya kebenaran. Semua pemain politik berpengalaman tahu perkara ini.

4. Hakikatnya, selepas 5 tahun penyiasatan ke atas 1MDB oleh pelbagai pihak dari dalam dan luar negeri, tiada satu pihak pun yang mengemukakan bukti yang kredibel bahawa Dato’ Seri Najib telah mencuri wang 1MDB seperti yang ditohmah. Apabila pernah ditanya kepada Tun Dr Mahathir berkenaan bukti dakwaan beliau ke atas Dato’ Seri Najib, Tun Mahathir pernah berkata beliau tidak ada bukti. Dan sehingga kini walaupun 7 pertuduhan telah dikenakan ke atas Dato’ Seri Najib, dokumen maklumat bukti masih tidak dikemukakan oleh pihak pendakwaan. Mereka berkata mereka belum bersedia dengan bukti-bukti walaupun tangkapan dan tuduhan telah dibuat terlebih dahulu. Kebarangkaliannya bukti yang ada di tangan pihak pendawaan adalah “bukti” yang lemah, sebab itu mereka pun nampak teragak-agak untuk memulakan perbicaraan dan mengemukakan senarai bukti kepada mahkamah dengan dokumen 51A mengikut Kod Prosidur Jenayah.  “Bukti” yang banyak dikitarkan oleh para penyokong Pakatan adalah infografik-infografik dan penulisan-penulisan andaian dalam media sosial dari sumber yang diragui, namun cukup untuk memainkan sentimen kebencian.

5. Salah kita ialah kita tewas dalam permainan persepsi ini. Kita mungkin boleh membuktikan di mahkamah bahawa Lim Guan Eng bersalah menerima sogokan dengan pembelian banglonya dengan segala bukti kukuh, namun kita masih tidak berjaya meyakinkan rakyat bahawa beliau korup dan perasuah. Jika dibandingkan di antara kes 1MDB dan kes rasuah terowong Pulau Pinang, jumlah wang Kerajaan dan rakyat yang hangus disalahguna dalam kes rasuah projek terowong tersebut adalah lebih dari RM300 juta bersamaan dengan satu tahun kutipan cukai negeri Pulau Pinang, walhal jumlah pelaburan modal sebenar wang Kerajaan dalam 1MDB adalah hanya RM1 juta sahaja, selebihnya diraih dari pasaran modal. Sebab itu saya pernah berkata dahulu bahawa kes rasuah terowong itu adalah lebih besar dari kes 1MDB walaupun persepsi yang sampai kepada rakyat adalah sebaliknya. Dan saya juga pernah berkata yang jika Dato’ Seri Najib dibicarakan di mahkamah kerana kes 1MDB, YB Lim Guan Eng juga perlu dibawa ke mahkamah kerana kes rasuah terowong tersebut. Namun mengapa sesetengah pemimpin UMNO kini terlalu mudah untuk menyalahkan Dato’ Seri Najib tetapi membiarkan YB Lim Guan Eng pula terlepas? Adakah mereka juga telah termakan hasutan Pakatan?

6. Apabila kita tewas di Sungai Kandis, belum beberapa hari sahaja Dato’ Seri Johari Ghani terus cepat menyalahkan Dato’ Seri Najib atas kekalahan tersebut. Saya telah turut sama berkempen di Sungai Kandis dan tahu kawasan ini. Ia adalah kubu kuat PKR. Kita telah tewas di kawasan ini sejak tahun 2008. Jika dicampurkan undi kita dan PAS semasa PRU-14 dahulupun kita masih kekurangan lebih 4 ribu undi. Tiada siapa yang anggap kita akan menang di sini, namun kita tetap berjuang. Dengan peratusan keluar mengundi yang amat rendah iaitu pada 50%, adalah satu kejayaan sebenarnya apabila Lokman Adam dapat mengekalkan lebih 80% daripada undi yang kita dapat dalam PRU-14 yang lepas. Walaupun dengan fakta-fakta ini, Dato’ Seri Najib tetap juga dipersalahkan.

7. Walaupun GST itu satu sistem cukai yang baik dan telus untuk negara dan ekonomi seperti yang diakui kini oleh banyak pihak termasuk pemimpin Pakatan sendiri, namun sebelum PRU-14, Pakatan telah berjaya meyakinkan rakyat bahawa GST itu tidak baik untuk mereka. Walaupun kita bijak berpolitik dalaman dalam UMNO, namun kita telah gagal membawa dan melawan hujah lawan di pentas politik rakyat. Pada kali ini, jika kita tidak mengakui kelemahan ini, menyalahkan orang lain dan masih tidak berubah, kita mungkin akan gagal lagi meyakinkan rakyat bahawa SST itu tidak baik berbanding GST, padahal ianya sebaliknya.

