Surat Terbuka Kamarul Buat Dr Mahathir
Kamarul Zaman Yusoff, Free Malaysia Today
Ke hadapan Tun Dr Mahathir Mohamad,
Membaca tulisan terbaru Dr Mahathir bertajuk “Islam saya” yang menjawab tulisan saya bertajuk “Pemikiran Islam yang tidak betul sebab terbesar Dr Mahathir tidak layak jadi perdana menteri” mengesahkan lagi betapa tidak betulnya pemikiran Islam Dr Mahathir.
Untuk makluman Dr Mahathir, soal pemikiran Islam tidak betul Dr Mahathir yang mengutamakan akal fikiran ini bukan sahaja dinyatakan oleh Datuk Dr Haron Din, malah oleh ramai lagi agamawan tanah air, termasuk mereka yang sekarang berada di keliling Dr Mahathir.
Memang betul al-Quran menyebut berkali-kali akan mustahaknya mengguna akal fikiran dan tidak disebut dalam al-Quran larangan berfikir dan terima sahaja semua pendapat dari pakar Islam, tetapi menggunakan akal fikiran ini ada kaedahnya di dalam Islam.
Akal sebagai antara sumber ilmu memang diakui, tetapi seperti disebut oleh Imam as-Syafi’ie: “Sesungguhnya akal mempunyai batasan yang menjadi penghujung kemampuannya sebagaimana penglihatan mempunyai batasan yang menjadi penghujung pandangannya”.
Dr Mahathir sendiri pernah menyebut di dalam ucapannya di The Oxford Centre For Islamic Studies pada 16 April 1996, mengenai “di mana Quran atau Hadith tidak jelas, sarjana boleh memberikan pandangan atau ijtihad, mengguna kemampuan berfikir”.
Di dalam ucapan Dr Mahathir yang tidak diketahui siapa penulisnya ini, beliau mengakui ilmu yang berteraskan wahyu adalah lebih tinggi daripada ilmu yang berteraskan akal, di mana bila ada dalil qat’ie/jelas di dalam Quran atau Hadith, maka akal tidak boleh digunakan.
Bukan sebarang orang yang boleh berijtihad kerana ada syarat-syarat yang perlu dipatuhi seperti menguasai Bahasa Arab, mempunyai pengetahuan di dalam al-Quran dan al-Sunnah, mempunyai pengetahuan mengenai ilmu Usul al-Fiqh serta ijma’ dan khilaf.
Masalah Dr Mahathir ialah beliau suka mempertikaikan dengan menggunakan akal fikiran, perkara-perkara yang sudah ada dalil qat’ie/jelas di dalam Quran atau Hadith seperti pensyariatan hudud dengan menyebut pada 26 Februari 2012, “hudud tidak terdapat dalam al-Quran”.
Bukan setakat Dr Mahathir sahaja, malah anaknya sendiri, iaitu Datuk Paduka Marina juga menyebut perkara sama sebelum ini, termasuk di dalam akhbar The Star pada 18 Julai 2012 kononnya “none of the so-called hudud punishments can be found in the Quran”.
Jika Dr Mahathir dan Marina membaca al-Quran dengan betul, maka sudah pasti akan didapati istilah “hudud” terdapat dalam al-Quran, antara lainnya di dalam Ayat 187 dan 229 Surah al-Baqarah, Ayat 13 dan 14 Surah al-Nisa’ serta Ayat 1 Surah al-Talaq.
Jika al-Quran dibaca dengan betul, maka sudah pasti akan didapati hukum hudud terdapat dalam al-Quran, antara lainnya di dalam Ayat 38 Surah al-Ma’idah (curi), Ayat 33 Surah al-Ma’idah (hirabah), Ayat 3 Surah al-Nur (zina) dan Ayat 4 Surah al-Nur (qazaf).
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata di dalam portal berita Malaysia Kini pada 23 Ogos 2012 “orang yang menentang hukum yang ada di dalam al-Quran, dia terkeluar agama” dan “kalau pertikai hudud itu sendiri, dia telah keluar agama”.
