Sunday, 14 July 2019

JAWAPAN KEPADA SEMUA PENGKRITIK SAYA (11)

TUN ABDUL HAMID MOHAMAD

Former Chief Justice of Malaysia

JAWAPAN KEPADA SEMUA PENGKRITIK SAYA


JAWAPAN KEPADA SEMUA PENGKRITIK SAYA

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad


Pada 25 November 2018, saya pergi ke PWTC dengan tujuan untuk tidak menjawab sebarang pertanyaan selepas ucapan saya. Walau bagaimanapun, masa yang diperuntukkan untuk ucapan saya adalah satu jam manakala ucapan saya berakhir dalam masa 25 minit. Juruacara majlis bertanya sama ada saya akan mengambil beberapa soalan.

Saya kasihan kepada penonton. Itulah masalah saya, kelemahan saya dan kesilapan saya. Dan saya bersetuju (obliged). Anda tahu jenis soalan yang biasanya datang dari penonton. Dan saya menjawabnya. Saya menyesal menjawab soalan-soalan itu sebaik sahaja ia selesai. Saya tidak sepatutnya melayan soalan-soalan mereka. Saya berazam ia tidak akan berulang.

Keesokan harinya, Gopal Sri Ram menegur saya kerana membuat kenyataan politik. Sekali lagi, adakah beliau sendiri mendengar apa yang saya katakan dalam bahasa Melayu? Bagaimanapun, inilah jawapan saya:

1. Bagaimana dengan seorang bekas Hakim Mahkamah Persekutuan yang secara sukarela menjadi pendakwa bekas Perdana Menteri, keputusan untuk mendakwanya telah pun dibuat semasa kempen pilihan raya oleh lawan politiknya yang kemudiannya menjadi Perdana Menteri? Apa yang saya lakukan adalah memberikan komen saya mengenai bilangan undi yang diperoleh oleh pelbagai parti. Mana yang lebih buruk? Kita patut ingat bahawa beliau adalah peguam Tun Dr Mahathir sebelum sahaja beliau dilantik terus ke Mahkamah Rayuan padahal Eusoffe Abdoolcader pun terpaksa menjadi Hakim Mahkamah Tinggi terlebih dahulu!

2. Apabila Tun Salleh Abas bersara dan bertanding dalam pilihan raya sebagai calon PKR melawan Sharizat, tiada siapa yang menegurnya. Kemudian beliau bertanding sebai calon PAS di Terengganu dan menjadi Ahli Exco. Tiada siapa yang berkata apa-apa. Saya tidak menyertai mana-mana parti politik atau bertanding dalam pilihan raya. Mana yang lebih buruk?

3. Dalam sejarah Badan Kehakiman di Malaysia, bekas Ahli Parlimen BN (Tun Mohd Zahir Ismail), seorang bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (Dato Wan Adnan Ismail), bekas ahli Parlimen pembangkang (Dato’ Mustapha Hussain dari Gerakan, sebelum Gerakan menyertai BN), dua orang calon DUN PAS yang kalah dalam pilihan raya umum (Dato’ Ariffin Jaka dan Dato Mohd Arif), calon ahli parlimen BN (Dato’ Ian Chin) dan calon ahli Parlimen pembangkang (Tan Sri George Seah – SUPP) yang kalah dalam pilihan raya umum, semuanya dilantik sebagai hakim. Tiada siapa yang menimbulkan sebarang bantahan. Mereka telah terlibat dalam politik berparti sebelum mereka dilantik menjadi hakim.

4. Selepas PRU 14 pun, ada hakim bersara yang berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib parti komponen PH. Kenapa Gopal Sri Ram tidak menegurnya?

6. Jika Tun Dr. Mahathir boleh berubah, Waytha Moorthy boleh berubah, mengapa saya tidak boleh? Saya tidak memberi pendapat mengenai isu-isu politik semasa saya dalam perkhidmatan. Hanya setelah bersara baharu saya berbuat demikian. Saya juga rakrat.

