Sunday, 31 July 2022

ISTAWA BUKAN BERMAKSUD ALLAH MENETAP DI ATAS ARASY

ISTAWA BUKAN BERMAKSUD ALLAH MENETAP DI ATAS ARASY

Kaedah ulama dalam berinteraksi dengan ayat mutasyabihat.
(ٱلرَّحۡمَـٰنُ عَلَى ٱلۡعَرۡشِ ٱسۡتَوَىٰ)

Lafaz استوى dalam bahasa Arab ditanggung atasnya 15 makna. Daripada 15 itu, ada makna yang layak bagi Allah dan ada yang tidak layak bagi Allah.

Contoh makna layak:
- Menguasai
- Menjaga
- Mengekalkan

Contoh makna tidak layak:
- Lurus
- Masak
- Duduk

Perlu diketahui bahawasanya ayat Al-Quran yang ada padanya lafaz istawa merupakan ayat mutasyabihat. Maka ayat mutasyabihat ini, ia tidak boleh diambil secara literal kerana akan menjadikan ayat al-Quran saling bercanggah antara satu sama lain.

Ada ayat al-Quran mutasyabihat yang lain tentang Allah kalau diambil secara literal seolah-olah mengatakan Allah mengikut keberadaan hambaNya sedangkan ia bukanlah maksud yang dikehendaki bagi ayat tersebut.

Maka pengambilan makna ayat mutasyabihat secara literal ditegah kerana ia menyebabkan ayat al-Quran saling bercanggah.
Percanggahan tersebut pula membawa kepada penisbahan sifat berubah kepada Allah sedangkan perubahan merupakan sebesar-besar tanda makhluk dan Allah mustahil disifatkan berubah daripada suatu keadaan kepada keadaan yang lain.

Sesuatu yang berubah berhajat(memerlukan) kepada sesuatu yang lain untuk mengubahnya. Yang memerlukan kepada pihak lain itu lemah sementara yang lemah ternafilah sifat ketuhanan baginya. 

Jadi, ulama ahlus sunnah waljamaah dalam berhadapan dengan ayat mutasyabihat terbahagi kepada 2 cara.

1. Cara kebanyakan ulama terdahulu(salaf)

Mereka mengekalkan lafaz استوى, tanpa mereka tetapkan makna yang khusus bagi lafaz tersebut dan menyerahkan maknanya kepada Allah.

Maksudnya, mereka beriman bahawasanya Allah bersifat dengan sifat demikian akan tetapi menyerahkan makna ayat tersebut kepada Allah. Daripada makna-makna yang layak, mereka tidak tentukan mana satu yang Allah kehendak (sama ada menguasai, atau menjaga atau mengekalkan) tetapi mereka yakin secara pasti ia bukan dengan makna yang tidak layak seperti duduk atau masak atau lurus.

Kesimpulannya, mereka kekalkan lafaz tanpa memberi sebarang perterjemahan. Menolak makna yang tidak layak dan menyerahkan kepada Allah akan makna bagi lafaz tersebut daripada makna-makna yang layak bagi Allah.

2. Cara kebanyakan ulama terkemudian (khalaf)

Mereka beriman dengan ayat استوى dan mereka memilih mentakwil lafaz tersebut dengan makna yang layak daripada makna-makna yang layak bagi lafaz istawa.

Maka, ada ulama yang memilih makna mengekalkan ada yang memilih dengan makna menguasai dan ada yang memilih dengan makna menjaga. Pilihan yang mereka buat ini bertujuan untuk menghalang daripada manusia jatuh ke dalam aqidah yang terpesong apabila mengambil makna yang tidak layak daripada lafaz istawa seperti duduk.

Walaupun mereka telah lakukan pilihan makna bagi lafaz istawa akan tetapi pada hakikatnya mereka tetap serahkan pada Allah apakah kehendak sebenar yang Allah ingin maksudkan bagi ayat ini.

