Saturday, 4 August 2018

Dr. Mahathir Cuba Lindungi Anak Daripada Didakwa?

Dr. Mahathir Cuba Lindungi Anak Daripada Didakwa?

By MT Webmaster 
On Feb 13, 2016

(Utusan Online) – Pengendali portal, Raja Petra Kamarudin mendakwa serangan Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mempunyai kaitan dengan satu kes yang disiasat Suruhanjaya Sekuriti (SC) membabitkan salah seorang anak bekas Perdana Menteri itu.

Menerusi portal Malaysia-Today kelmarin, Raja Petra menimbulkan kemungkinan segala serangan oleh Dr. Mahathir sebenarnya satu cubaan untuk melindungi anaknya itu dengan menimbulkan keraguan kepada kredibiliti Mohamed Apandi.

Apatah lagi dakwa Raja Petra, Dr. Mahathir telah dimaklumkan yang SC mempunyai kes bagi mengambil tindakan dalam siasatan tersebut.

Beliau mendakwa, disebabkan itu, Dr. Mahathir masih mahu bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail kekal dalam jawatan itu dan bimbang dengan pelantikan Mohamed Apandi.

Pengendali portal itu menjelaskan, Dr. Mahathir merupakan orang yang melantik Abdul Gani sebagai Peguam Negara.

“Mengapa Dr. Mahathir masih mahu Gani di pejabat dan mengapa dia begitu takut kepada Apandi?

“Jawapannya adalah sangat mudah. SC sedang menyiasat anaknya dalam satu kes yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM1 juta,” dakwa Raja Petra.

Dakwa beliau, dengan Mohamed Apandi sebagai Peguam Negara, situasi ini akan menjadi paling sukar berbanding jika Abdul Gani dikekalkan.

“Jadi, ini adalah sebab mengapa Dr. Mahathir mahu memburukkan dan menjatuhkan Apandi. Dia mahu memburukkan Apandi dan membuat orang berfikir bahawa Peguam Negara adalah suruhan Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak),” dakwanya seperti dipetik dalam portal Malaysia Today.

Dakwa Raja Petra, bekas Perdana Menteri itu ‘belajar’ daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim cara untuk berpura-pura menjadi seorang mangsa apabila ‘letupan’ (pendakwaan) dilakukan.

Seterusnya dakwa Raja Petra, Dr. Mahathir boleh berkata kepada umum:

“Saya telah beri­tahu kamu.”

Dakwa Raja Petra dalam portal tersebut, Dr. Mahathir kemudian boleh melaungkan konspirasi politik seperti apa yang Anwar lakukan mengenai dua sabitan kes liwatnya.

“Anda meramalkan apa akan berlaku supaya anda boleh mengatakan anda tahu ini akan berlaku dan sebab mereka lakukan ini adalah untuk menganiaya anda dengan dakwaan dan tuduhan palsu,” katanya.

Artikel penuh Raja Petra mengenai isu itu boleh diakses di http://www.malaysia-today.net.

Dalam pada itu, Pengerusi SC, Datuk Seri Ranjit Singh ketika dihubungi enggan mengulas mengenai perkara itu.

 

No comments:

Post a Comment