Sunday, 23 September 2018

REVOLUSI PERANCIS: ZAMAN GANAS

REVOLUSI PERANCIS: ZAMAN GANAS

November 15, 2014




Perjalanan Sebuah Revolusi Perancis; Sebab dan Akibat (Part II)

by; Sadiq Jebat

Bahagian-II ini kita akan membicarakan pasca-revolusi kejatuhan kuasa monarki di Perancis, seperti yang telah dijelaskan pada minggu lepas— Perancis telah melalui beberapa peringkat tetapi peringkat awalnya bermula pada tahun 1789 sewaktu ketirisan ekonomi Perancis akibat daripada dua perkara yang telah dinyatakan sejarawan Rude. Dengan itu kembalinya kita pada bahagian dua ini untuk mengetahui lebih dalam berkenaan pasca-revolusi kejatuhan monarki. Pada bahagian ini kita akan membahaskan beberapa sub-topik yang telah disenaraikan oleh saudara Qasim Ahmad iaitu penulis buku Eropah Moden; Arus Sosiopolitik dan Pemerintahan;-

Ø  Kelab-kelab Politik dan Pengukuhan kepada Revolusi.

Ø  Perlembagaan Sivil Gereja dan Ancaman terhadap Revolusi.

Ø  Perpecahan Berterusan dan Kejatuhan Girondin.

Ø  Zaman Ganas.

Ø  Kejatuhan Robespierre.

Maka seperti biasa, nota ini telah saya ringkaskan untuk kefahaman yang hadir pada hari ini malahan ada sedikit tokok tambah dalam nota ini dari pengetahuan dan rujukan daripada buku-buku yang lain. Oleh sebab itu, saya memohon kepada para hadirin yang hadir menjadikan nota ini sebagai bahan bacaan jika punya kelapangan waktu. Sejujurnya saya menyeru kepada para pendengar yang hadir pada hari ini untuk terus komited mempelajari sejarah tidak mengira apa jua sejarah hatta sejarah orang asli sekalipun.

Kelab Politik dan Pengukuhan kepada Revolusi.

Di Perancis punya banyak kelab-kelab politik yang tumbuh bagai cendawan sewaktu pra-revolusi dan seperti yang kita tahu semestinya sesuatu kelab itu dibawa oleh golongan minoriti berbanding golongan majoriti. Sejarah sudah membuktikan bahawa golongan minoriti yang banyak menempa kejayaan sejarah kerana golongan inilah yang sering memperlihatkan kegigihan mereka untuk membawa perubahan dan mempunyai idea-idea melawan status quo; Malahan golongan ini akan mendapat sokongan daripada golongan majoriti jika mereka sedar perlawanan yang mereka buat itu kepada orang atau institusi yang patut ditentang. Maka golongan majoriti adalah rakyat yang didorong oleh minoriti—digunakan atau tidak adalah penceritaan sejarah kemudiannya tetapi menurut kebiasaan golongan majoriti yang menyokong kuat golongan minoriti untuk terus berkuasa.

Pengenalan kepada kelab politik ini saya mulakan dengan kelab yang berpengaruh iaitu kelab Jacobin. Kelab ini sangat dikenali jika anda mengkaji sejarah revolusi. Ini kerana kelab ini yang berjaya memerintah setelah jatuhnya kuasa monarki malahan pada pra-revolusi banyak persatuan kecil yang turut serta dalam perjuangan Kelab Jacobin. Selain itu juga, Kelab Jacobin dikenali juga sebagai Kelab Breton ini berdasarkan kajian temporari mengatakan bahawa kelab itu pada awalnya disertai oleh ramai dari satu kawasan namanya Breton. Tetapi kelab ini telah dibubarkan pada Oktober 1789 setelah tamat kebangkitan melawan raja.

Tetapi ahli kelab itu tidak berdiam diri—masih ramai dalam kalangan mereka ingin mewujudkan tatanan baru dan mereka telah membentuk satu kelab baru iaitu Kelab Jacobin. Nama Jacobin diambil daripada satu biara terbiar iaitu di Paris. Malahan kelab ini disertai 100 orang ahli, apabila diadakan mesyuarat penting Kelab ini akan dihadiri oleh 1000 orang ahli dan 2000 orang pemerhati. Pemilihan ahli dalam kelab ini hanya untuk warga yang “aktif” dan orang ramai dilarang menghadiri perjumpaan kelab itu.

Jujukan daripada perkara itu, Marat seorang ahli Kelab Cordelier telah mengkritik keras Kelab Jacobin ini; “Apakah yang diharap daripada perhimpunan orang bebal ini, yang mengidamkan persamaan, berbangga dengan amalan persaudaraan dan menyingkirkan golongan miskin, yang mereka, walau bagaimanapun mengisytiharkan sebagai orang bebas?”—kritikan keras ini dibuat oleh Marat kerana melihat kebobrokan sistem dalaman kelab itu. Kelab Cordelier ini pula didukung oleh beberapa orang tokoh iaitu Danton, Demoulins, Herbert dan Clootz.

Melihat kepada perbezaan kedua kelab ini, Kelab Cordelier lebih merakyat dan menumpukan kepada semua kelompok masyarakat berbanding Kelab Jacobin. Kelab ini boleh dihadiri oleh semua kelompok masyarakat apabila ada satu-satu mesyuarat yang diadakan tidak mengira kedudukan dan darjat. Hatta begitu, di Perancis tidak terhad kepada dua kelab ini sahaja. Wujud banyak lagi persatuan lain yang juga turut memperjuangkan hak-hak manusia seperti:

§  PPLW (Persaudaraan Lelaki dan Wanita)

§  PGM (Golongan Miskin)

§  PK (Kebebasan)

§  PPD (Pemusuh Despotisme)

§  PPU (Pecinta Undang-undang)

§  PSK (Sahabat Kebenaran)

Tetapi sayangnya, persatuan ini tidak kekal lama atas kaki sendiri kecuali bergabung dengan kelab Cordelier atas satu nama. Dengan gabungan kelab inilah Kelab Cordelier dilihat menjadi pesaing kepada Kelab Jacobin. Gerak kerja mereka adalah untuk menyedarkan rakyat dengan falsafah dan revolusi melalui akhbar-akhbar dan juga komen mereka secara terbuka. Dengan cara ini golongan pekerja lebih tertarik untuk menyertai Kelab dan berjuang bersama-sama mereka dalam gerakan revolusi.

