Apabila seorang Kristian yang menguasai kaedah-kaedah falsafah Kalamiyah mencabar Muslim Lantern yang dikenali sebagai seorang pendakwah Muslim yang biasa berdebat dan berdialog dengan orang Kristian, tetapi bukan seorang Kalami, sekadar seorang Salafi.
Akhirnya Muslim Lantern tersungkur cuba menjawab soalan paling mudah dalam ilmu falsafah akidah - adakah sifat Tuhan lain daripada zatnya?
Soalan yang kalau dipelajari dalam ilmu Kalam, ia adalah antara perkara yang terawal dipelajari. Bukanlah zat itu sifat, dan bukanlah sifat itu zat, tetapi bukanlah sifat itu tercerai daripada zat, dan bukanlah zat itu berdiri tanpa sifat. Diringkaskan dengan sebutan,
لا هي هو ولا هي غيره
"Bukanlah ia (sifat) zat, dan bukan ia (sifat) lain daripada zat"
Apabila Kristian tersebut bertanya dari awal, "Adakah sifat itu sama dengan zat", saya sudah mendapat gambaran bahawa Kristian ini sudah membaca sedikit sebanyak khazanah perdebatan antara Ahli sunnah dan Muktazilah. Beberapa ketika selepas itu, dia memang menyebut terma Muktazilah, jadi memang betul dia sudah kaji tentang mazhab-mazhab Muktazilah.
"Is the attributes distinct and different to the essence of God?". Soalan yang sebenarnya jelas bagi mereka yang di dalam perbandingan agama.
Malangnya, Muslim Lantern walaupun beliau seorang Salafi yang saya hormati dan banyak membungkam Kristianiti melalui kontradiksi kitab-kitab mereka sendiri, tidak menguasai dan saya yakin tidak memahami perbahasan perbezaan mazhab dalam Islam sendiri. Kenapa wujud Mutakallimin, kenapa wujud Muktazilah, kenapa keluar konsep zat dan sifat.
Walaupun seseorang menguasai perbahasan Kristian dan Islam, ia belum bermakna dia menguasai perbahasan-perbahasan lain. Seseorang yang menguasai bagaimana untuk berdepan dengan Atheis misalnya, berbeza dengan kemampuannya untuk berdepan dengan Yahudi. Begitu juga orang Kristian yang masuk Islam, kebanyakan mereka lebih menguasai agama Kristian sendiri untuk membungkamnya melalui maklumat daripada agama mereka sebelumnya.
Namun ilmu Kalam, adalah satu khazanah yang tidak tersebar luas, tidak diwarisi secara mendalam melainkan melalui beberapa saluran sahaja, satu kefahaman abstrak yang tinggi yang memayungi seluruh topik perbincangan perbandingan agama, lalu persoalannya bukanlah adakah seseorang mampu menjawab persoalan ilmu Kalam apabila dia mendepaninya, tetapi soalnya hanyalah bilakah dia akan berjumpa dengan ilmu Kalam dan akan terduduk di hadapannya.
Begitulah dengan pendakwah-pendakwah Barat yang saya sentiasa perhatikan dan ikuti, kebanyakan mereka mencabar orang-orang Kristian untuk berdebat tentang coherence agama Kristian dan kebanyakannya memang berjaya. Mereka mampu bungkam logik yang tidak sequitor, menzahirkan percanggahan antara nas-nas yang tidak mungkin digabung, dan membungkam tambahan-tambahan Paul ke atas versi-versi Bible sehingga ke manuskrip.
Tetapi itu hanyalah satu niche, satu tajuk di bawah perbandingan agama, ia belum lagi sampai ke tahap tertinggi perbincangan ilmu perbandingan agama sebenar iaitu ilmu Kalam. Dan dalam video ini, jelas Muslim Lantern tidak mampu menjawabnya. Beliau hanya bertanya apakah maksud distinct, dan cuba membahaskan terma soalan. Jay Dyer (Kristian) hanya gelakkan sahaja cubaan itu.
Hasil daripada tidak menguasai sesuatu yang asas, seperti nama Allah 99 dan sifat-sifat Allah, akhirnya ia menguatkan pula kefahaman seorang Kristian terhadap agamanya. Kalau banyak menjadi satu tak boleh, kenapa dalam Islam boleh.
"Aku ada tiga Tuhan, ya, melalui triniti, tetapi kamu ada 99 Tuhan, tapi kamu anggap itu satu"
"Setiap sifat-sifat yang kamu sebut, Tuhan marah, Tuhan suka, Tuhan gembira, setiap satu itu adalah Tuhan, kamu lebih banyak Tuhan daripada triniti"
Kerana seseorang tidak memahami konsep pembezaan sifat dan zat, dan perbahasan pula tidak mendalam kerana slogan "Kita beriman sahaja dengan apa yang Allah turunkan", akhirnya kefahaman akidah agama tergadai kerana Muslim-Muslim yang berada di barisan hadapan adalah yang paling lemah dalam penguasaaan ilmu sebenar yang universal. Mereka mungkin menguasai ilmu dalam sesuatu skop yang bersifat topikal, seperti beza Islam dan Kristian, atau konsep Monotheism Islam dan Yahudi, tetapi mereka tidak menguasai satu konsep abstrak yang memayungi keseluruhan perbahasan ini iaitu falsafah, atau Kalam.
Islam adalah hina apabila seorang Muslim hanya mampu menjawab persoalan agama berdasarkan sesuatu yang topikal, sedangkan Islam hakikatnya universal. الإسلام يعلو ولا يعلى عليه. Hanya kerana anda belum berjumpa dengan ruas, ia tidak bermakna apa anda bawa itulah kefahaman cukup tentang Islam, bahkan ia perlu diperhalusi lagi dan diperhalusi lagi sehinggalah anda mencapai satu kefahaman yang lebih universal yang dapat menjawab sehingga akal-akal orang Atheis sendiri.
Inilah sebab kenapa falsafah Islam begitu berkembang dan diambil serius oleh ulama-ulama dahulu. Mereka tahu bahawa manusia berbeza kadar berfikir, maka mereka sudah fikirkan ke tahap setinggi pemikiran seorang manusia, bahawa jikalaulah ada seorang bukan Islam yang tersangatlah cerdik ketinggian akalnya sehingga dia membawa satu persoalan terhadap Islam, umat Islam terkemudian akan mampu menjawabnya. Setiap persoalan existential crisis, setiap persoalan kritikal yang tidak dibincangkan orang semasa itu ataupun kemudian, lebih-lebih lagi persoalan yang sudah dibincangkan sebelum, sudah mereka cerap dan perhalusi satu per satu dan sediakan jawapan, tunggu umat terkemudian susun kembali jadi pedoman sahaja.
Namun sampai kepada zaman sekarang, segala hasil ulama tersebut dianggap sampah atau tidak bernilai. Ulama-ulama tersebut pula dikatakan sesat dan terjerumus dalam perangkap berfikir gaya Yunani, sehingga mereka dianggap tak ada manfaat kepada Islam, oleh generasi baharu yang ingin hanya berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah, tetapi persoalan beza zat dan sifat pun mereka tidak mampu dissect dengan baik, sehingga menjadi bola tanggung pula untuk agama lain.
Carilah ayat al-Quran dan hadis yang cerita beza zat dan sifat, takkan jumpa. Hadis dhaif pun takkan jumpa, sahkan nak sahih sahaja.
Jangan tunggu nak jumpa orang cerdik dulu baru nak sedar framework pemikiran literal itu tidak cukup dalam agama. Ulama dahulu secara teliti dah cerakin, susun dan hurai elok dah.
No comments:
Post a Comment