Monday, 12 January 2026

Skandal sebelum 1MDB

Skandal sebelum 1MDB 

Ketika kontroversi buku ini muncul, skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) baru beberapa bulan terjadi. Tetapi hanya beberapa orang yang tahu. Kita semua tidak sedar apa-apa. 

Edisi pertama Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times (terbit 2009) ditahan di pelabuhan Klang pada November 2009. 

Buku biografi politik Tun Dr Mahathir Mohamad ini mendakwa RM100 bilion habis terbazir begitu sahaja akibat empat skandal besar bawah pentadbirannya. 

Tiada arahan kerajaan mengharamkan buku ini waktu itu tetapi kastam menahan 800 naskhah kerana beberapa pegawai risau kandungannya boleh menimbulkan isu politik. 

Maka karya Barry Wain, bekas pengarang Asian Wall Street Journal, tersadai di situ. 

Sekatan tersebut cepat dihidu portal Malaysiakini, maka kontroversi meletus di portal itu sebelum disambut media prokerajaan. 

Padahal Dr Mahathir sendiri, membantu menaikkan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri, tidak kisah dengan kandungan buku ini walau kritikal terhadapnya. 

Sebulan selepas Najib memegang jawatan itu, dan juga menteri kewangan, pada awal April 2009, muncul kontroversi dalam nota hutang Terengganu Investment Authority (TIA), nama lama sebelum diambil alih dan ditukar namanya 1MDB. 

Adik perdana menteri, waktu itu memimpin bank terkemuka CIMB, Tan Sri Nazir Razak mula syak dan risau cara nota hutang itu diurus boleh menjejaskan pasaran bon negara ini. 

Namun AS$700 juta dana 1MDB yang dilencongkan Jho Low disedari pengerusi ahli lembaga pengarah 1MDB Tan Sri Mohd Bakke Salleh pada September. 

Beliau segera memaklumkan kepada Najib sebagai menteri kewangan yang memantau 1MDB. Tetapi tiada tindakan dibuat. 

Pengajaran daripada pendedahan skandal demi skandal seperti dalam buku ini nampaknya tidak diendahkan. Terjemahannya Muslihat Mahathir: Mengharung Zaman Gelora (terbit 2023), Malaysian Maverick dibenarkan beredar sejak April 2010 lagi. 

Kalaulah Najib dan Umno bertindak awal mengekang skandal ini, tentu BN masih memimpin kerajaan, tidak tumbang pada pilihan raya 2018 dan merosot lagi pada 2022. 

Tetapi sejarah panjang skandal demi skandal, yang tidak pernah dihukum, mengelabui ramai ahli politik. 

Dr Edmund Terence Gomez menyenarai 70 kontroversi, skandal dan penyelewengan melibatkan ahli politik sejak 1979, kira-kira 30 tahun sebelum 1MDB bermula, hingga 2023. 

Dalam karyanya Misgovernance: Grand Corruption in Malaysia (terbit 2024), profesor yang terkenal dengan kajian politik wang menyifatkan banyak lompong sehingga ahli politik rasa mereka tidak melanggar sebarang undang-undang. 

"Despite numerous allegations of malfeasance against politicians through the practice of selective patronage, it does not cross the line of legality.

"For this reason, governing politicians can claim that they have violated no laws," kata Gomez (halaman 33). 

Beliau memulakan kajian di peringkat sarjana dengan judul Politics in Business: Umno's Corporate Investments (buku diterbit 1990), kemudian Money Politics in the Barisan Nasional (1991). 

Dua lagi kajiannya, Political Business: Corporate Involvement of Malaysian Political Parties (1994) dan Malaysia's Political Economy: Politics, Patronage and Profits (1997, bersama Jomo KS)

Sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB), bagi kurangkan kesenjangan kekayaan antara kaum susulan rusuhan 13 Mei 1969, jalinan dana dan kuasa politik makin berbelit-belit khasnya era Dr Mahathir. 