Persatuan Politik mula ditubuhkan pada Jun 1789 iaitu sebuah persatuan yang mula menerobos ruang kerajaan untuk membentuk sebuah gerak kerja yang lebih praktikal. Persatuan ini kebanyakan telah bergabung bersama Kelab Jacobin dan pada Ogos 1789 Kelab Jacobin telah mencatat gabungan meningkat kepada 152 manakala meningkat pula kepada 227 pada Mac 1791. 1000 persatuan mula bergabung dengan Kelab Jacobin pada kejatuhan monarki pada tahun September 1792. Persatuan ini dilihat telah tumbuh secara spontan di kawasan desa kecil dan bandar malahan cawangannya mula diluaskan ke seluruh negara untuk menjayakan lagi gerakan revolusi itu.

Pertumbuhan ini dilihat seiring dengan perkembangan institusi pentadbiran yang baru dengan wujudnya undang-undang baharu pada awal revolusi. Kelab Jacobin yang dilihat telah banyak melakukan kerja untuk rakyat Perancis menyebabkan kepercayaan rakyat mula meletak sepenuhnya hak mandat kepada Kelab Jacobin untuk terus memegang tompok pemerintahan. Kelab Jacobin dilihat sebagai satu kubu yang boleh menangkis pengembalian semula feudalisme ke Perancis. Tokoh yang nampak menyerlah dalam kelab ini adalah Robespierre, Saint Just dan sekutunya. Kemusnahan pemerintahan Robespierre akan saya bawa ke sub-topik selepas ini—faktor kejatuhan Robespierre kerana dilihat rakyat sebagai lebih berbahaya daripada feudalisme itu sendiri.

Setelah revolusi mencapai satu titik di mana memerlukan kekuatannya maka di situ mulalah berlaku pemaksaan kepada Raja Louis—raja terpaksa sahkan sokongan beliau kepada pihak revolusioner pada 23 Jun 1789 sewaktu pertukaran kuasa negara di Versailles di Paris. Dewan kebangsaan juga telah ditukar kepada Dewan Perlembagaan ini menunjukkan kuasa kerajaan dikawal sepenuhnya oleh parlimen. Tidak cukup dengan itu, undang-undang baharu mula digubal—contohnya adalah wujud Perisytiharan Hak-Hak Manusia dan Warganegara (Lihat Lampiran).

Pada 4 Ogos 1789 pihak bangsawan yang bersetuju untuk kekal dalam Kelab Jacobin dan menyokong revolusi harus menghapuskan Hak-Hak Istimewa mereka bertujuan untuk menyamakan darjat dan pangkat di setiap kelas masyarakat dan membuang pemerintahan order lama dalam mewujudkan order baharu. Penghapusan darjat dan gelaran itu digantikan dengan gelaran yang baru iaitu citoyen, gelaran ini untuk semua kelompok masyarakat. Daripada sudut ekonominya pula Perancis mula menerapkan ekonomi bebas—rakyat digalakkan untuk berniaga secara kecil-kecilan dan persaingan sangat dipupuk dalam jiwa peniaga kecil.

Dengan itu kuasa Dewan Perlembagaan lebih dipercayai rakyat bahawa mereka mampu membawa satu perubahan di Perancis dan yakin dengan pemerintahan itu. Walaupun begitu penghapusan hak istimewa feudal itu bukanlah cadangan daripada Dewan Perlembagaan tetapi mengikut kepada suara para petani yang sudah juak dengan darjat dan cukai yang tidak memberi kebaikan kepada golongan mereka. Begitu juga berlaku kepada cukai kutipan oleh Gereja, dihapuskan oleh suara para petani bahkan mereka sendiri yang mengambil tindakan untuk menghapuskan perkara ini. Sejarawan Palmer menyatakan Dewan Perlembagaan telah mengesahkan sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

 Perlembagaan Sivil Gereja dan Ancaman terhadap Revolusi.

Perlembagaan Sivil Gereja dibentuk atas dasar-dasar untuk menguatkan lagi kuasa pemerintah baharu termasuk juga desakan daripada rakyat yang melihat pihak gereja mula berkomplot dengan golongan raja dalam menjaga status quo. Pada waktu revolusi masih berjalan, kuasa-kuasa penting yang mendukung monarki telah banyak dijatuhkan—dimulakan dengan pembahagian estet iaitu Estet Pertama, Estet Kedua dan Estet Ketiga. Penghapusan Estet ini diganti dengan Dewan Kebangsaan dan ditukar kepada Dewan Perlembagaan pada 23 Jun 1789 setelah raja bersetuju untuk menyokong gerakan revolusi.

Tempat yang menjadi tumpuan utama para revolusi setelah hilangnya kuasa raja adalah institusi gereja kerana hartanya dinyatakan mencapai hutang negara. Segala harta gereja telah dirampas dan institusi itu telah dirombak kembali kepada Perlembagaan Sivil Gereja pada 12 Julai 1790. Langkah anti-Gereja juga memainkan peranan penting untuk mendidihkan kemarahan rakyat dan membuka segala kebobrokan institusi itu. Tetapi jelas tampak langkah itu telah memecahkan hierarki Gereja yang cukup bertahan lama justeru memecahkan masyarakat Perancis secara amnya mengikut yang pro-contra.

Pemecahan ini dimulakan dengan perlantikan Biskop oleh pilihan raya, malahan golongan itu diberi gaji seperti rakyat-rakyat biasa yang bekerja. Gaji mereka tidak lagi dikawal oleh Institusi Gereja tetapi di selenggarakan oleh pihak kerajaan pada waktu itu. Selain itu pemecahan ini juga boleh dilihat daripada angkat sumpah taat setia biskop terhadap pemerintah. Ini berbeza pada zaman monarki iaitu raja mengangkat sumpah untuk menjaga kuasa gereja. Malahan sewaktu untuk pilihan raya, pemilihan biskop yang bertanding adalah dipilih oleh pihak kerajaan sendiri.

