TUN ABDUL HAMID MOHAMAD
Former Chief Justice of Malaysia
PENDEKATAN UMNO SELEPAS PRU 14
PENDEKATAN UMNO SELEPAS PRU 14
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad
Tiada siapa boleh menafikan sambangan UMNO kepada orang Melayu termasuk penyokong PAS. Jika tidak, di mana kita sekarang, termasuk saya? Malah, saya cabar rakyat Malaysia bukan Melayu jika mereka berani mengatakan bahawa mereka tidak menerima apa-apa nikmat daripada pemerintahan yang diterajui UMNO itu.
Kekalahan UMNO dalam PRU 14
Malangnya, setelah lebih separuh abad berkuasa, pemimpin-pemimpin UMNO lupa daratan. Mereka berebut untuk mendapat kedudukan dalam parti untuk mendapat pangkat dalam kerajaan untuk mendapat kuasa untuk kepentinan diri. Rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pembaziran berleluasa, sekurang-kurangnya, itulah persepsi awam. Dalam UMNO, politik wang menjadi amalan. Ahli-ahli UMNO di bawah juga mengharapkan sogokan. Cell UMNO rosak dari atas ke bawah.
Orang Melayu pula telah hilang pedoman. Dalam perebutan kuasa itu, mereka bersengketa sesama sendiri dan berpecah belah. Orang Cina melihat keadaan itu, membuat perkiraan, bersatu di belakang DAP untuk menjatuhkan kerajaan BN yang diterajui UMNO dan menuntut lebih daripada apa yang mereka perolehi selama ini melalui MCA dan Gerakan, di ikuti oleh orang India. Yang lebih itu akan datang dari mana jika tidak daripada orang Melayu?
Sebahagian orang Melayu yang tidak puas hati dengan pemimpin-pemimpin UMNO dan termakan dengan cacian Tun Dr. Mahathir dan Mat Sabu yang melampau itu, tetapi tidak memikirkan mudarat yang lebih besar akibat kejatuhan kerajaan BN yang diterajui UMNO diperingkat Persekutuan, beralih mengundi PH dalam PRU 14.
Maka, pada 9 Mei 2018, tibalah hukuman ilahi terhadap UMNO: BN yang diterajui UMNO kalah dalam PRU14. Apa yang ditakuti akan berlaku telah berlaku.
UMNO tidak terkubur
Tetapi, adakah dengan kekalahan dalam PRU14 itu, UMNO sudah terkubur? Saya katakan tidak. Alasannya adalah, pertama, UMNO memperolehi lebih banyak undi orang Melayu (40%) daripada PH (23%) dan PAS (25%). Majoriti pengundi Melayu masih menolak PH. Jika dicampur pengundi Melayu yang mengundi UMNO dan PAS, jumlahnya adalah 65%. Ertinya, jika UMNO dan PAS boleh bekerjasama, UMNO dan PAS mesih boleh mendapat 65% undi Melayu. Saya percaya, dengan mengelak pertandingan tiga penjuru di Pantai Barat Semenanjung Tanah Melayu, sebilangan kerusi yang dimenangi PH boleh dimenangi UMNO atau PAS.
Kedua, kebanyakan orang Melayu yang berpindah mengundi PH dalam PRU 14 bukanlah ahli-ahli UMNO yang keluar dari UMNO dan menjadi ahli PKR, PPBM atau Amanah. Mereka mengundi PH kerana Tun Dr. Mahathir dan Mat Sabu berjaya menjadikan mereka bencikan Dato’ Seri Najib. Mereka tidak percaya bahawa PKR, PPBM dan Amanah tidak mampu mengawal DAP seperti UMNO mengawal MCA, Gerakan dan MIC selama 60 tahun itu. Sekarang, selepas tiga bulan, saya percàya, sebahagian daripda mereka mungkin telah menyesal.
