Dewasa ini ramai yang mengajak kepada mengikut al-Quran dan Sunnah. Ia adalah suatu seruan yang amat baik untuk mengembalikan manusia kepada sumber ajaran agama yang asal namun ia memerlukan penghalusan terhadapnya agar kefahamannya berada dalam konteks yang benar menurut Ahli Sunnah wal Jamaah.
Kita sering mendengar hadith yang sentiasa dibacakan kepada kita untuk mengikut al-Quran dan Sunnah. Ia merujuk kepada sabda Rasulullah SAW “Ku tinggalkan kepadamu (umat Islam) dua pusaka abadi, apabila kamu berpegang kepadanya nescaya kamu tidak akan sesat iaitu Kitab Allah (Al Quran) dan Sunnahku”.(al-Muwatta’ li al-Imam Malik).
Walaubagaimanapun, Imam Malik membawa hadith ini dengan dalam bentuk mursal iaitu yang terpotong riwayatnya pada generasi sahabat, bermakna hadith mursal ini tabi'in terus menisbahkannnya kepada Rasulullah SAW tanpa dinyatakan dari sahabat manakah diambil riwayat tersebut. Hadith mursal ialah termasuk dalam kategori hadith da'if.
Hadith dengan lafaz "al-Quran dan Sunnah" sebenarnya tidak terdapat dalam mana-mana riwayat yang sahih dari Kutub al-Sittah namun ia diangkat dengan sebegitu sekali sehingga seolah-olah tiada versi hadith yang sahih berkenaan dengannya.
Akibatnya kita sering dilupakan dengan hadith yang sahih bahkan riwayat dan sanadnya adalah lebih kuat dari hadith yang terdapat lafaz "al-Quran dan Sunnah" seperti di atas. Iaitu hadith yang menyebut mengenai dua pusaka yang berat yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW ketika pesanannya di khutbah terakhir iaitu al-Quran dan ahlulbait/itrah (ahli keluarga Rasulullah SAW).
Hadith tersebut menyebutkan bahawa Sayyidina Zaid bin Arqam r.a, Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam telah berkhutbah:
"Sesungguhnya aku meninggalkan kepada kalian dua perkara yang besar, yang pertama adalah Kitab Allah (al-Qur'an) di mana di dalamnya terdapat hidayah dan (cahaya) nur, maka berpeganglah kepada Kitab Allah."
Berkata Zaid: "Beliau (Nabi) sangat memberi penekanan dan kepentingan Kitab Allah." Kemudian Rasulullah menyambung: "Dan itrati Ahlul Bait ku. Aku peringatkan kalian dengan (nama) Allah tentang Ahli Bait ku”.
(Sahih Muslim, Tirmidhi, Tabrani, Musnad Ahmad,Tahawi dan lain-lain)
Hadith ini dikenali disisi ulama sebagai `Hadith al-Thaqalayn’. Hadith ini bukan sekadar sahih bahkan direkodkan di dalam banyak khazanah kitab hadith rujukan ahlus Sunnah wal Jamaah yang muktabar.
Kesamaan yang terdapatil pada kedua-dua versi hadith ialah pada pusaka pertama iaitu lafaz Kitabullah (al-Quran), manakala yang berbeza ialah pada pusaka yang kedua iaitu lafaz Sunnah dan Ahlulbait. Maka didalam artikel ini inshallah saya akan lebih tertumpu untuk merungkai perbezaan tersebut dan memfokuskan kepada kefahaman mengenai kaitan antara Sunnah dan Ahlulbait.
Menurut kaedah ilmu hadith, apabila terdapat dua riwayat yang mempunyai pertembungan maka akan dilihat yang mana satu lebih kuat sanad dan riwayatnya maka ulama akan melakukan tarjih (mengutamakan salah satunya). Dan apabila kedua-dua hadith sama-sama kuat maka ulama hadith akan menggunakan kaedah ‘tatbiq’ iaitu menggabungkan makna kedua-duanya sehingga satu hadith menjadi pendokong dan pemberi keterangan terhadap hadith yang lain.
Kedua-dua kaedah diatas boleh digunakan terhadap kedua-dua hadith yang sedang kita bicarakan ini, pertama dari segi kekuatan hadith ,ternyata hadith yang menyebut al-Quran dan Ahlulbaitku adalah lebih sahih dan kuat, kemudian hadith yang menyebut Sunnah pula yang sanadnya lebih lemah adalah merupakan penerang kepada makna ahlulbait .
