[Soal Jawab Aqidah] Bahaya Fahaman Wahabi Dan Penjelasan Mengenainya
pada 26hb Mei 2010 jam 9.19 ptg
Soalan : Apakah itu fahaman Wahhabi ? Benarkah Wahhabi adalah suatu misteri dan ia dilihat sebagai satu label 'ejekan' ? Bolehkah kita menuduh orang lain yang tidak berqunut, tidak membaca doa selepas solat sebagai Wahhabi ? Adakah wahhabi sahaja mengikut al Quran dan Sunnah manakala umat Islam yang lain mengikut mazhab tidak mengikut al Quran dan Sunnah ?
Jawapan :
1. Wahhabi bukanlah suatu yang misteri kerana ramai ulamak yang membahaskan mengenainya. Sekiranya ia adalah suatu yang misteri maka tidak timbullah apa yang dinamakan 'fahaman wahhabi tersebut'.
Wahhabi adalah istilah ilmiah merujuk kepada suatu golongan yang mengikut kerangka umum pemikiran "Muhammad Abdul Wahab" lalu mengaku mengikut "manhaj Salaf" melalui kaca mata Ibn Taimiyyah, Muhammad Abdul Wahab dan beberapa orang lain yang sefahaman dengannya.
Sheikh Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti menjelaskan tentang “Wahabi”:
“Pada masa kini, mazhab Wahabi yang dinisbahkan kepada empunyanya iaitu Sheikh Muhammad bin Abdil Wahab (1703-1792 M) berkembang di Najd dan seterusnya berkembang di negara-negara dalam Jazirah Arab berdasarkan beberapa faktor yang sangat diketahui tetapi tidak perlu disebutkan dan dijelaskan di sini”
. [As-Salafiyyah: 367]
Menisbahkan sesuatu kelompok kepada mana-mana pelopornya (samada menisbahkan kepada namanya, atau nama ayahnya, atau nama moyangnya dan sebagainya) adalah suatu tradisi ilmiah yang biasa digunakan oleh para ulama'. Para ulama' yang mengikut mazhab Imam Ahmad bin Hanbal dinisbahkan kepada Imam Ahmad bin Hanbal tetapi melalui nama ayahnya iaitu Hanbali. Begitulah sebagainya.
Golongan yang mengikut "kerangka umum" pemikiran Muhammad Abdul Wahab dikenali sebagai Wahabi sebagai nisbah ilmiah yang diakui dalam tradisi keilmuan Islam. Ianya malah digunakan sendiri oleh orang2 yang terlibat dengan fahaman ini. Dinukilkan satu atau dua perkataan mereka sebagai contoh:
Dalam buku الشيخ محمد بن عبد الوهاب عقيدته السلفية ودعوته الإسلامية ada menyebut secara jelas mereka mengaku diri mereka (para pengikut pemikiran Muhammad Abdul Wahab) sebagai Wahhabiyyah. Buku itu ditulis oleh Sheikh Ahmad bin Hajr Abu Thomi. Antara perkataan beliau:
استطاع هؤلاء المسلمون الوهابيون أن يقيموا الدولة الإسلامية على أساس من المبادئ الوهابية
.
Maksudnya: “Golongan Muslimun Wahhabiyyun mampu mendirikan suatu kerajaan Islam atas asas daripada asas-asas Wahhabiyyah”.
[m/s: 105]
Lihat tokoh wahabi sendiri mengaku sebagai wahabi...
Begitu juga:
Sheikh Ben Baz juga berkata:
الوهابية منسوبة إلى الشيخ الإمام محمد بن عبد الوهاب رحمه الله المتوفى سنة 1206 هـ ، وهو الذي قام
بالدعوة إلى الله سبحانه في نجد
Maksudnya: "Wahhabiyyah adalah nisbah kepada Sheikh Imam Muhammad bin Abdil Wahab r.a. yang wafat pada 1206 Hijrah yang mana dia mendirikan dakwah menuju Allah di Najd (dengan pemikirannya)”.