Pada hari yang sama, Malaysiakini melaporkan di bawah tajuk “Bedridden ex-CJ says ‘war’ to protect bumi rights not over”. (“Bekas KHN yang bedridden berkata ‘perang’ untuk melindungi hak-hak bumiputra belum berakhir”.) Saya mesti mengatakan ia adalah satu laporan yang adil walaupun ia menekankan pemergian saya dengan menaiki ambulans dan hanya satu aspek ucapan saya. Saya tidak menyalahkannya kerana menonjolkan pemergian saya ke PWTC dengan menaiki ambulans kerana itu mungkin satu berita menarik dan, mungkin, tiada siapa yang pernah melakukannya di negara ini. Itu juga boleh menjadi satu rekod.

Tajuk Free Malaysia Today “ICERD: Jangan percaya Putrajaya, kata Tun Hamid” seperti dilaporkan pada 26 Disember 2018 dengan jelas memasukkan perkataan ke dalam mulut saya. Walau bagaimanapun, kandungannya agak adil kerana ia memetik dari ucapan saya, walaupun ia juga hanya memberi tumpuan hanya kepada satu aspek ucapan saya.

Selepas konvensyen itu, adalah jelas bahawa “Perhimpunan kesyukuran” pada 8 Disember 2018 di Dataran Merdeka (perhimpunan 812) itu mendapat sokongan di seluruh negara. Saya menulis “Amanat Tun Hamid” yang dibuat rakaman video dan dimainkan malam itu sebagai sebahagian daripada kempen perhimpunan itu.

Tidak syak lagi, rencana dan ucapan saya mengenai ICERD memainkan peranan penting untuk menjadikan masyarakat Melayu/Islam faham isu itu dan mempengaruhi mereka untuk pergi ke Kuala Lumpur untuk menyertai perhimpunan itu, lebih daripada ucapan saya menentang pemansuhan Akta Hasutan, empat tahun lebih awal. Saya memberitahu penganjur bahawa saya tidak akan menghadiri perhimpunan itu kerana tempatnya tidak sesuai dengan keadaan saya. Walau bagaimanapun, dua poster muncul dengan gambar saya, mendesak orang ramai untuk hadir. Jelas, seseorang menggunakan nama saya untuk mempengaruhi orang ramai untuk menghadiri perhimpunan itu.

Beberapa hari sebelum 8 Disember 2018, kita mendapat tahu bahawa SUHAKAM akan mengadakan perhimpunan untuk merayakan hari hak asasi manusia pada hari yang sama dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir akan menghadiri majlis itu. Ia dilihat sebagai satu usaha untuk menjejaskan perhimpunan 812 oleh SUHAKAM yang menyokong kuatnya ratifikasi ICERD.

Pada lewat petang 7 Disember 2018, apabila bas-bas yang membawa penyokong untuk perhimpunan 812 telah tiba di Kuala Lumpur atau sedang dalam perjalanan dari seluruh Semenanjung Tanah Melayu untuk menyertai kebangkitan menentang “Malayan Union 2”, Tun Dr. Mahathir menggugurkan satu lagi bom ke atas SUHAKAM bahawa beliau tidak akan menghadiri perhimpunan SUHAKAM itu. Bukan itu sahaja, sebab yang diberikan oleh Perdana Menteri itu juga tentulah menyayat hati SUHAKAM. Beliau berkata, “Saya memutuskan kita tidak akan menerima ICERD. Suhakam mahu menerima ICERD. Jadi, bagaimana saya hendak pergi?”

Keesokan harinya, The Star Online melaporkan, “Ketiadaan Tun Dr Mahathir Mohamad di perhimpunan Hari Hak Asasi Manusia Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) adalah satu kebaikan bagi mereka, kata Tan Sri Razali Ismail.” Ini jelas adalah satu kenyataan untuk menutup malu.

Kembali ke perhimpunan 812. Dalam artikel saya “Ratifikasi ICERD; Mengimbas Kembali” yang dikeluarkan pada 10 Disember 2018, saya merumuskan:

“Biar berapa pun jumlah peserta yang dianggarkan, perhimpunan itu menempah sejarah dalam tiga perkara:

1. Ia adalah satu perhimpunan yang terbesar dalam sejarah negara ini;

2. Ia adalah satu perhimpunan orang Melayu yang terbesar sepanjang sejarah.

3. Ia adalah satu perhimpunan yang paling aman dan bersih dalam sejarah negara. Tiada satu saman dikeluarkan dan tiada sekeping kertas atau satu sampah yang ditinggalkan.”

No comments:

Post a Comment