Kerajaan mula mengeluarkan dekri iaitu kepada paderi dan biskop yang taat setia kepada pemerintah dan revolusi digelar sebagai Ahli Gereja Perlembagaan manakala yang ingkar digelar Ahli Gereja Ingkar. Malahan yang ingkar akan menjadi buruan para revolusioner dan dikenakan hukuman yang sangat berat. Walaupun kita sedia maklum pada waktu monarki raja juga menggunakan pihak gereja untuk mengukuhkan kuasanya tetapi kuasa gereja langsung tidak berkurang—malahan menunjukkan institusi itu lebih berkuasa apabila raja bersumpah taat setia menjaga agama dan gereja.

Robespierre yang memerintah gerakan revolusi dan negara pada waktu itu tidak berniat untuk menghapuskan Gereja tetapi meminta (baca: memaksa) mereka menyokong revolusi. Perubahan ini sangat ketara sehingga dapat kita melihat paderi dan biskop harus makan gaji seperti rakyat biasa tidak seperti pada zaman monarki. Pemisahan (Sekularisme) agama dan politik dinyatakan Qasim Ahmad bermula di sini iaitu institusi gereja tidak lagi akan campur tangan dalam politik kecuali menjadi tempat rujukan untuk hal-hal agama.

Jujukan daripada isu ini, wujud ancaman terhadap revolusi—golonganémigrés yang meninggalkan Perancis atas sebab ingin meminta pertolongan negara luar yang mana telah dibantu oleh Maharaja Austria dan Raja Prusia. Mereka ingin melihat ‘tamadun’ monarki Perancis tertegak kembali dengan membantu Raja Louis untuk mendapatkan tompok pemerintahannya kembali. Atas sebab inilah revolusioner telah mengisytiharkan satu dekri kepada rakyatnya supaya tidak menyokong golongan émigrés jika didapati akan dihukum di gilotin. Syak wasangka berlaku di kalangan revolusioner dan raja.

Sikap raja yang talam dua muka telah mencetus kemarahan di kalangan rakyat yang membenci sistem monarki. Daripada situlah raja benar-benar seperti telur di hujung tanduk. Sikap acuh tak acuh raja dalam menyokong revolusi telah memburukkan lagi keadaan beliau dan ahli keluarganya. Raja yang tidak mengendahkan Perlembagaan Sivil Gereja telah meminta nasihat agama daripada paderi yang menolak perlembagaan itu malahan peristiwa raja dan ratu melarikan diri telah dianggap sebagai pemberontak oleh pihak revolusioner. Walaupun begitu Raja Louis dan Ratu Mary Antoinette telah ditangkap kerana dikesan telah menyamar malahan beliau dilihat mempunyai bibit-bibit untuk mengambil Perancis dengan bantuan Maharaja Austria.

Percubaan melarikan diri oleh raja itu didorong juga oleh rasa hilang kuasa mutlak beliau dan perasaan yang serba salah, disebabkan perkara itu wujud satu parti yang melawan terus monarki dan tanpa bicara meminta supaya pemerintah mewujudkan negara republik tanpa mempedulikan monarki dan raja. Keberangan penyokong parti telah mendidih ke tahap yang tidak dapat dibendung lagi sehingga mereka berkumpul di Champ de Mars pada 17 Julai 1791—pertumpahan nyawa telah berlaku seramai 50 orang maut disebabkan peperangan berlaku antara puak pemisah dan Pengawal Kebangsaan.

Jujukan dari itu, raja telah diawasi dengan lebih ketat dan kediamannya dipindahkan dari Versailles ke Paris. Kelab Jacobin juga telah terbahagi kepada dua kelompok iaitu Kelab Jacobin yang memperjuangkan republik manakala Feuillant yang menentang revolusi dan ingin monarki memerintah kembali. Berita raja yang cuba melarikan diri telah sampai kepada negara monarki di Eropah, Maharaja Austria dan Raja Prusia telah mengambil tindakan mengejut atas tragedi itu dan mula membuat Perisytiharan Pillnitz iaitu ingin menjatuhkan revolusi di Perancis. Mereka (Raja-raja) telah membuat mesyuarat untuk menyerang balas revolusi dan merancang untuk mengembalikan kuasa Raja Louis.

Tetapi masalah apabila England menolak pelawaan itu, malahan Prussia sendiri telah menarik kembali rancangan kerana melihat Raja Louis yang bersikap acuh tak acuh dengan revolusi. Ini akan merugikan Raja Prussia dan rakyatnya jika Raja Louis menyokong revolusi—disebabkan itu Ratu Mary menyatakan Raja Louis telah dikhianati oleh rakannya sendiri. Prussia menolak atas beberapa sebab iaitu menjaga kepentingan, melihat kepada sikap acuh tak acuh raja terhadap revolusi dan kebarangkalian berlaku kekalahan di tangan pendukung revolusi.

  

Perpecahan Berterusan dan Kejatuhan Girondin

Perpecahan ini bermula di Champ de Mars kerana wujud rakyat yang melihat raja sudah melanggar sumpah taat setia kepada gerakkan revolusi. Oleh sebab itu mereka terus menolak raja secara total—raja dan ahli keluarganya harus dihukum di gilotin tetapi ditangguhkan perkara itu kerana Perancis masih di peringkat yang belum stabil atas sebab asakan daripada luar dan dalaman yang masih wujud berwajah monarki. Golongan yang radikal terus mengasak Kelab Jacobin mengambil tindakan ke atas kecurangan raja dengan janji yang telah dimeterai (secara paksa) beliau sendiri.

Perpecahan tidak berlaku setakat itu sahaja, malahan golongan bawahan menuduh golongan menengah sebagai “feudal baru” yang muncul untuk berkuasa mutlak menggantikan kuasa raja. Tetapi ketegangan itu dapat ditangkis oleh golongan kelas menengah walaupun mereka ini juga ditentang oleh pihak penyokong monarki. Diibaratkan golongan borjua adalah golongan penengah yang menjadi pengaman antara kelas bawahan dan kelas atasan sedangkan mereka bercadang untuk mengaut keuntungan daripada revolusi Perancis itu sendiri. Ini dapat dilihat apabila golongan menengah ini (borjua) telah memegang tompok kuasa kerajaan Perancis—ditetapkan rakyat yang dibenarkan mengundi adalah daripada warga aktif sahaja dan mereka yang warga pasif dilarang mengundi. Bahkan bukan itu sahaja, warga aktif ini pula adalah golongan yang membayar cukai yang telah ditetapkan kerajaan.