[Majmu Fatawa wa Maqalat siri ke-9]
Dr. Muhammad Ahmad Ismail juga ada mengarang satu buku berjudul "Khawatir Haul Al-Wahhabiyyah dan menggunakan istilah wahabi tanpa merasa dirinya diejek bahkan dia sendiri (yang mengikut fahaman wahabi ini) mengakuinya.
Antara tajuk2 dalam buku ini:-
الوهابية جددت " منهاج النبوة "
Maksudnya: "Al-Wahhabiyyah memperbahrui Manhaj Nabawi".
Boleh dapatkan buku ini secara online:
http://saaid.net/book/10/3279.rar
Jadi, tuduhan bahawa istilah wahabi adalah istilah ejekan oleh golongan yang menolak kumpulan ini adalah tidak tepat bahkan hanyalah suatu dakwaan yang tidak berasas serta menyalahi realiti sebenar. Dalam lapangan ilmiah, istilah wahabi ini bukan sahaja diterima penggunaannya oleh sebahagian besar ahli ilmu bahkan termasuklah dari kalangan pengikut fahaman ini sendiri.
2. Umat Islam yang mengikut mazhab samada Syafie, Maliki, Hanafi mahupun Hambali adalah mengikut al Quran dan Sunnah. Kerana mereka berpandukan kepada pemahaman ustaz dan ustazah/ulamak yang memahami al Quran dan sunnah melalui panduan yang sudah diberikan oleh Ulamak salafussoleh. Sesuai dengan firman Allah yang bererti :
"Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai ilmu jika kamu tidak mengetahui" -
(Surah an Nahl:43)
Mazhab Hanafi yang diasaskan oleh Imam abu Hanifah (lahir pada 80 Hiijrah dan wafat pada 150 Hijrah), Mazhab Maliki diasaskan oleh Imam Malik Bin Anas RadiyaLlahu 'anhu (Lahir pada 39 Hijrah dan wafat pada 179 Hijrah), Mazhab Syafie diasaskan oleh Imam Muhammad Bin Idris As Syafie (lahir pada 150 Hijrah dan wafat pada 204 Hijrah) dan Mazhab Hanbali diasaskan oleh Imam Ahmad bin Hanbal (lahir pada 164 Hirah dan wafat pada 241 Hijrah). Ini menunjukkan mereka yang mengikut mazhab juga termasuk di kalangan mereka yang menuruti jalan salafussoleh sebagaimana yang dinyatakan oleh RasuluLlah sebagai zaman yang terbaik.
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ
Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a. daripada Nabi s.a.w. sabdanya: “Sebaik-baik manusia adalah kurunku kemudian orang-orang yang mengiringi mereka kemudian orang-orang yang mengiringi mereka”.
(Sahih al-Bukhari)
3. Kita tidak boleh menuduh sembarangan bahawa orang yang tidak berqunut, membaca doa beramai-ramai selepas solat, tidak kenduri arwah sebagai wahhabi. Di dalam Mazhab Syafie membaca doa qunut adalah sunat ab'adh. Tetapi sekiranya terlupa atau tertinggal solatnya tetaplah sah, namun disunatkan untuk sujud sahwi. Ada juga di kalangan umat Islam yang tidak sempat untuk berdoa secara beramai-ramai selepas solat kerana kekangan waktu, maka mereka berdoa dan berzikir bersendirian. Begitu juga ada umat Islam yang tidak berkemampuan untuk mengadakan kenduri bagi si mayyit atau tidak bersetuju untuk mengadakan kenduri arwah. Oleh itu, berhati-hatilah dalam melabel seseorang itu sebagai wahhabi.
Namun begitu untuk mengetahui ciri-ciri wahhabi hasil dari kajian penyelidikan yang telah dibuat bolehlah dirujuk di bahagian bawah ini :
PENGENALAN
Fahaman Wahabi ini terlalu kerap ditimbulkan oleh pelbagai pihak samaada dari golongan muda ataupun golongan tua. Sejak sekian lama juga saya sering kali ditanyakan isu-isu berkaitan fahaman Wahabi. Pelbagai persoalan diajukan kepada saya samada melalui Email dan YM ataupun melalui PM di iLuvislam. Di antara mereka ini ada yang meminta saya untuk menyediakan sedikit sebanyak info dan maklumat berkaitan dengan fahaman Wahabi ini. Di samping itu, saya juga tidak terlepas dari menerima kritikan dan cemuhan dari golongan Wahabi setiap kali saya berhujjah dan berbincang dengan mereka.