8. Sesiapapun yang menjadi Perdana Menteri dan Kerajaan akan diuji dan diasak dengan pelbagai isu dan tohmahan. Jika Perdana Menteri keenam bukan Dato’ Seri Najib dan tiada isu 1MDB sekalipun, saya pasti sesiapapun yang menjadi Perdana Menteri pada ketika itu akan diasak dengan isu-isu lain untuk dijatuhkan. Jika tiada isu, mereka akan reka dan jadikan isu. Sesuci-suci pemimpin seperti Rasulullah SAW pun pernah difitnah, dihalau, direjam dengan batu dan dicuba bunuh.

9. Pada tahun 1970, Dr Mahathir menuduh Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman sebagai cenderung kepada kaum Cina, ini untuk menimbulkan kemarahan orang Melayu kepada Tunku. Dalam memoirnya Tunku menceritakan bagaimana tohmahan ini tidak betul dan berniat jahat untuk menjatuhkan beliau. Selepas itu, Dr Mahathir menggunakan taktik kotor yang sama dengan isu yang berbeza untuk menjatuhkan Perdana Menteri-Perdana Menteri ketiga, kelima dan keenam. Pada tahun 1980, Dr Mahathir dikatakan merancang untuk menjatuhkan Tun Hussein Onn Perdana Menteri ketiga dengan menggunakan isu Datuk Harun Idris. Dua tahun selepas itu Tun Hussein Onn terpaksa melepaskan jawatan akibat tekanan Dr Mahathir. Pada tahun 2008, Dr Mahathir menjatuhkan Pak Lah sebagai Perdana Menteri dengan menggunakan isu “Budak Tingkat 4” dan Perdana Menteri “Half-past six”. Sepuluh tahun kemudian beliau menggunakan isu 1MDB untuk menjatuhkan Dato’ Seri Najib dengan tohmahan persepsi dan tuduhan tanpa bukti.

10. Kegagalan kita di PRU-14 tidak sepatutnya diletak di bahu Dato’ Seri Najib sahaja. Kita pun bersalah kerana gagal dalam permainan persepsi dan hujah untuk meyakinkan rakyat dalam isu-isu mereka. Dan kita masih tidak boleh mengalahkan Dr Mahathir. Kita kalah dengan permainan politik Dr Mahathir. Jika kita mahu salahkan seorang yang merosakkan Melayu dan UMNO selama ini, namanya ialah Dr Mahathir, bukan Abdul Rahman, bukan Hussein Onn, bukan Pak Lah dan bukan Najib.

11. Jika kita kini mengambil langkah menyalahkan Dato’ Seri Najib sahaja dalam kekalahan kita ini, dan mencari target atau kambing hitam untuk dikorbankan, maka kita tidak akan bermuhasabah. Selagi kita tidak mengakui kesilapan dan kelemahan kita dan hanya menyalahkan orang lain ke atas kegagalan kita, selagi itu kita tidak akan berubah ke arah yang lebih baik. Betul Dato’ Seri Najib perlu bertanggungjawab ke atas kekalahan kita kerana beliau Presiden parti pada ketika itu; dan beliau telahpun meletakkan jawatan. Namun kita pun perlu bertanggungjawab juga.

12. Dato’ Seri Johari, kita kalah di Titiwangsa bukan sebab kelemahan hujah kita di kampung, namun sebab kelemahan hujah kita di bandar. Kita bijak berhujah di kampung, dengan bahasa yang mudah difahami oleh orang kampung, sebab itu kita banyak menang di kawasan kampung. Namun kita tidak bijak berhujah di bandar dengan tahap hujah yang meyakinkan pengundi di bandar, dan kadangkala kita cenderung menggunakan tahap hujah dan bahasa di kampung untuk cuba meyakinkan pengundi di bandar. Mungkin sebab itu kita banyak tewas di kawasan-kawasan bandar. Hujah di kampung dan di bandar memerlukan pendekatan yang berbeza kerana demografi mereka adalah berbeza. Jika kita bercerita ayam itik di kampung kepada golongan pengundi yang sofistikated, profesional atau belia di bandar, mereka tidak akan menerima hujah kita jauh sekali menyokong kita, malah mereka akan memandang rendah kepada kita. Lebih teruk lagi ialah apabila mereka ini balik kampung untuk mengundi dan mempengaruhi orang kampung. Kebanyakan pengundi dan rakyat kini adalah lebih sofistikated dan bijak dari dahulu walaupun di kampung. Kita jangan memandang rendah tahap akal dan pemahaman mereka. Hujah kita perlu lebih bernas. Jika kita sudah pakar meyakinkan orang di kampung, kita perlu meningkatkan usaha untuk meyakinkan orang di bandar pula. Kini 75% pengundi tinggal di kawasan bandar. Jangan salahkan ahli politik kampung atas kegagalan kita berpolitik di bandar.