Dianggarkan 3/23 juta rakyat adalah pengundi kepada pembentukan kerajaan baharu manakala yang lain adalah warga pasif sekadar menjadi pemerhati tentang pembentukan order baru. Tetapi Robespierre meminta agar semua rakyat dapat mengundi tanpa mengira Warganegara Aktif atau Pasif. Sebelum Robespierre menyuarakan pandangan beliau itu—golongan yang mewakili Estet Ketiga adalah daripada golongan borjua, maka tidak hairanlah gerakan Dewan Kebangsaan itu dikawal oleh golongan yang punya kepentingan dalaman dari kejatuhan monarki.

Menurut Qasim Ahmad lagi, harta seperti tanah yang dirampas daripada pihak Gereja telah dilelong—sudah terang lagi bersuluh golongan yang mempunyai kewangan yang stabil adalah borjua. Maka daripada situlah mereka mula memegang tanah-tanah yang dilelong dan membentuk ekonomi bebas yang dapat menguntungkan golongan mereka. Golongan miskin dan para petani seperti keluar daripada mulut naga masuk ke dalam mulut harimau. Kejatuhan monarki hanyalah perubahan sistem pemerintahan dan perundangan bukanlah perubahan sistem ekonomi secara total. Disebabkan perkara inilah perpecahan dalaman terus berlaku.

Perpecahan yang paling ketara dalam sejarah revolusi Perancis adalah perpecahan antara golongan Girondin dengan golongan Jacobin. Sebelum ini kita kenali Dewan Kebangsaan setelah Estet Ketiga memenangi suara majoriti, ditukar pula kepada Dewan Perlembagaan kerana raja telah bersetuju untuk menyokong gerakan revolusi dan bersama-sama dalam memperjuangkan revolusi ke seluruh Perancis dan pelosok Eropah. Dewan Perlembagaan ditukar kepada Dewan Perundangan setelah bersidang parlimen pada 1 Oktober 1791. Sewaktu persidangan parlimen itulah golongan Girondin dan Jacobin mula membuat gabungan secara bersama. Selain itu eksis satu lagi golongan iaitu Kumpulan Dataran yang menduduki tempat rendah di dalam dewan.

Dasar perang dilaksanakan oleh golongan Girondin sewaktu mereka menjadi golongan majoriti di dewan. Dasar ini bagi menentukan kekuasaan revolusi terus berjalan dan mematahkan serangan daripada émigrés yang telah mengasak Perancis menyerahkan kuasanya kembali kepada raja. Raja berharap dengan dasar perang ini maka beliau dapat memerintah kembali kerana fikirnya, akan berlaku campur tangan dari negara-negara Eropah yang lain. Kaum peniaga pula bersetuju dengan dasar itu kerana menguntungkan mereka—mudah untuk mereka menyediakan bahan-bahan kepada askar secara pukal.

Robespierre menentang keras dasar Girondin ini kerana beliau mengatakan negara luar takkan mengancam revolusi Perancis selagi mana Perancis tidak mengambil tindakan drastik untuk menyerang mereka. Robespierre percaya revolusi boleh disemarakkan dengan cara yang lebih aman iaitu dengan pengukuhan kepada negara dari penguasaan Dewan Perundangan. Adakah ini bermakna Robespierre ingin memegang kuasa Perancis secara diktator hatta beliau mengatakan dengan dasar perang itu kediktatoran akan wujud. Robespierre hilang kuasanya kerana rakyat masih berkobar-kobar dengan semangat revolusi itu, dan dasar perang ini dipersetujui secara suara majoriti.

Tetapi dasar perang itu tidak bertahan lama, dek kegagalan dasar itulah Robespierre telah menujukkan taring garangnya kembali. Dari situlah permulaan kepada tercetusnya zaman ganas setelah jatuhnya Girondin. Perancis mengalami kekalahan demi kekalahan maka rakyat melihat dasar perang sudah tidak berkesan lagi dan bayaran kepada itu adalah nyawa rakyat Perancis termasuk kemerosotan ekonomi ke tahap yang sangat bobrok. Maka Robespierre telah mula memasang peluangnya untuk mendobrak kembali kuasa Dewan Perundangan dengan menjatuhkan Girondin dan meletakkan kebencian dalam jiwa rakyat kebanyakan. Golongan Girondin sudah hilang arah tujuan apabila tentera Austria dan Prussia mara ke sempadan Perancis—mengugut agar Paris menyerah kalah kepada raja jika mahu selamat, pada awal bulan Ogos 1792 manifesto Brunswick telah dikeluarkan.

Rakyat yang telah terasa tergugat meminta kuasa raja dihapuskan terus kerana sewaktu undang-undang baru digubal raja dan menteri memansuhkannya. Walaupun kuasa mutlak raja sudah dirampas tetapi raja diberi hak sebagai seorang “raja” untuk memansuhkan atau tidak. Tetapi pemansuhan undang-undang yang menyebelahi rakyat kebanyakan dianggap sebagai mencemari gerakan revolusi, maka jelas, tampak raja ingin memberontak dan bertindak curang dengan janjinya sendiri. Golongan Girondin yang sudah buntu mula menyebelahi raja dan menteri kerana bimbang dengan kebangkitansans-culottes. Kediaman raja di Tuileries telah diserang dan lebih seribu nyawa maut dalam serangan itu. Pada waktu itulah raja diturunkan dari takhta sebagai raja Perancis.

Pada 2 September 1792 itu adalah peristiwa yang tidak dapat dilupakan, serangan daripada tentera Prussia dan Austria telah mengorbankan ramai nyawa rakyat— orang awam yang berada di jalan raya juga dibunuh dengan begitu kejam sekali. Pada bulan Ogos 1792 Dewan Perundangan telah ditukar kepada Perhimpunan Kebangsaan dan ahlinya sebanyak 780 orang manakala rata-ratanya adalah golongan kelas menengah justeru ramai Ahli Perhimpunan Perlembagaan adalah daripada Kumpulan Dataran walaupun sedikit sebanyak daripada Kelab Jacobin dan Girondin turut menyertai Perhimpunan Kebangsaan. Persidangan dimulakan pada 20 September 1792 secara kebetulan pada tarikh itu tentera Perancis mendapat kemenangan yang pertama di Valmy maka usul Collot d’Herbous iaitu suatu usul memansuhkan sistem monarki telah lulus dengan mudah maka pada hari itulah disambutnya tahun baru untuk pendukung republik. Pada hari itu juga diisytiharkan Tahun Pertama Republik.

