Muhyiddin tidak setia seperti Najib kepada Pak Lah
WARTAWAN SINAR HARIAN
26 OKTOBER 2015
SHAH ALAM - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak menganggap Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak setia dengan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak sebagaimana Najib setia kepada bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Menurutnya, kesetiaan Najib kepada Abdullah itu kini dijaja Muhyiddin sebagai kisah seorang pemimpin yang perlahan membuat keputusan bagi mengganti ketuanya.
Dalam catatan diblognya, Salleh berkata, Muhyiddin tidak sepatutnya mengkritik ketuanya secara terbuka.
“Semasa (bekas Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad mula mengkritik Perdana Menteri, Najib ketika itu Timbalan Perdana Menteri secara terbuka mengisytiharkan bahawa kesetiaan beliau dengan Abdullah.
“Perkara yang Muhyiddin tidak sebut dalam cerita ini adalah, Najib tidak mahu khianati perdana menteri dengan menentangnya. Najib merasakan timbalan perlu setia pada pemimpin nombor satu. Jadi, Najib bukanlah teragak-agak membuat keputusan tetapi Najib enggan menyingkirkan perdana menteri (pada masa itu)," katanya.
Kelmarin, Muhyiddin dalam Bicara Minda Berani Kerana Benar anjuran Sinar Harian berkata, beliau meminta Najib menerima jawatan itu kerana katanya, Najib berfikir terlalu panjang, sehingga perlu didesak.
[ARTIKEL BERKAITAN: Saya sahaja bersuara, yang lain buat apa?]
Katanya lagi, Najib terlalu teragak-agak memulakan langkah menggantikan Abdullah sehingga Mahathir mendesak Muhyiddin pula yang merupakan Naib Presiden Umno ketika itu untuk bertanding jawatan presiden.
No comments:
Post a Comment