Artikel ini juga saya sediakan secara ringkas dan ia masih memerlukan beberapa penerangan dan penjelasan lebih lanjut lagi. Ini bukanlah suatu tuduhan melulu tanpa periksa namun inilah cerita sebenarnya. Bagi mengukuhkan lagi kepercayaan peribadi, pembaca bolehlah menyemak sendiri kitab-kitab yang telah dikarang oleh para ulama muktabar bagi membincangkan fahaman Wahabi ini.
Antara cara-cara mudah mengenali mereka samada berfahaman Wahabi ataupun tidak ataupun terkena sedikit tempias dari fahaman Wahabi adalah:
Dari Sudut AQIDAH:
01. Gemar membahagikan-bahagikan tauhid kepada tiga bahagian iaitu Tauhid Rububiyah, Uluhiyah dan al-Asma Wa al-Sifat lantas menyamakan umat Islam kini dengan musyrikin Mekah.
02. Menyesatkan manhaj Asyairah dan Maturidiyah yang merupakan dua komponen utama dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah.
03. Kritikal terhadap sisitem pengajian Sifat 20.
04. Gemar membahaskan ayat-ayat mutasyabihat dan membahaskan perihal istiwa Allah Taala, tangan Allah Taala, di mana Allah Taala dan lain-lain ayat mutasyabihat lagi lantas memahami ayat-ayat itu dengan zahir ayat dan mencerca mereka yang mantakwil ayat-ayat ini. Akhirnya mereka secara tidak sedar termasuk di dalam golongan Mujassimah dan Musyabbihat.
05. Sering meletakkan isu-isu fiqh dalam bab aqidah, seperti tawasul dan istighatsah lantas mensyirikkan dan mengkafirkan amalan-amalan yang tidak sehaluan dengan mereka. Juga mensyirikkan amalan yang tidak dipersetujui contohnya mambaca salawat syifa dan tafrijiah dll.
06. Mudah melafazkan kalimah syirik dan kufur terhadap amalan yang mereka tidak persetujui (Khawarij Moden).
07. Amat kritikal terhadap tasawuf serta tarikat dan mengatakan bahawa tasawuf dan tarikat diambil daripada ajaran falsafah Yunan, agama Buddha dan dll.
Dari Sudut FIQH:
01. Kritikal terhadap mazhab-mazhab fiqh dan menganggap sesiapa yang berpegang kepada satu mazhab adalah taksub dan jumud. Mereka akan menyarankan mengikut fiqh campuran atas corak pemahaman mereka dan menamakannya sebagai Fiqh Sunnah.
02. Membahagikan manusia kepada tiga golongan iaitu mujtahid, muttabi dan muqallid dan mencerca golongan muqallid. Bagi mereka hanya menyeru kepada mengikut seorang alim atau imam itu hanyalah dengan dalil walaupun pada hakikatnya mereka tidak memahami dalil tersebut.
03. Gemar membangkitkan isu-isu furuk yang sudah lama diperbahaskan oleh para ulama terdahulu seperti isu tahlil, talqin, qunut subuh, zikir berjamaah, zikir dengan bilangan tertentu, lafaz niat solat, ziarah makam para nabi dan ulama, sambutan maulidur rasul dll.
04. Perkataan bidaah sentiasa diulang-ulang pada perbuatan yang mereka tidak setuju. Bidaah di dalam agama bagi mereka hanyalah sesat dan akan menjerumuskan pembuatnya ke dalam neraka. Kata-kata Imam Syatibi pada pembahagian bidaah akan mereka ulang-ulangi. Menurut fahaman mereka pembahagian ulama lain pada bidaah hanyalah bidaah dari sudut bahasa.