Begitu juga dengan Timbalan Penasihat Umum Amanah, Abdul Ghani Samsudin pada 3 Januari 2013 menyebut kenyataan Dr Mahathir bersabit “hudud tiada dalam al-Quran” adalah “kenyataan salah yang perlu ditarik balik dan menggugat aqidah umat Islam”.
Masalah Dr Mahathir ialah beliau mempunyai kefahaman salah mengenai perkara ini, di mana ucapannya di Universiti Al-Azhar pada 10 Mei 1998, beliau menyebut kononnya “hanya jika ucapan 2 kalimah syahadah ditolak, barulah seseorang itu terkeluar dari agama Islam”.
Dr Mahathir juga nyata tidak mampu memahami perkara asas di dalam Islam dengan menyebut “Hadis Nabi termasuk dalam bahagian sunnah dalam Islam. Mengamal sunnah adalah baik dan mendapat pahala untuk akhirat. Tetapi jika tidak mengamalnya tidak berdosa”.
Malah, perkara yang sama turut pernah Dr Mahathir nyatakan pada 26 Februari 2014, di mana beliau menyebut: “Ada gesaan yang sunnat itu wajib dan mesti diterima dan diamalkan…Hadis adalah sunnah Nabi. Saya ingin tahu sama ada hadis wajib dan mesti diterima.”
Sedih sekali melihat Dr Mahathir tidak tahu membezakan antara “sunat” sebagai salah satu daripada hukum syarak taklifi yang 5 dengan “Sunnah” yang menjadi sumber syariat yang paling utama selepas al-Qur’an yang jika ditolak boleh menyebabkan seseorang itu murtad.
Masalah Dr Mahathir juga ialah beliau suka mengambil tujuan hukum bukan bentuk hukum, sedangkan aliran pemikiran liberal ini sudah diputuskan sebagai sesat dan menyeleweng daripada syariat Islam oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada 25-27 Julai 2006.
Hakikat Dr Mahathir tidak memahami Islam jelas terlihat di dalam pengakuannya pada 23 Januari 2018 “sesungguhnya banyaklah perkara yang mengelirukan saya berkenaan agama Islam” dan “banyak lagi ajaran Islam dan amalannya yang mengeliru(kan) saya”.
Jika Dr Mahathir memahami Islam, sudah tentu beliau tidak akan mengakui banyak ajaran Islam dan amalannya yang mengelirukannya dan sudah tentu Dr Mahathir tidak akan bertanya “jika babi disembelih dengan menyebut nama Tuhan, haram lagikah daging babi itu?”
Dr Mahathir juga mempunyai kefahaman salah terhadap ajaran Islam di mana beliau pada 6 Februari lalu menyebut “bukan kita nak ambil semua (ajaran Islam) masuk” yang bercanggah dengan Ayat 208 Surah al-Baqarah mengenai kewajiban menerima Islam secara keseluruhan.
Ia juga berbeza daripada kehendak majoriti umat Islam yang tertera di dalam kenyataan Tan Sri Prof Dr Ahmad Ibrahim, bahawa Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan memberi hak kepada umat Islam untuk melaksanakan seluruh tuntutan agama mereka.
Perkara ini malah sering ditegaskan kembali oleh pelbagai pemimpin Islam lain seperti Pengerusi Kanun Amanah, Mohamed Hanipa Maidin, pada 12 Jun 2007 menulis Perkara 11 merangkumi pengamalan agama Islam secara syumul.
Malah, Mahkamah Persekutuan dalam kes Sulaiman Takrib (2008), Fathul Bari Mat Jahya & Anor (2012) dan ZI Publications Sdn Bhd & Anor (2015) juga memutuskan perintah agama Islam adalah luas, iaitu meliputi “aqidah”, “syariah” dan “akhlak”.
Disebabkan kefahaman Islam yang tidak betul inilah, maka Dr Mahathir tegar menghalang pelaksanaan syariat Islam, sedangkan dapatan kaji selidik Merdeka Center pada 12 hingga 21 April 2014 menunjukkan 71% responden Melayu menyokong hukum hudud.
Begitu juga dengan dapatan kaji selidik terbaru Wan Saiful Wan Jan, yang kini merupakan timbalan pengerusi Biro Strategi dan Dasar PPBM, menunjukkan 90% daripada masyarakat Melayu Johor berpendapat peningkatan keagamaan adalah bagus.
