Saturday, 6 July 2019

Tak akan ada ‘bossku’ jika PH tunai janji, kata Najib

Tak akan ada ‘bossku’ jika PH tunai janji, kata Najib

Najib Razak.


KUALA LUMPUR: Fenomena “bossku” tidak akan menjadi jika Pakatan Harapan (PH) menunaikan semua janji pilihan rayanya, kata Najib Razak.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata fenomena itu menyaksikan rakyat, terutama golongan muda semakin menerima Umno, termasuk dirinya “walaupun tidak ada lesen motosikal”.

“Kenapa pada hari ini kita semakin diterima rakyat? Sebab rakyat sudah rasa tertipu,” katanya kepada para perwakilan di mesyuarat Umno Setiawangsa hari ini.

“Fenomena ‘bossku’ tidak jadilah kalau PH tunaikan janji. Sekarang orang muda kata PH tidak boleh harap, kaki kelentong, tunggu pilihan raya akan datang,” tambahnya.

Najib berkata antara janji yang gagal ditunaikan gabungan pemerintah adalah menurunkan kos sara hidup, menghapuskan tol lebuh raya dan menghapuskan hutang peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Beliau juga mengingatkan para perwakilan tentang situasi hutang negara bawah pentadbiran hari ini.

“Dua malam lalu, sejarah tercipta apabila pertama kali hutang cecah RM800 bilion,” katanya.

Beliau berkata kedudukan hutang negara semasa 9 Mei 2018, iaitu pada hari pilihan raya yang menyaksikan kerajaan bertukar tangan, adalah RM686 bilion.

“Peningkatan RM122 bilion dalam tempoh setahun. Siapa yang nak bayar semua ini? Rakyat semua kena tanggung,” katanya.

Najib akui kekalahan pada pilihan raya umum ke-14 merupakan pengalaman pahit buat Umno dan Barisan Nasional, sehingga ada pemimpinnya yang tidak mahu membaca akhbar dan menonton televisyen.

Namun beliau berkata kekalahan itu memberi pengajaran, dan rakyat boleh menilai kerajaan mana lebih baik.

“Tetapi apa jua bentuk mimpi ngeri, kita tidak harus biar menyusuk hati sehingga tidak tahu bagaimana nak bangkit,” katanya.

“Kita perlu mencari jalan, kita harus bangkit dari kekalahan,” tambahnya.

No comments:

Post a Comment