Takwilan yang mereka lakukan bertujuan mengelakkan manusia jatuh dalam aqidah mengatakan Allah bertempat dan berarah kerana semakin ke hadapan generasi, semakin kurang penguasaan bahasa dalam kalangan manusia.

Ulama khalaf lakukan ini agar manusia tidak terjerumus ke dalam aqidah mujassimah dan musyabbihah, menyifatkan Allah itu berjisim dan menyamakan Allah dengan makhluk.

Kesimpulannya, mereka menolak makna yang tidak layak dan memilih jalan menentukan makna tertentu daripada makna-makna yang layak bagi Allah akan tetapi tetap menyerahkan kepada Allah hakikat sebenar makna yang Allah kehendak bagi lafaz tersebut.

_____________________________________________

Maka kedua-dua cara salaf dan khalaf ini diterima dalam agama kerana asas kedua-duanya bersepakat pada beriman dengan ayat Al-Quran dan menolak makna yang tidak layak bagi Allah. Tidak benar dakwaan khalaf menolak ayat Al-Quran. 

Ulama salaf berinteraksi secara pukal, istawa pasti bukan dengan makna yang tidak layak tetapi mereka tidak tentukan daripada makna-makna yang layak bagi Allah itu, apakah makna sebenar yang dikehendaki Allah.

Ulama khalaf berinteraksi secara terperinci, istawa membawa makna tertertentu daripada makna-makna yang layak bagi Allah. Tetapi hakikatnya tetap hanya Allah yang tahu apa yang dikehendakiNya bagi lafaz tersebut. 

Adapun golongan yang tidak mengambil jalan ulama sama ada cara salaf atau khalaf seperti golongan wahabi, mereka berinteraksi dengan ayat mutasyabihat secara terperinci akan tetapi dengan cara terpesong.

Mereka telah takwil lafaz istawa dengan makna yang tidak layak bagi Allah. Mereka mengatakan Allah duduk di atas arasy atau menetap di atas arasy tapi bagaimana Dia menetap atau duduk tidak diketahui. Cara mereka ini terbalik daripada cara ulama. Ulama menolak makna yang tidak layak, akan tetapi wahabi ambil pula makna yang tidak layak.

Cara wahabi sangat jauh dengan cara salaf walaupun mereka mendakwa mengikut salaf. Sepertimana tidak boleh seseorang mengatakan Allah tidur tapi tidak seperti tidurnya makhluk. Demikian jugalah tidak boleh mengatakan Allah duduk tapi tak serupa duduknya makhluk kerana penisbahan sifat tidur dan duduk, tidak layak bagi Allah.

Maka barangsiapa yang mengatakan Allah di atas arasy, sesungguhnya dia telah bercanggah dengan pegangan golongan salaf dan khalaf. Menterjemah ayat-ayat Al-Quran secara literal boleh membawa kepada kebinasaan kerana bahasa Al-Quran iaitu bahasa Arab merupakan bahasa yang kaya dengan kosa katanya.

Firman Allah ٱلرَّحۡمَـٰنُ عَلَى ٱلۡعَرۡشِ ٱسۡتَوَى maksudnya Allah menguasai arasy bukan Allah duduk menetap di atas arasy. Arasy merupakan sebesar-besar makhluk secara mutlak dan penguasaan Allah ke atasnya menunjukkan Allah berkuasa ke atas segala ciptaanNya. Jika makhluk paling besar Allah kuasai apatah lagi yang kecil daripada itu.

Pegangan aqidah yang benar ialah Allah ada tanpa tempat. Allah bukan di langit atau di atas arasy atau di mana-mana. Allah wujud tanpa permulaan sebelum Dia mencipta segala sesuatu dan Dia tidak perlukan kepada makhluk ciptaanNya. Sepakat sekalian ulama ahlus sunnah waljamaah salaf dan khalaf bahawasanya Allah ada tanpa tempat.

No comments:

Post a Comment