Baik bila Dr Mahathir mengakui “kuasa memelihara pada setiap masa agama Islam ada pada Yang di-Pertuan Agong”, tetapi penegasan Dr Mahathir “Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat” bercanggah dengan kenyataannya sebelum ini.
Ini kerana, pada 20 Oktober 2015, Dr Mahathir sendiri menegaskan: “Ianya benar Agong dan raja-raja Melayu adalah raja berperlembagaan. Tetapi itu tidak bermakna mereka adalah pak turut semata-mata untuk mengesahkan semua tindakan kerajaan.”
Penegasan Dr Mahathir “Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat” juga membawa kita kembali kepada poin asal saya, iaitu tiadanya kefahaman Islam yang betul pada diri Dr Mahathir menyebabkan beliau sangat tidak layak untuk menjadi perdana menteri.
Ini kerana ia tidak akan membolehkan ikrar untuk “memelihara agama Islam pada setiap masa” yang dilafazkan Yang di-Pertuan Agong, sekaligus bagi membolehkan peruntukan “Islam ialah agama bagi persekutuan” dapat dilaksanakan dengan baik.
Kenyataan Dr Mahathir bahawa “dalam al-Quran jika hukum sebat hendak dikenakan, tentukan dahulu kesalahan” tidak memberikan apa-apa impak ke atas kenyataannya pada 19 Februari 2017 yang hukum sebat 100 kali dalam Islam akan menyebabkan kematian.
Kenyataan Dr Mahathir mengenai hukum sebat ini malah diakui Asri (mufti Perlis) menunjukkan Dr Mahathir mempunyai kefahaman salah terhadap ajaran Islam dengan berkata pada 23 Februari 2017 ia “sama sekali salah dan tidak benar”.
Kenyataan Dr Mahathir bahawa “Perdana menteri diberi ramai penasihat, di antaranya ialah penasihat agama, bukan seorang tetapi ramai” tidak memberi apa-apa makna kerana selepas 22 tahun menjadi perdana menteri pun, mereka gagal mengubah pemikiran Islamnya.
Saya hairan ke mana perginya ulama di dalam Pakatan Harapan, bukan sahaja di dalam PPBM, tetapi juga ulama di dalam Amanah dan PKR, khususnya Ahmad Awang dan Dr Muhammad Nur Manuty, sehingga tidak berani langsung menegur Dr Mahathir di dalam soal ini.
Jika sewaktu Dr Mahathir belum menjadi perdana menteri pun, para ulama di sekelilingnya di dalam Pakatan Harapan sekarang sudah tidak berani menegur beliau di dalam soal ini, usah haraplah mereka akan berani menegurnya, jika beliau menjadi perdana menteri nanti.
Kenyataan Dr Mahathir bahawa bila saya menyoal kebetulan Islam Dr Mahathir tentulah saya menganggap kebetulan Islam Datuk Seri Najib Razak lebih betul dan beliau lebih layak jadi perdana menteri adalah tidak relevan kerana tulisan saya hanya membicarakan kelayakan Dr Mahathir.
Saya tidak faham mengapa Dr Mahathir terlalu defensif bila kelayakannya untuk menjadi perdana menteri dibicarakan dengan membandingkan kelayakannya dengan Najib. Mengapa tidak dibandingkan dengan pemimpin Pakatan Harapan lain atau PAS?
Walau apa sekalipun yang diperkatakan mengenai beliau, paling tidak Najib tidak cuba berlagak pandai dengan membicarakan soal-soal agama di dalam cara yang boleh menyesatkan orang ramai seperti yang Dr Mahathir didakwa lakukan oleh para agamawan.
Bila Dr Mahathir tidak mengulas mengenai manifesto Pakatan Harapan yang langsung tidak menyebut sebarang komitmen untuk memartabatkan Islam sebagai agenda di dalam mana-mana satu daripada 5 terasnya, 60 janjinya dan 5 iltizam khususnya, ini bermakna ia betul.
Semoga kita diberikan hidayah oleh Allah.
Kamarul Zaman Yusoff ialah pensyarah Universiti Utara Malaysia.
No comments:
Post a Comment