Raja Louis telah dibicarakan setelah kuasa kerajaan semakin utuh dan beliau dijatuhkan hukuman pancung pada bulan Januari tahun yang berikutnya. Malahan keputusan untuk menghukum raja dicapai secara undi majoriti manakala pihak Girondin mula merasakan mereka harus melaksanakan sesuatu untuk menyekat hukuman itu kerana mereka masih memihak kepada raja. Berbangkit daripada sikap puak Girondin yang seperti ingin membela raja telah membuatkan sans-culottes meminta agar Golongan Girondin disingkarkan daripada Perhimpunan Kebangsaan secara serta-merta. Kejatuhan Girondin adalah satu kemenangan yang besar untuk Kelab Jacobin.

Setelah memberontak agar puak Girondin disingkirkan pihak Jacobin mula menegakkan cita-cita revolusi mengikut acuan mereka sendiri tanpa ada campur tangan dari pihak yang ingin menjatuhkan pihak mereka. Robespierre sendiri seperti menyokong tindakan sans-culottes itu apabila dia menyuarakan pendapatnya “Saya tidak dapat menyatakan kepada rakyat sesuatu cara tertentu untuk keselamatan mereka”.

Zaman Ganas

Dengan tersingkirnya golongan Girondin maka kuasa Perhimpunan Kebangsaan membuka jalan kepada pihak Jacobin. Seperti dihamparkan karpet merah untuk mereka merangkul takhta sebagai penguasa Perhimpunan Kebangsaan. Maka pertikaian Kelab Jacobin adalah dengan sans-culottes mereka bimbang jika puak itu tidak menerima Kelab Jacobin sebagai penguasa baru mereka. Pertikaian ini kerana pihak pemerintah bersikap secara praktikal tetapi golongan rakyat lebih bersifat idealistik; ingin membawa revolusi ke seluruh Eropah. Pemerintah ingin menstabilkan kedudukan mereka di tompok kekuasaan dan mengutamakan kesejahteraan umum ekonomi. Sikap rakyat yang tidak sabar dengan penyebaran semangat revolusi termasuk rakyat yang berani berlawanan berbanding pemerintah yang lemah dengan daya usaha dan pandangan sempit politik.

Jika dilihat kumpulan Jacobin hanya kumpulan yang kecil berbanding kumpulan Dataran dalam Perhimpunan Kebangsaan. Pemimpin mereka yang terkenal adalah Robespierre semestinya dan Saint Just. Selama setahun sehingga Jun 1793 mereka berusaha untuk menyingkirkan puak Girondin daripada Perhimpunan Kebangsaan dan mereka berjaya! Oleh sebab itu, pihak Jacobin telah dapat menguasai undi majoriti dalam Perhimpunan Kebangsaan untuk mengendalikan kuasanya menerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Awam dan Mahkamah Revolusi. Badan ini mempunyai kuasa yang luas dalam menentukan hidup mati seseorang.

Undang-undang barbarik telah mengorbankan lebih ramai nyawa rakyat Perancis malahan siapa sahaja disyaki akan ditangkap tanpa soal siasat. Peringkat revolusi ini dikenali sebagai Zaman Ganas iaitu tajuk pembincangan yang utama kita hari ini. Menurut sejarawan Qasim Ahmad, sememangnya zaman ganas ini sudah terbit pada zaman Girondin memegang tompok kuasa majoriti sewaktu Dasar Perang diperkenalkan. Pada 25 Mac 1793 sudah tertubuh satu badan kuasa iaitu Jawatankuasa Keselamatan Am di mana mereka diperintahkan untuk menangkap dan mengesan mana-mana pemberontak atau pengkhianat yang berada dalam Perancis sendiri.

Manakala Jawatankuasa Kesejahteraan Awam ditubuhkan pada 6 April 1793 dan kedua-dua badan ini berfungsi untuk menerajui keamanan orang awam—tetapi jika diteliti kedua-dua jawatankuasa inilah yang memerintah. Dianggarkan 30 000 orang mati sewaktu pemerintahan oleh pihak Jacobin bermula dari bulan April 1793 hingga Julai 1794. Kebanyakan mangsa yang dikesan adalah rakyat biasa yang memberontak kerajaan. Menurut ahli sejarawan Palmer lagi peratus bangsawan yang dipancung adalah 8% sahaja. sans-culottes yang dahulunya membuka peluang kepada Jacobin sehingga menjatuhkan Girondin turut terkorban sama atas nama ‘undang-undang’.

Mereka tidak mempunyai suara atau wakil, kerana mereka ini hanyalah rakyat kebanyakan yang bergerak secara anarki, dan mereka meletakkan mandat itu kepada Kelab Jacobin untuk membela nasib mereka jika berlaku apa-apa, tetapi seperti harapkan pagar—pagar makan padi. Mereka (baca: sans-culottes) menegaskan isu yang perlu diselesaikan oleh pemerintah adalah isu gaji, harga barangan keperluan, gandum, bantuan kepada golongan miskin, dan pembentukan tentera revolusioner perlu dilaksanakan dengan segera supaya kekuatan revolusi itu terus utuh. Kebobrokan terus berlaku dalam pimpinan Jacobin.

Ini jelas terpapar apabila wujud satu kumpulan yang dinamakan Enrages diketuai oleh Jacques Roux seorang Paderi dan Herbert iaitu seorang Peguam dan Tuan punya akhbar juga Varlet. Mereka juga menuntut apa yang dituntut oleh sans-culottes iaitu pembentukan tentera revolusioner untuk menjadi barisan penjamin ini juga boleh memberi pekerjaan kepada rakyat. Jelas pihak Jacobin tidak mempercayai tentang ekonomi tetapi tetapi mereka sedar ekonomi bebas juga tidak berjalan dengan licin kerana terdapat para penyorok barang oleh golongan borjua dan peniaga besar.