Apabila nampak UMNO akan kalah, bekas-bekas pemimpin tinggi UMNO yang menjadi kaya raya dengan memperalatkan UMNO, pun lari. Apabila kalah, ahli-ahli akar umbi yang merasakan pemimpin-pemimpin UMNO yang kalah itu tidak mampu memberi apa-apa lagi kepada mereka, juga lari ke parti yang menang.
Biarlah mereka pergi. Ingatlah Perjanjian Hudaibiah, orang-orang murtad dibenarkan balik ke Mekah. Lebih baik mereka keluar daripada menjadi kuman dalam daging.
Falsafah perjuangan UMNO masih relevan
Adakah falsafah perjuangan UMNO masih relevan? Saya percaya, falsafah perjuangan UMNO selepas merdeka adalah untuk memastikan bahawa hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam yang termaktub dalam Perlembagaan, tidak terhakis.
Jika itulah matlamat perjuangan UMNO, maka falsafah perjuangannya tetap relevan.
Patutkah UMNO menjadi parti pelbagai kaum (multi-racial party)?
Satu soalan yang timbul ialah sama ada UMNO patut menjadi parti pelbagai kaum. Mengapa UMNO hendak dijadikan sebuah parti pelbagai kaum? Nyata, jawapannya adalah untuk mendapat undi orang bukan Melayu.
Soalnya, adakah dengan membuka pintu keahlian kepada orang bukan Melayu sedangkan falsafah perjuangan UMNO tidak berubah, orang bukan Melayu akan menjadi ahli UMNO, menyokong dan mengundi UMNO? Saya fikir, tidak. Pertimbangan mereka adalah apakah untung atau rugi mereka jika mereka menjadi ahli, menyokong dan mengundi sesebuah parti. Sebuah parti yang difikirkan paling berkemungkinan memberi lebih banyak apa yang mereka kehendaki adalah parti yang menjadi pilihan mereka. Pada masa ini ianya adalah DAP. Mungkinkah orang Cina akan keluar dari DAP untuk menjadi ahli atau penyokong UMNO jika UMNO, dengan falsafah perjuangan yang sama, membuka pintu untuk mereka? Saya fikir tidak.
Jika demikianlah halnya, untuk menarik mereka, sanggupkah UMNO mengubah falsafah perjuangannya supaya lebih memihak kepada orang Cina daripada apa yang ditawarkan oleh DAP? Saya fikir, tidak.
Atau, adakah UMNO akan meniru apa yang dilakukan oleh PKR? Jika hendak mengikut PKR, lebih baik bubar UMNO dan biarkan ahli-ahlinya menyertai PKR. Tetapi, walau pun keahlian PKR terbuka kepada orang bukan Melayu, di Semenanjung Tanah Melayu, setelah dua abad, berapa peratuskah ahlinya terdiri daripada orang Cina dan India?
Oleh itu, lebih baik diketepikan cadangan itu, perkuatkan UMNO semula dan cari di mana salahnya.
Di mana salahnya?
Berulang-ulang kali dalam ucapan-ucapan saya semenjak 2014, saya katakan bahawa UMNO berada di atas landasan yang betul. Masalahnya adalah pemimpin-pemimpinnya yang mempunyai persepsi rasuah yang sangat tinggi. Kedua, professional yang berminat politik mendapati amat sukar untuk memecah masuk ke dalam hierki UMNO, antaranya disebabkan oleh politik wang. Akibatnya, mereka menyertai PAS.
Politik wang
Biarlah saya bincangkan politik wang terlebih dahulu. Tidak boleh dinafikan bahawa politik wang telah menjadi amalan UMNO. Selagi mempunyai kuasa, bolelah mencari wang dengan penyalahgunaan kuasa atau rasuah untuk disogok kepada penyokong dan bakal penyokong. Sekarang, kuasa sudah tidak ada. Dari mana sumber kewangan akan diperolehi?
