KESALAHAN PERTAMA:
Imam al-Hasan al-Basri tidak menyatakan seseorang yang meninggalkan solat maka "tidak perlu qadha". Rujuk balik kenyataan Imam al-Basri seperti berikut:
إِذَا تَرَكَ الرَّجُل صَلَاةً وَاحِدَةً مُتَعَمِّدًا فَإِنَّهُ لَا يَقْضِيهَا
"Apabila seseorang lelaki meninggalkan satu solat dengan sengaja, maka sesungguhnya dia tidak boleh mengqadhanya." (Rujuk Ta‘zim Qadr al-Solah, hlm. 996–1000).
Frasa "tidak boleh mengqadha" tidak sama dengan "tidak perlu qadha". "Tidak boleh mengqhada" menunjukkan syarak tidak lagi menerima qadha atas dua kemungkinan: Telah kafir atau tiada berpeluang lagi untuk mengqadha. Manakala frasa "tidak perlu qadha" pula memberi interpretasi bahawa orang yang meninggalkan solat tak perlu qadha pun hanya perlu taubat sahaja. Jelaslah, panel yang dijemput ini salah dalam menjelaskan kenyataan ulama.
KESALAHAN KEDUA:
Pandangan ijmak ulama yang mewajibkan mengqadha tidak akan menyebabkan manusia berputus asa kerana pandangan ini adalah pandangan yang lebih rahmat. Jika berpegang dengan pandangan tidak boleh qadha kerana telah kafir maka ia lebih keras. Jika berpegang dengan pandangan tiada peluang lagi untuk qadha maka seolah-olah tiada harapan untuk kita menebus dosa tersebut.
Pandangan ijmak memberikan solusi yang terbaik iaitu taubat dan qadha sekadar hayat masih ada. Jika tidak mampu menghabiskan qadha sebelum ajal, itu bukan lagi urusan kita. Adalah lebih baik seseorang itu meninggal dunia dalam keadaan bertaubat dan berusaha untuk qadha berbanding seseorang yang meninggal dunia dengan hanya bergantung kepada taubatnya, pada masa yang sama masih ada hutang dengan Allah.
Sedangkan Nabi s.a.w. bersabda:
فَدَيْنُ الله أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى
“Ya, maka hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk ditunaikan (dibayar).” (HR al-Bukhari)
Pandangan ijmak lebih memberikan harapan dan ketenangan pada hati setiap muslim. Sememangnya kita dijadikan untuk beribadah, maka dituntut melaksanakan ibadah itu pada kemampuan dan hayat yang ada.
ULASAN TERPERINCI
1. Pandangan Imam al-Hasan al-Basri mengenai isu qadha solat boleh dirujuk dalam kitab Ta‘zim Qadr al-Solah karya Imam Muhammad bin Nasr al-Marwazi. Beliau merupakan seorang ulama besar yang sangat alim, bahkan tergolong dalam kalangan Ashab al-Wujuh dalam mazhab Syafie serta menjadi rujukan dalam perbahasan khilaf ulama.
2. Imam al-Marwazi menjelaskan bahawa sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja sehingga keluar waktunya, maka wajib ke atasnya untuk mengqadha solat tersebut. Beliau menegaskan bahawa tidak diketahui adanya khilaf dalam perkara ini, kecuali satu pendapat yang dinukilkan daripada Imam al-Hasan al-Basri.
3. Diriwayatkan bahawa Imam al-Hasan al-Basri berpendapat: “Apabila seseorang meninggalkan satu solat sekalipun, maka dia tidak boleh mengqadhanya.” (Rujuk Ta‘zim Qadr al-Solah, hlm. 996–1000). Zahir ungkapan ini menunjukkan pendekatan yang sangat tegas, seolah-olah seseorang yang meninggalkan walaupun satu solat tidak lagi berpeluang untuk menggantikannya.
4. Namun begitu, Imam Muhammad bin Nasr al-Marwazi menghuraikan bahawa maksud kata-kata Imam al-Hasan al-Basri itu mempunyai dua kemungkinan tafsiran.
5. Pertama, seseorang itu tidak boleh mengqadha solat kerana dia telah jatuh kafir disebabkan meninggalkan solat. Oleh itu, tidak dituntut ke atasnya qadha, kerana orang kafir tidak diperintahkan untuk menggantikan ibadah yang ditinggalkan ketika berada dalam keadaan kufur.
6. Kedua, sekiranya tidak dihukum kafir, maka maksudnya ialah dia tidak boleh mengqadha kerana solat yang diperintahkan oleh Allah hanyalah solat dalam waktunya yang tertentu. Apabila seseorang sengaja meninggalkannya hingga habis waktu, maka dia telah melakukan maksiat dan tiada lagi peluang untuk menggantikannya kerana waktu yang dituntut telah luput.
7. Berdasarkan dua kemungkinan ini, dapat disimpulkan bahawa pandangan Imam Hasan al-Basri berlegar antara dua tafsiran: sama ada orang yang meninggalkan solat dianggap kafir, atau solat di luar waktu tidak termasuk dalam perintah Allah, lalu tidak sah diqadha.
8. Walau bagaimanapun, pandangan ini tidak boleh dijadikan pegangan muktamad kerana ia berlaku sebelum berlakunya istiqrar al-khilaf (penyelarasan khilaf kepada ijmak). Setelah mazhab-mazhab fiqh disusun dan dikembangkan, para ulama telah mencapai kesepakatan bahawa solat yang ditinggalkan, sama ada sengaja atau tidak, wajib diqadha.
9. Oleh itu, umat Islam hendaklah berpegang dengan ijmak ulama kerana ia merupakan salah satu dalil yang disepakati oleh keempat-empat mazhab utama. Adapun pandangan yang mempunyai pelbagai kemungkinan makna (ihtimal), ia tidak boleh dijadikan hujah yang kuat dalam menetapkan hukum.
10. Kaedah fiqh menyebut:
فاذا جاء الاحتمال بطل الاستدلال
“Apabila sesuatu dalil mengandungi pelbagai kemungkinan makna, maka gugurlah kekuatannya sebagai hujah.” Sehubungan itu, pandangan yang tidak jelas tidak boleh mengatasi dalil yang telah disepakati.
11. Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu‘ turut menegaskan bahawa telah berlaku ijmak dalam kalangan ulama bahawa wajib mengqadha solat yang ditinggalkan. Ini mengukuhkan lagi bahawa pendirian jumhur ulama adalah kewajipan qadha tanpa khilaf yang muktabar.
12. Saya juga podcaster, lazimnya saya jemput orang yang alim dan pakar dalam bidangnya, bukan orang yang jenis main petik je pandangan ulama untuk mengikut selera orang ramai.
Ust HAZA Official
No comments:
Post a Comment