05. Wahabi secara umumnya mengaitkan amalan-amalan tertentu kononnya sebagai rekaan dengan hawa nafsu atau kejahilan para ulama terdahulu manakala Wahabi di Malaysia cuba mengaitkan amalan yang mereka tidak persetujui hanyalah rekaan para ulama Nusantara.
06. Hanya berpegang kepada suatu pendapat dalam hukum hakam fiqh jika mempunyai dalil yang zahir dan amat gemar meminta dalil dari al-Quran dan al-Hadis seolah-olah mereka dapat membuat perbandingan sendiri kuat lemahnya sesuatu pendapat berdasarka dalil yang dijumpai.
Dari Sudut MANHAJ:
01. Berlebih-lebihan pada mengkritik mereka yang tidak sehaluan dengan mereka baik ulama terdahulu mahupun sekarang.
02. Menganggap bahawa hanya mereka sahajalah yang benar dan merekalah sahajalah pembawa manhaj salaf yang sebenar.
03. Bersikap keras kepala dan enggan menerima kebenaran walaupun dibentangkan beribu-ribu hujjah. Bagi golongan Wahabi dalil mereka yang menentang mereka semuanya lemah atau telah dijawab.
04. Amat gemar berdebat walau di kalangan masyarakat awam.
05. Terlalu fanatik kepada fahaman dan tokoh-tokoh yang mereka diiktiraf mereka seperti Muhammad Abdul Wahab, Abdul Aziz bin Baz, Nasir al-Albani, Muhammad Soleh al-Utsaimin, Soleh Fauzan dll.
06. Mudah mengatakan bahawa ulama terdahulu sebagai silap ataupun sesat dll.
07. Mendakwa mereka mengikut manhaj salafi pada urusan aqidah dan fiqh walaupun hakikatnya mereka amat jauh sekali dan tidak memahaminya.
08. Cuba untuk menyatukan semua pihak atas fahaman mereka lantas menyebabkan perpecahan umat.
09. Sebahagian mereka juga bersikap lemah lembut pada kuffar dan berkeras pada umat Islam.
10. Menyesatkan dan memfasiqkan sesiapa yang bercanggah dengan mereka serta melebelkan dengan pelbagai gelaran.
11. Seolah-olah menyamatarafkan hadis dhoif dengan hadis maudhuk lantas mendakwa mereka hanya mengikut hadis yang sahih selain kritikal terhadap penerimaan riwayat dan taasub dengan penerimaan atau penolakan Nasir al-Albani semata-mata.
12. Membuat khianat ilmiah samada pada penulisan atau pada pantahqiqan kitab-kitab lama terutamanya.
PENUTUP
Hampir keseluruhan artikel ini saya ambil dari kertas kerja yang pernah disediakan dan dibentang sendiri oleh sahabat saya iaitu Ustaz Syed Abdul Kadir bin Syed Hussin Aljoofre. Cuma beberapa perkara sahaja saya buang dan tambah agar lebih natural untuk dibaca. Semoga penulisan ini menjawab pelbagai persoalan mengenai fahaman Wahabi ini dan ia boleh membawa manfaat kepada umat Islam sejagat. Saya doakan agar semua pihak mendapat hidayah dari Allah Taala. Aminnn.
Sumber :
1. Dr Said Ramadhan al Buthi, Alla mazhabiyyatu Akhtaru Bid'atin Tuhaddidu Asy Syariiata Al Islamiyyah
2. Dr Abd Malik Abd Rahman As Sa'adi, Salah Faham Terhadap Bid'ah, al Bid'ah fi al mafhum al islami ad daqiq, Darul Nu'man, 2002, Kuala Lumpur
3. Dr Muhammad Adil Azizah Al Kayalli, Golongan Yang Selamat Adalah Seluruh Umat Islam, Al Firqah An Najiah Hia Al Ummatul Islamiyyah Kulluha
3.Http://Buluh.Iluvislam.Com
Bacaan Tambahan :
1. Perpaduan Umat Islam Hendaklah Dijaga
2. Hukum Bertaqlid
3. Hukum Menuduh Musyrik Dan Kafir Sesama Umat Islam Tanpa Hak
No comments:
Post a Comment