Sebab itu, adalah diharapkan dengan kekalahan UMNO dalam PRU 14, akan terbuka peluang untuk menghapuskan politik wang dalam UMNO. Itu terserahlah kepada tuan-tuan sendiri.
Pemulihan imej dan credibility
Disebabkan oleh pemimpin-peminpinnya, hari ini, imej UMNO berada di paras yang paling rendah dalam sejarah. Pemimpin-pemimpinnya sudah hilang credibility. Usaha memulihkannya amatlah sukar. Selagi pemimpin-pemimpin yang sudah hilang atau kurang credibility itu masih memegang jawatan dalam UMNO, orang akan melihat bahawa tiada apa-apa perubahan yang berlaku kepada UMNO.
Maka, pemimpin-pemimpin yang menjadi tanggungan (liability) kepada parti, sama ada kerana persepsi rasuah atau penyalahgunaan kuasa yang tinggi atau oleh sebab-sebab lain, hendaklah mengundur diri daripada memegang jawatan dalam UMNO.
Setiap pemimpin hendaklah melakukan muhasabah diri dan menjawab dengan jujur “Adakah aku menjadi tanggungan kepada UMNO dalam usaha memperbaiki imejnya?
Jika jawapannya “Ya”, maka eloklah dia berundur. Tetapi, dalam keadan sekarang, tindakan singkir menyingkir tidak patut dikakukan. Ia akan menyebabkan ketidak stabilan dalam parti dan permusuhan sesama sendiri yang akan melemahkan parti lagi sedangkan inilah masanya untuk bersatu padu dan memperkuatkan semula parti.
Maka, pemimpin-pemimpin yang merasai dirinya juga menjadi tanggungan kepada pemulihan imej UMNO tetapi enggan menarik diri atau pun merasakan bahawa perkhidmatan mereka masih diperlukan, eloklah menampakkan bahawa mereka telah bertaubat dan akan menjalani kehidupan baru yang bersih.
Isu Najib
Pada pandangan saya, pada masa ini, UMNO perlu merenggangkan diri daripada Dato’ Seri Najib. Mengutip derma untuk membantu kos kepeguamannya atas nama UMNO tidak akan membantu usaha pemulihan imej UMNO. Tetapi, sesiapa yang merasa terhutang budi kepadanya, bolehlah menderma secara peribadi.
Persidangan Agung UMNO ibarat pesta
Saya dapati Persidangan Agung UMNO adalah seperti pesta, bukan seperti satu persidangan yang serius untuk membahaskan isu negara dan hala tuju kerajaan yang memerintah. Di luar dewan seperti pasar malam. Di dalam dewan terdapat penglipur lara yang menghibur peserta dengan lawak jenaka mereka. Tepukan diberi apabila pensyarah menaikkan suaranya, tidak kira apa yang dikatakannya, lagi kuat suaranya lagi kuat pulalah tepukan yang menyambutnya.
Saya ingin melihat perwakilan berhujah dengan hujah-hujah yang mantap dan memikirkannya dengan serius.
Fokas kepada kesilapan PH
Kempen PH dalam PRU 14 hanyalah tertumpu kepada mencari keburukan kerajaan BN, terutama sekali kesalahan pemimpin-pemimpin UMNO. Pengundi termakan umpan mereka.
Sekarang mereka memerintah. Dalam masa tiga bulan pun kita sudah dapat melihat konsesi (concession) yang diberikan kapada orang bukan Melayu/Islam yang diambil daripada orang Melayu/Islam. UMNO perlu exploit isu-isu itu untuk menyedarkan orang Melayu bahawa amaran bahaya kejatuhan kerajaan pusat kepada PH yang dikuasai oleh DAP sudah pun mula berlaku, dan banyak lagi akan mengikutinya.
Pembangkang yang bertanggungjawab dan beradab
Parlimen Malaysia telah hilang decorumnya. Perbahasan telah menjadi pertengkaran. Siaran langsung seolah-olah menggalakkan mereka berbuat demikian, kerana mereka akan dilihat sebagai hero oleh penonton.
