Rupanya PM ke-4 pernah bagi ‘hadiah besar’ untuk Presiden Zimbabwe
MEDIA tempatan teruja melaporkan bahawa Datuk Seri Najib Razak membelanjakan RM3.3 juta sehari menggunakan kad kredit yang kononnya hasil dana daripada SRC International Sdn Bhd.
Walhal, semua perbelanjaan itu adalah menggunakan kad kredit atas namanya, bukan SRC International.
Tampil menjelaskan kekeliruan yang cuba dicetuskan media, bekas Perdana Menteri itu berkata, keterangan saksi pada kes penyelewengan dana SRC International membuktikan beliau jarang menggunakan kad kredit tersebut.
Najib menjelaskan, fakta mahkamah juga menunjukkan perbelanjaan RM3.3 juta pada 8 Ogos 2014 adalah paling besar untuk kad kreditnya.
“Perbelanjaan ini adalah untuk hadiah kepada ahli kerabat raja kanan sebuah kerajaan serta rombongan mereka (bukan Arab Saudi atau Abu Dhabi) yang mempunyai hubungan baik dengan negara kita.
“Mereka sekeluarga serta rombongannya telah bersama kita dalam kunjungan kita sekeluarga ke Itali masa itu,” katanya dalam catatan di Facebook semalam.
Najib berkata, kerajaan biasanya akan menanggung kos hadiah dan ia merupakan satu kebiasaan untuk memberi hadiah kepada pemimpin kerajaan lain.
“Seperti (amalan) Perdana Menteri keempat bagi hadiah besar untuk rumah peribadi Presiden Robert Mugabe dari Zimbabwe dahulu,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai perbelanjaan kad kredit itu, Najib berkata pembelian dan pemberian hadiah itu pada 8 Ogos 2014 itu juga telah dibalas dengan sepucuk surat bertarikh 15 Ogos 2014 dari penerima hadiah.
“Saya menyorokkan nama penerima hadiah ini dalam posting kerana tidak adil untuk nama beliau digunakan secara awam seperti ini tapi surat asal akan dikemukan kepada mahkamah sebagai bukti kes.
“Masa itu, penjelasan dari peguam saya juga akan dikemukakan.
“Oleh kerana kes SRC ini masih dalam perbicaraan, saya tak dapat menjelaskan dengan lebih lanjut pada masa ini.
“Yang saya boleh kata ialah tajuk berita dari kerajaan PH ini bukan semua boleh dipercayai secara bulat-bulat kerana ianya amat selektif.
“Itulah sebab saya telah beberapa meminta perbicaraan kes saya disiarkan secara langsung supaya rakyat tahu cerita sebenar,” katanya. – 16 Julai 2019.
No comments:
Post a Comment