Sebab itu, karya Wain ini Muslihat Mahathir harus menjadi naskhah wajib baca untuk memahami persoalan rasuah, skandal, politik wang dan penyelewengan di Malaysia. 

Kita tidak akan faham bagaimana 1MDB boleh diseleweng sebegitu rupa tanpa latar sejarah ekonomi-politik dekad 1980-an dan 1990-an. 

"Pentadbiran Dr Mahathir bermula pada tahun 1981 dengan cogan kata: bersih, cekap dan amanah. Hampir sekelip mata, pentadbirannya terpalit skandal demi skandal kewangan yang semakin kerap terbongkar. 

"Sebahagian daripada skandal itu melibatkan jumlah yang betul-betul luar biasa. Sebilangan pula di tahap yang mampu memufliskan kebanyakan negara membangun," kata Wain pada perenggan awal bab 6. 

Namun Nazir tiada banyak pilihan. Setelah sedar penyelewengan 1MDB pada 2013, beliau meminta Dr Mahathir membantu membongkar skandal tersebut dalam pertemuan di London pada April 2015. 

Kisah ini diceritakan dalam memoirnya What’s in a Name (terbit 2021). 

Tokoh perbankan itu juga menyifatkan masalah rasuah dan penyelewengan di negara ini seperti "raksasa kepala tiga" yang membiak sejak era Dr Mahathir. Tiga kepala itu: rasuah, politik perkauman dan cengkaman kuasa Umno.

Selepas Dr Mahathir berundur pada hujung 2003, Tun Abdullah Ahmad Badawi cuba mengekangnya tetapi tidak cukup berjaya mengatasinya. 

"Dalam kes reformasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) oleh Abdullah, pada peringkat awal terdapat kejayaan yang ketara. 

"Namun, kemajuan itu segera berundur dan GLC akhirnya terseret ke dalam kancah politik melalui pelantikan kepimpinan, skandal kewangan seperti yang berlaku di Felda, Tabung Haji dan paling dramatik sekali, 1MDB," kata Nazir pada 2021.

Dalam memorandumnya kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja pada 29 Oktober 2021, Nazir dan kumpulannya menulis: 

"Pada tahun-tahun awalnya [zaman Tun Razak Hussein], sistem baharu ini sebahagian besarnya berjaya, membawa kestabilan politik yang amat diperlukan, mempercepatkan pertumbuhan ekonomi, mengurangkan kemiskinan serta mengimbangi semula pengagihan kekayaan antara komuniti.

"Namun, sistem ini juga menghasilkan kesan sampingan yang negatif, iaitu peningkatan rasuah, pengukuhan politik identiti [kaum] dan pemusatan kuasa, yang semakin ketara apabila sistem tersebut berlarutan.

"Kesan-kesan sampingan negatif ini saling memperkuat antara satu sama lain dan menjadi teras kepada kegagalan sistemik (systemic dysfunction) negara Malaysia pada hari ini." 

Semua ini tidak dapat difahami tanpa menyelami zaman yang mencetuskan segala skandal tersebut seperti ditulis dengan cukup jelas dalam Muslihat Mahathir: Mengharung Zaman Gelora. 

Selagi kita kabur, selagi itulah kita tidak mampu melakukan perubahan. 

Walau karya ini bukan buku ekonomi atau semata-mata skandal tetapi olahan pengarang dalam pelbagai bidang menjelaskan watak kepemimpinan Dr Mahathir dan pergolakan zaman tersebut. 

Bukan sebarangan zaman, Dr Mahathir memerintah selama 22 tahun selepas 25 tahun negara merdeka. 

Satu pertiga daripada sejarah negara kita selama 68 tahun dibentuk oleh gaya, cita rasa dan cita-citanya. Baik atau buruk? 

Semuanya diulas dalam Muslihat Mahathir terbitan Buku IBDE dengan kerjasama Media Selangor.

..

No comments:

Post a Comment