Malahan Saint Just sahabat baik kepada Robespierre meminta beliau melihat kembali  masalah berkenaan Girondin dan meminta dibicarakan kembali agar mereka mendapat hak mereka sebagai rakyat. Danton iaitu daripada Kelab Cordelier dan Jawatankuasa Kesejahteraan Awam juga berpendirian yang sama dengan saranan Saint Just. Tetapi nasib tidak menyebelahi Jacques Roux kerana beliau telah ditangkap sewaktu rusuhan terhadap pendobi kain yang menaikkan harga tetapi kerajaan tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap pendobi itu. Ini menyebabkan Robespierre berang dan meminta agar Kelab Jacobin memusuhi Roux.

Tetapi rusuhan itu tidak berhenti di situ sahaja, laungan untuk penubuhan tentera revolusi terus dilaungkan dan pengenaan kepada kawalan harga juga dilaungkan. Akhirnya Perhimpunan Kebangsaan harus tunduk dengan desakan dan pada 11 September 1793 harga maksimum diisytiharkan bagi semua bijirin yang digunakan untuk membuat roti seperti gandum. Pada 29 September kawalan kadar gaji juga dikawal justeru kerajaan mula campur tangan dalam urusan perniagaan. Ini menyebabkan kaum peniaga mencari jalan keluar dengan berniaga di tempat lain termasuk luar negara untuk mendapatkan harga yang lebih baik.

Undang-undang Syak digubal pada 17 September 1793 di mana undang-undang ini mentakrifkan mana-mana mereka yang disyaki mengkhianati negara secara jelas atau kabur-kabur akan dipancung di Gilotin. Mereka yang menjadi mangsa adalah Ratu Mary Antoinette (16 Oktober), Barnarvek (29 Oktober) dan 21 orang ketua Girondin (31 Oktober). Bulan Oktober adalah bulan penghapusan Girondin dan hancurnya perdamaian antara pihak Jacobon dan Girondin. Perdamaian itu berakhir dengan kematian 21 orang ketua mereka dan menyebabkan tiada lagi harapan untuk mereka memerintah bersama. Dikri 10 Oktober telah diumumkan iaitu semua rakyat boleh mengundi digantung hak mereka sehingga pada tarikh yang ditentukan. Saint Just yang pada awalnya ingin membela pihak Girondin telah bermain talam dua muka dengan mengatakan “bukan sahaja terdiri daripada pengkhianat tetapi juga mereka yang bena tak bena… sesiapa yang bersikap ‘tidak apa’ di dalam Republik” kata-kata ini jelas menuduh kepada pihak yang ingin melawan kerajaan ‘Republik’ akan dipancung.

Bukan itu sahaja, Dikri 10 ini disusuli oleh undang-undang yang lebih ketat iaitu Dikri Ventose 13 Mac 1794 dan Undang-undang 22 Prairial pada 10 Jun 1793. Dikri Prairial menetapkan siapa yang didapati mengkhianati harta pengkhianat akan dirampas oleh negara. Selain itu Undang-undang 22 Prairial pula sesiapa sahaja yang dianggap mengkhianati akan segera dibawa ke mahkamah dan dijatuhkan hukum tanpa ada saksi. Tindakan anti-Kristian atau Gereja telah membawa kepada kematian golongan Paderi yang ramai. Sehingga loceng-loceng Gereja dileburkan dan dijadikan barang lain. ramai juga ahli Gereja mula berkahwin untuk mengelakkan diri daripada dikenakan hukuman. Hanya paderi yang menolak perlembagaan akan dihukum.

Selain itu undang-undang sebelum ini iaitu kawalan harga barang sudah tidak disambut baik oleh peniaga, maka Perhimpunan Kebangsaan terpaksa bersetuju iaitu melonggarkan kembali peraturan ekonomi sehingga penjualan lembu dan kambing boleh dibuat secara bebas tanpa kawalan harga. Robespierre yang seperti berpihak kepada pihak peniaga telah menegaskan sesiapa sahaja yang menenang perdagangan sebenarnya penentang revolusi itu sendiri. Sehingga ramai rakyat merungut kerana dasar baru itu lebih menguntungkan peniaga bukanlah rakyat kebanyakan. Perkara sebegini telah menyebabkan bibit-bibit kebencian kepada Robespierre telah terbina secara sedikit demi sedikit.

Sewaktu tindakan anti-Agama tersebar luas, Robespierre mendiamkan diri kerana baginya agama masih diperlukan untuk mengukuhkan kuasanya. Beliau bukanlah ingin membunuh terus agamawan atau menghapuskan agama dari persekutuan tetapi meminta golongan agamawan menyokong pemerintahan beliau. Malahan beliau juga menggesa Perhimpunan Kebangsaan supaya memberi hak kebebasan beragama. Pemusatan kuasa Perancis ini tiada tolok bandingnya di Eropah pada abad 18. Pemusatan ini termasuk pengukuhan sistem birokrasi sehingga membantu golongan Jacobin untuk terus berkuasa dan mencapai kemenangan di medan perang. Ribuan rakyat di daerah Lyon dan Nantes termasuk pemberontak di Vandee mati dihukum bunuh dan penjara sesak dengan banduan. Wabak penyakit juga menjadi-jadi.

Ketirisan ekonomi negara telah mencapai satu tahap yang sangat genting. Jacques Roux yang ditangkap pada Jun 1793 telah dibebaskan  tetapi ditangkap kembali pada September apabila dia membantah dasar ekonomi negara yang lebih menguntungkan golongan peniaga (borjua) itu. Tetapi pada 10 Feb 1794 sebelum sempat dibicarakan, dikatakan beliau telah mengambil tindakan drastik iaitu membunuh diri di penjara. Malahan ahli Enrages tidak lagi aktif melawan kerajaan, Varlet yang membantah tindakan kerajaan juga telah ditangkap.