13. Dan Dato’ Seri Johari juga menyalahkan isu 1MDB dan Dato’ Seri Najib tentang kekalahan di Titiwangsa walaupun beliau (Johari) berlawan dengan ahli politik muda yang tidak dikenali iaitu Rina Harun. Seingat saya di Titiwangsa sebelum PRU-14 dan sebelum penamaan calon, banyak tanda-tanda penolakan pengundi Titiwangsa ke atas Dato’ Seri Johari sebagai Ahli Parlimen sehingga ada flash mob dan poster-poster bertebaran yang berbunyi “Asal Bukan Johari.” Ini tidak ada kena mengena dengan 1MDB atau Dato’ Seri Najib. Rakyat menolak Dato’ Seri Johari sebagai wakil rakyat mereka. Mungkin jika tiada isu 1MDB pun, Dato’ Seri Johari akan tetap kalah di Titiwangsa.

14. Mungkin sesetengah daripada pemimpin UMNO kita kini takut untuk bersuara menentang Kerajaan sebab mereka ada kes dan fail yang dipegang oleh SPRM dan takut jika mereka bersuara pekung mereka akan dibuka dan mereka akan didakwa. Semua orang yang pernah alami zaman Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri keempat semasa tahun 80an dan 90an tahu yang Dr Mahathir selalu menggunakan taktik kotor Macchiavellian dengan mengugut ahli politik kotor dengan “buku hitam” beliau yang mengandungi kes-kes kesalahan  dan rasuah ahli-ahli politik sama ada kawan atau lawannya. Mungkin sebab itu ada bekas menteri yang kerap menghentam parti sendiri dan bekas pemimpin yang dijulangnya sebelum ini tetapi tidak berani pula membangkang Kerajaan kini. Bila dibahas isu SST di Parlimen yang sepatutnya memberi peluang untuk kita membangkang Kerajaan Pakatan, beliau sebaliknya membuat laporan polis untuk menyiasat bekas pemimpin BN sendiri pula berkenaan GST. Dalam Kerajaan Pakatan ramai pemimpin yang ada fail SPRM termasuklah menteri dan timbalan menteri seperti YB Lim Guan Eng, Azmin Ali, Sivarasa, Zuraidah dan ramai lagi. Mereka bukanlah parti yang bersih seperti yang digembar-gemburkan. Namun banyak kes mereka tiba-tiba kini digugurkan selepas mereka berkuasa. Ketidakadilan ini yang perlu kita semak-imbangkan. Dan kita pula bukanlah parti yang semuanya rasuah seperti yang digembar-gemburkan oleh Pakatan. Masih ramai orang UMNO yang berjuang kerana prinsip dan bukan kerana wang, dan mereka ini bersih dalam perjuangan. Kepada sesiapa dalam UMNO yang tiada fail SPRM, usahlah takut untuk bersuara.

15. Kita selalu kata Pakatan tidak tahu menjadi Kerajaan. Namun sebenarnya kebanyakan dari pemimpin kita pun masih tidak tahu untuk menjadi pembangkang. Apa yang sesetengah pemimpin kita buat kini termasuklah Dato’ Seri Johari Ghani ialah mengambil jalan mudah, dengan tidak perlu mengambil risiko menyerang Kerajaan, namun menyerang rakan kita sendiri yang telah jatuh; dan tidak perlu bermuhasabah dan berubah, tetapi menyalahkan orang lain ke atas kegagalan bersama atau diri sendiri. Selagi perkara ini berlaku dalam UMNO, kita tidak boleh menang menewaskan Kerajaan Pakatan.

16. Saya bukan lagi pegawai kepada Dato’ Seri Najib, dan saya tiada jawatan dalam parti. Saya menulis ikhlas dari hati dan tidak terikat dengan sesiapapun. Ini adalah pandangan jujur saya untuk parti dari akar umbi. Sebelum ini saya memang tidak suka tembak ke dalam parti seperti yang kerap dilakukan oleh sesetengah pemimpin, kerana lawan sebenar kita adalah di luar sana. Namun pada ketika ini saya rasa saya patut bersuara walaupun sekerdil mana sekalipun suara ini untuk mengelakkan ketidakadilan dan penganiayaan yang tidak sepatutnya kepada sesiapa. Jika pandangan kecil saya ini mengguris hati sesiapa, saya mohon maaf.

Ikhlas,
ISHAM JALIL
Marhaen UMNO
8 Ogos 2018

https://www.facebook.com/1180765013/posts/10215047804526793/

No comments:

Post a Comment