Saya syorkaan ahli-ahli UMNO tidak mengikut gelagat mereka. Tunjukkan Tunjukkan bahawa bangsa Melayu adalah satu bangsa yang beradab sopan, berbudi bahasa, malah dalam berhujah pun, Islam mengajar adabnya. (Perhatikan Bahasa Inggeris tidak ada perkatan yang sama dengan perkataan berhujah. Ia cuma ada perkataan “argue” yang juga bermakna bertengkar. Saya tidak tahu bahasa Mandarin dan Tamil.) Kita boleh tegas dan serius dengan cara yang terhormat.
Kerjasama dengan PAS, Perkasa dan NGO-NGO Melayu/Islam
Dalam keadaan sekarang, UMNO bersendirian adalah terlalu kecil untuk memberi impak yang secukupnya. Demikian juga PAS. Harapan untuk orang Melayu/Islam bersatu dalam satu parti tidak mungkin berlaku walaupun PAS adalah parti serpihan UMNO. Apatah lagi, selepas PRU 14, PAS telah mula angkuh. Dalam UMNO pun terdapat pemimpin-pemimpin yang terang-terang tidak mahu ada kesepakatan dengan PAS. Itu belum mengambil kira pandangan ahli-ahli Parlimen dan ADUN di kedua belah pihak. Mereka mempunyai kepentingan diri. Mereka takut kehilangan kedudukan masing-masing.
Tetapi selagi PAS dan UMNO kekal bersendirian dan bertanding antara satu sama lain dalam pertandingan tiga penjuru atau lebih, di Pantai Barat Semenanjung Tanah Melayu, PRU 14 akan berulang. Itu PAS dan UMNO perlu sedar. Maka, demi agama bangsa dan negara, pemimpin-pemimpin UMNO dan PAS perlu mengetepikan kepentingan diri. Paling kurang, UMNO dan PAS perlu berkerjasama untuk mengelak pertandingan tiga penjuru atau lebih.
Mula-mula, PRK Sungai Kandis nampak seperti satu permulaan yang baik. Tetapi, jika peratusan pengundi yang rendah yang keluar mengundi itu disebabkan oleh penyokong-penyokong PAS tidak keluar mengundi, kesimpulan yang saya boleh buat ialah “Malays never learn.”
Jika beginilah keadaannya, saya khuatir, akan berpanjanganlah penguasaan DAP.
Pada masa yang sama NGO-NGO seperti Perkasa hendaklah memberi sokongan padu untuk merealisasikan kerjasama ini. Jika itu dapat dilakukan dalam PRU 15 pun cukuplah.
Rakan parti bukan Melayu
Semasa UMNO kuat, parti-parti bukan Melayu, melutut untuk bersama-sama dengan UMNO. Apabila BN yang diterajui UMNO kalah, semua lari. Saya percaya jika gagasan UMNO-PAS dapat diperkuatkan dan PAS keluar daripada kotak pemikiran Kelantan, ada parti bukan Melayu yang akan mendekatinya semula.
Itu jugalah yang berlaku kepada PH. Selepas menang, parti yang menjadi anggota BN pun ada yang lari untuk menyertainya. Hal yang sama boleh berlaku sebaliknya apabila pakatan UMNO kuat semula.
Kesimpulan
Tiada siapa yang tahu apa akan berlaku di masa hadapan. Manusia hanya boleh mencongaknya, mungkin betul, mungkin tidak. Tetapi, pemimpin-pemimpin UMNO sendiri tahu kesilapan mereka. Betulkan kesilapan itu, perhati keadaan semasa pada sesuatu masa, sesuaikan strateji dengannya tanpa menjual malamat dan maruah. Saya fikir, itulah pendekatan yang patut dilakukan.
Sekian.
09 08 2018
No comments:
Post a Comment