Selepas kejadian itu, khabar angin untuk Kelab Cordelier memberontak telah diketahui oleh Kelab Jacobin sehingga kerajaan terus menangkap beberapa orang pemimpin sans-culottes iaitu Herbert, Ronsin, Vincent, Momora, Clootz, Proli, Destient Pereira, Dubuisson dan 10 orang ahli. Setelah Jawatankuasa Kesejahteraan Awam menegaskan pengkritik kerajaan adalah mereka yang menjadi tali barut kepada negara luar maka di situ hukuman kepada pemimpinsans-culottes telah dijatuhkan. Maka terbuktilah bahawa penggerak revolusi tidak lagi didorong oleh rakyat tetapi telah berpindah kepada pemerintah. Pemindahan ini seperti pemindahan kuasa dari bawah kepada yang atas. Maka terputuslah hubungan baik antara sans-culottes dan Kelab Jacobin.

Robespierre yang ingin dilihat tidak bersalah telah menurunkan tandatangannya agar mengarahkan hukuman mati kepada Danton iaitu dilihat sebagai pendukung pihak citra. Dengan runtuhnya pihak ultra (Puak Herbertis) dan citra (Dantonis) maka Robespierre dilihat sebagai seorang pengaman dan penengah yang tidak menyokong mana-mana pihak. Robespierre sendiri banyak berkomplot dengan Danton tetapi beliau melihat Danton tidak ingin terlalu menekankan dasar ganas dalam pemerintahan maka Danton harus dihapuskan. Robespierre akan membawa Perancis kepada pemerintahan yang mengikut acuannya sendiri. Tatanan yang bakal dibina adalah berasaskan cita-cita yang telah sekian lama diidamkan.

Hukuman mati terhadap Danton dan ahli Perhimpunan Kebangsaan yang lain telah memeranjatkan pihak Perhimpunan Kebangsaan yang lain. Mereka terus sedar akan mainan politik Kelab Jacobin yang ingin terus berkuasa malahan alasan menjadi tali barut negara luar adalah alasan yang digunakan sewenang-wenangnya tanpa usul periksa yang jelas. Mereka bimbang jika mereka juga bakal mendepani nasib yang sama seperti yang telah berlalu pergi. Faktor kejatuhan Robespierre terkait rapat juga dengan kematian Danton selama 113 hari Robespierre berada di kerusi takhtanya dalam masa 2 bulan sebelum kejatuhannya hampir 25 00 orang telah dibunuh di gilotin. Rakyat melihat Robespierre dan Jawatankuasa Kesejahteraan Awam seperti telah memonopoli urusan kehakiman negara.

Kejatuhan Robespierre.

Seperti yang telah kita bincangkan di sub-topik Zaman Ganas, maka tibalah sub-topik akhir iaitu kejatuhan Robespierre pemerintah yang berjiwa suci tetapi bertindak kejam. Kejatuhan beliau boleh diterangkan dari beberapa sudut iaitu;

      Robespierre dilihat sebagai seorang yang gila kuasa.

      Dituduh sebagai seorang yang mahu menjadi diktator dalam pemerintahan yang demokratik.

      Dituduh menggunakan ‘agama’ barunya iaitu Pemujaan Kejadian Agung dan Undang-undang 22 Prairial.

 Rakan-rakannya yang menyokong belia percaya undang-undang dan ‘agama’ baru itu dapat menjadi satu perkara yang memakmurkan rakyat Perancis dan membawa rakyat ke arah yang lebih baik bukan lagi pada zaman monarki yang terus mendikte rakyat tetapi pemandu ke arah pembentukan negara yang hebat di persada Eropah. Ramai ahli sejarah yang mengutarakan penilaian bersandarkan fahaman kiri atau sosialis seperti Mathiez dan Rude iaitu interpretasi mereka lebih berlandaskan kepada kepercayaan tentang kebaikan sistem ekonomi terkawal dan dasar prorakyat bawahan. Bagi Malthiez yang pro-Robespierre pemerintahan Ganas perlu kerana republik sedang diancam oleh musuh dari dalam dan luar.

Beliau menganggap sebegitu kerana menurut Robespierre dan Saint Just menjaga gerakan revolusi itu sendiri. Manakala yang menentangsans-culottes adalah Ahli Jawatankuasa Awam dan Perhimpunan Kebangsaan bukanlah Robespierre dan Saint Just. Ini kerana mereka tiada keinginan pun nak menjaga kepentingan rakyat malahan melarang harta yang dirampas daripada kaum bangsawan kepada rakyat dan tindakan untuk memiliknegarakan usaha pengedaran bahan makanan dan pengendalian kilang-kilang. Walaupun begitu, Malthiez tetap mengkritik tindakan Robespierre dan puak Jacobin bahawa mereka ini tidak mempunyai ideologi yang jelas untuk merancang satu-satu gerakan itu dalam jangka masa yang panjang. Malthiez melihat Kelab Jacobin tidak berjaya menghapuskan harta pemilikan pada awal pemerintahannya iaitu seperti yang dibuat pada Revolusi Russia.

Dengan itu Malthiez melihat Robespierre dan pihak Jacobin gagal membawa agenda mereka untuk revolusi Perancis sehingga mereka pula dijatuhkan. Ini menunjukkan revolusi mereka hanya telur separuh masak atau separuh jalan. Berbeza pendapat pula oleh Albert Soboul iaitu beliau menanggap langkah-langkah ekonomi terkawal Jacobon hanya “suatu helah” dan “suatu pujuk rayu” bagi mengaburi matasans-culottes. Perbezaan Robespierre dan sans-culottes adalah daripada sudut memahami maksud demokrasi iaitu Robespierre wakil rakyat itu adalah pemerintahan demokrasi manakala sans-culottespula adalah demokrasi rakyat. Menurut Soboul Robespierre menjadi punca utama demokrasi rakyat secara total gagal sewaktu rakyat mahu membangun pada tahun 1793.

Selain kedua-dua tokoh sejarawan itu mari kita telusur hujah Rude iaitu kejatuhan Robespierre kerana sudah tidak lagi mempunyai sekutu revolusioner mereka iaitu sans-culottes. Mereka bertiga tidak berbeza pendapat dalam menyokong ekonomi kawalan yang dilaksanakan oleh Robespierre pada awalnya tetapi dalam beberapa perkara mereka tetap bercanggah pendapat. Sebelum itu memang sudah banyak ahli sejarawan yang telah mengutuk pelancaran revolusi itu seperti Burke dan Taine. Mereka mengatakan revolusi itu bersifat lebih kejam malahan mereka menyokong terus golongan feudal.

