ZAHID BERTANGGUNGJAWAB MENYELAMATKAN ASET DAN MP UMNO DARI JATUH KE TANGAN MAHATHIR
VIEWS
Dato’ Lokman Noor bin Adam
Ahli Majlis Tertinggi UMNO
12 Februari 2019
Saya ditanya oleh pihak wartawan, apa pandangan saya tentang kenyataan Presiden UMNO, Dato’ Seri Zahid Hamidi bahawa beliau akan kembali menjalankan tugas Presiden UMNO apabila berlaku peristiwa besar tidak lama lagi.
Di peringkat awal, saya tidak bercadang untuk menjawab isu ini, memandangkan PRK Semenyih sudah terlalu hampir. Namun, apabila Hamzah Zainuddin dan 5 MP UMNO yang terjebak menjayakan agenda Mahathir mendesak Dato’ Seri Zahid bercuti, mengingkari janji mereka, maka saya gagahi tangan ini untuk menjawab isu tersebut.
Ingin saya tegaskan di sini bahawa saya sangat setuju, Dato’ Seri Zahid Hamidi kembali menjalankan tugas beliau sebagai Presiden.
Sejak dari awal saya tidak bersetuju dengan keputusan Dato’ Seri Zahid untuk tunduk kepada permintaan kumpulan minoriti yang diketuai Hamzah Zainuddin. Dato’ Seri Zahid adalah Presiden yang dipilih oleh ahli, tidak ada siapa berhak untuk buang beliau dari jawatan tersebut kecuali Perwakilan UMNO Bahagian-bahagian.
Jika ada di kalangan kepimpinan UMNO yang tidak berpuas hati dengan keputusan perwakilan UMNO Bahagian-Bahagian, mereka hanya ada 3 pilihan:
1. Mereka boleh ikut cara Tun Mahathir pada 3 September 1998 dengan memecat keahlian Anwar. Seperti Anwar yang menjawat jawatan Timbalan Presiden, jawatan Presiden juga hanya akan hilang jika Zahid dipecat sebagai ahli. Saya tidak fikir Ahli MT yang teringin sangat melihat Zahid berhenti, berani untuk mengambil pendekatan kuku besi Mahathir.
2. Mereka boleh mengumpulkan tandatangan 2/3 dari jumlah 191 Ketua UMNO Bahagian untuk mengadakan Mesyuarat Agong Khas bagi melucutkan jawatan Presiden. Kemenangan Dato’ Seri Zahid adalah apabila lebih dari separuh jumlah UMNO Bahagian mengundi beliau sebagai Presiden. Ini bererti, mereka tidak akan berjaya untuk mengumpulkan 2/3 tandatangan Ketua UMNO Bahagian, apatah lagi untuk mempengaruhi 2/3 daripada perwakilan UMNO Bahagian-Bahagian untuk memecat Dato’ Seri Zahid.
3. Mereka boleh terus membenci Dato’ Sri Zahid dan jayakan agenda Mahathir untuk menumbangkan Dato’ Seri Zahid dari luar parti seperti Hamzah Zainuddin. Itu sahaja pilihan yang mereka ada jika masih tidak boleh menerima keputusan pemilihan parti 2018.
Namun saya tidak dapat hendak bersetuju dengan kenyataan Dato’ Seri Zahid bahawa beliau mahu menunggu sesuatu perkara besar berlaku.
Adakah beliau mahu menunggu UMNO jatuh ke tangan Mahathir baru beliau mahu menggalas semula amanah yang ahli letak di bahu beliau? Tiga insiden besar yang berlaku kebelakangan ini jelas menuntut beliau kembali bertugas:
1. Kejadian aneh Dato’ Yahya Jalil, kroni Mahathir yang kaya raya kerana dibayar pampasan RM250 juta akibat pembatalan Jambatan Bengkok, dikatakan melantik dirinya sendiri menjadi ChairmanPutrade, iaitu syarikat yang dipertanggungjawabkan mengurus harta UMNO iaitu Bangunan UMNO dan Institut Latihan Memperkasa UMNO di Janda Baik. Saya tidak fikir ahli UMNO yang siuman boleh terima aset UMNO diletak di tangan musuh untuk menguruskannya. Apatah lagi bila YB Rara ADUN DAP dibawa masuk dalam pusat latihan keramat itu oleh Yahya Jalil.
2. Penjualan 31.6% saham UMNO di dalam Utusan Malaysia dengan harga hanya RM6.65 juta ringgit. Sedangkan nilai aset Utusan Malaysia melebihi 500 juta ringgit. Apapun alasan yang boleh dibentangkan oleh mereka yang terlibat, saya yakin pihak yang diamanahkan menjaga Utusan ketika nilai sahamnya RM 0.30 seunit sehinggalah nilainya tinggal RM 0.10 seunit, tidak akan membeli saham Utusan sekiranya hutang Utusan melebihi nilai aset seperti dilaporkan. Pasti ada sesuatu yang disembunyikan.
3. Sungguhpun Hamzah Zainuddin memberikan kata dua, sama ada Dato Zahid bercuti atau lebih ramai akan keluar, hari ini di dalam keadaan tugas Presiden digalas oleh Timbalan Pesiden, beliau dan 5 yang lain tetap menyertai Bersatu. Dari awal saya sudah katakan, usah tunduk dengan ugutan Hamzah Zainuddin. Bila dalam hati sudah terlintas hendak khianat parti, apa jua tuntutan mereka yang kita penuhi, mereka tetap akan khianat parti. Takkan kita hendak suruh Tok Mat Hassan cuti pula untuk elak dari lebih ramai keluar parti?
Bila Mahathir berani terima 6 orang ini memasuki Bersatu, ini bermakna beliau sudahpun bersedia untuk lawan Anwar Ibrahim dan mungkin dia sudah berjaya meyakinkan DAP.
Perkembangan terkini menunjukkan Mahathir sudah isytihar perang, dan Mahathir hanya akan isytihar perang bila beliau ada jumlah MP yang cukup bersamanya untuk membentuk kerajaan tanpa MP yang menyebelahi Anwar. Dalam erti kata lain, bersedialah untuk menerima hakikat bahawa pasti ada lagi 20-24 orang MP UMNO akan seberang ke Bersatu.
Berdasarkan apa yang berlaku, saya menyeru kepada Dato’ Seri Zahid Hamidi untuk kembali melaksanakan amanah yang ahli pertanggungjawabkan ke atas diri beliau, iaitu sebagai Presiden UMNO. Sekiranya beliau keberatan untuk mengalas tugas ini, ada baiknya diserahkan semula kepada ahli untuk memilih siapa yang mereka mahukan sebagai Presiden dengan mengadakan Pemilihan UMNO.
Dato’ Seri Zahid perlu memimpin serangan ke atas Pakatan Harapan dengan penuh ketegasan.
Jangan biarkan Dato’ Seri Najib berperang sendirian. Berapa banyak pendakwaan sekalipun yang dilakukan terhadap diri beliau, ianya sepatutnya mengukuhkan lagi daya juang beliau, bukan melemahkan semangatnya.
Kami ahli-ahli UMNO akan tetap bersama pemimpin-pemimpin UMNO yang dianiaya Pakatan Harapan, walaupun di akhir peperangan ini MP UMNO yang bersama kita hanya tinggal kurang dari 10 orang.
No comments:
Post a Comment