Tetapi janganlah kita pula keliru dengan mereka yang menentang pemerintahan ganas Jacobin dan menyangkal kebaikan penghapusan harta milik peribadi dengan mengatakan mereka menyokong feudalisme ini kerana mereka punyai pandangan yang berbeza dari sudut pandang sejarah sendiri. Revolusi Perancis adalah satu gerakan untuk membetulkan masalah yang telah jelas tetapi dalam penyelesaian itu muncul satu masalah lain yang tidak terjangka. Di sini bukanlah kita ingin bergaduh siapa lebih patriot dan siapa bukan patriot tetapi menggali tujuan revolusi Perancis agar kita dapat belajar daripada sejarah.

Konflik sans-culottes dengan kerajaan adalah perkara biasa menurut Palmer, kerana adalah memeranjatkan jika tiada konflik antara kuasa rakyat dan kuasa memerintah. Oleh sebab itu sebagai rakyat kita harus faham di mana kita harus pertahankan. Adakah pihak kerajaan atau pihak rakyat, dan setiap pilihan kita itu adalah tanggungjawab kita sendiri. Lagipun kita harus juga hargai revolusi Perancis ini kerana kebaikan yang dibawa oleh mereka telah merapatkan jurang ekonomi dan hak dalam berpolitik.

Jika dahulu sewaktu zaman monarki jurang ekonomi rakyat berada dan tidak berada sangat jauh malahan kuasa raja dan kuasa hak rakyat juga begitu besar. Maka revolusi adalah untuk merapatkan jurang ini bukan bermaksud untuk menghapuskannya sama sekali jurang itu. Selain itu hak politik kepada rakyat telah diberikan seperti yang tercatat dalam Perisytiharan Hak-hak Manusia dan Warganegara. Bahkan pada masa itu hak ekonomi rakyat belum begitu terjamin. Seperti yang telah kita bincangkan di atas sebentar tadi, suara rakyat didengari, desakan sans-culottes diambil serius oleh kerajaan.

Tetapi yang menjadi bobrok adalah kebebasan individu terganggu dalam pemerintahan Jacobin dan Pemerintahan dasar Ganas. Inilah kontradiksi yang jelas terpapar apabila sebuah kerajaan itu mula memimpin tidak berlandaskan undang-undang yang mereka ciptakan sendiri iaitu menurut Perisytiharan Hak-hak Manusia dan Warganegara menegaskan bahawa jika kerajaan tidak melaksanakan amanah rakyat (kehendak umum) maka mereka boleh memberontak—pemberontakan yang dibuat oleh sans-culottes bersama pimpinan Kelab Cordelier telah dipatahkan oleh Saint Just. Sehingga dia berkata bahawa kerajaan sudah dengan sendirinya merangkumi amanah rakyat (kehendak umum).  Maka di situ hak memberontak telah dimansuhkan dengan sendirinya.

Rumusan.

Tuntasnya inilah pembincangan kita hari ini mengenai Kejatuhan Robespierre, seperti yang telah dibincangkan banyak faktor-faktor kejatuhan beliau yang dapat kita lihat. Walaupun kita sedia maklum tentang pandangan ahli sejarawan yang membelanya mengenai sistem ekonomi kawalan yang dilaksanakan Robespierre tetapi itu setelah didesak oleh golongan sans-culottes dan rakyat yang tertindas. Apa yang dapat kita pelajari daripada bab 1 Eropah moden; Revolusi Perancis ini adalah tindakan rakyat yang cuba mengubah kebobrokan sistem dan menggantikan dengan sistem yang baharu. Tetapi kesilapannya jelas tampak apabila masalah baru mula timbul kerana kesilapan memilih pemimpin.

Seperti yang telah dijangka Edmund Burke bahawa kejatuhan monarki itu akan membawa kesan yang buruk kepada rakyat Perancis sehingga beliau menggelar kepada golongan revolusi itu adalah gerakan yang membawa kemusnahan, revolusioner yang tidak bertamadun. Tetapi kita harus faham—revolusi Perancis telah membawa perubahan yang amat ketara sekali. Jurang ekonomi dan kuasa politik dapat dirapatkan sewaktu revolusi berlangsung. Ini adalah pencapaian yang kita harus kagumi. Selain itu berkenaan sistem ekonomi bebas yang kita lihat lebih menguntungkan pihak peniaga dan borjua juga boleh diambil iktibar.

Bukan bermakna di sini sistem ekonomi bebas (laissez- faire) tidak boleh diamalkan tetapi tanpa ekonomi kawalan sistem itu menguntungkan pihak borjua. Selain itu juga kita sendiri telah membincangkan tentang pembelian tanah yang dilelong, sudah semestinya sesuatu revolusi itu berlaku atas sebab untuk rakyat kebanyakan bukan kerana rakyat berkepentingan. Mungkin ada kritikan daripada Karl Marx yang mengatakan revolusi Perancis adalah revolusi golongan borjua tetapi esen pembawaan revolusi itu sendiri dimulakan oleh golongan para petani dan gerakan sans-culottes­ harus diakui.

Kita juga harus faham, Eropah melalui beberapa versi sebelum mencapai Eropah yang sekarang, walaupun dikritik keras oleh setengah pendukung agama mengatakan Eropah membawa nilai-nilai yang buruk apatah lagi kultur yang tidak sepadan dengan Timur, tetapi seburuk-buruk Eropah itu laluan yang telah dilalui mereka adalah bermacam-macam ragam. Sebelum melalui zaman gelap mereka pernah mempunyai empayar yang sangat digeruni seperti Rom dan definisi zaman gelap itu sendiri bukanlah bermakna ilmu mereka tidak bergerak, tetapi kerana faktor golongan gereja lebih menguasai ruang ilmu itu sendiri.

Di sini saya ingin menegaskan bahawa jika ingin membawa satu perubahan harus disertakan dengan ilmu. Supaya tidak di hijack oleh golongan yang punya kepentingan.

Salam kata~ bergerak dengan ilmu!

No comments:

Post a Comment