Ini bermakna terdapat kaitan yang rapat antara Ahlulbait dan Sunnah. Ianya tidak dapat dipisahkan sama sekali. Ahlulbait yang dimaksudkan disini adalah lebih merujuk lebih khusus kepada Ulama Ahlulbait yang benar dari segi ikutan dan panutan dalam urusan agama. Seseorang yang berpegang teguh kepada ulama Ahlulbait sudah tentu akan berpegang kepada Sunnah. Dan begitulah sebaliknya. Kedua-duanya tidak akan berpisah sepanjang zaman sehingga hari qiamat menjelang.
Sebuah hadith sahih telah mengisyaratkan kepada perkara tersebut apabila oleh Imam Hakim dalam Mustadrak Al-Sahihayn Al-Hakim (juz.3,hal 148):
Imam Al-Hakim meriwayatkan telah menceritakan kepada kami seorang faqih dari Ray, Imam Abu Bakar Muhammad bin Husain bin Muslim, yang mendengar dari Muhammad bin Ayub yang mendengar dari Yahya bin Mughirah al Sa’di yang mendengar dari Jarir bin Abdul Hamid dari Hasan bin Abdullah An Nakha’i dari Muslim bin Shubayh dari Zaid bin Arqam yang berkata bahwa Rasulullah SAW bersabda:
“Kutinggalkan kepadamu dua peninggalan (As-Saqalain), kitab Allah dan Ahlul BaitKu. Sesungguhnya keduanya tak akan berpisah, sampai keduanya kembali kepadaKu di Al Haudh (telaga Kauthar)“
(Al Hakim menyatakan dalam Al Mustadrak As-Sahihain bahawa sanad hadith ini sahih berdasarkan syarat Bukhari dan Muslim)
Imam Ahmad bin Hanbal juga meriwayatkan hadith yang serupa pada halaman 26, dari Sayyidina Abu Sa’id al-Khudri hadith yang lain. Demikian juga pada halaman 59, dari Sayyidina Abu Sa’id al-Khudri hadith yang lain. Juga meriwayatkan pada juzuk keempat, halaman 367, dari Zaid bin Arqam hadith yang lain.
Diriwayatkan oleh al-Tirmidhi :Dari Jabir bin ‘Abdillah AI-Anshari yang berkata, “Aku melihat Rasulullah SAW di dalam Haji Wada’ (Haji Perpisahan) di atas untanya ‘AI-Qushwa’ (nama unta Rasulullah SAW)’, beliau berkhutbah. Aku mendengar beliau bersabda, “Wahai manusia, sesungguhnya aku telah tinggalkan kepada kalian, yang apabila kalian berpegang teguh dengannya, kalian tidak akan tersesat, yaitu: Kitabullah (Al-Quran) dan keluargaku Ahlulbaitku.
(Sahih at-Tirmidhi jilid 2 halaman 308)
Dari hadith ini, kita dapat mengetahui bahawa pada setiap zaman, dua pusaka Rasulullah SAW sentiasa berada dikalangan umat ini dalam memandu mereka kepada Allah, yang pertama ialah berbentuk bacaan iaitu kitab al-Quran dan kedua ialah dalam bentuk makhluk yang hidup iaitu Ahlulbait yang menghidupkan Sunnah dan menyebarkannya.
Adalah mustahil Rasulullah SAW meninggalkan sesuatu untuk kita berpaut kepadanya sedangkan ia tidak wujud dikalangan kita. Ia akan termasuk “al-amru ma la yutaq” iaitu memerintahkan sesuatu yang tidak mampu diupayakan oleh umat ini.Dan ini adalah sesuatu yang tidak mungkin berlaku.
Sehubungan dengan itu, dalam konteks peninggalan RasuluLlah SAW kepada umat untuk dijadikan pedoman, selain daripada al-Qur’an dan Ahl al-Bayt, hadith lain menyebutkan peninggalan yang lain iaitu para Ulama disepanjang zaman. Sabda Baginda SAW, “Para Ulama adalah pewaris Anbiya’. Para Nabi tidak meninggalkan dinar dan dirham sebagai pusaka, tapi meninggalkan warisan ilmu. Siapa sahaja yang mengambil peninggalan warisan tersebut, dia telah mengambil habuan pusaka yang amat bernilai”. (Abu Dawud, Ahmad dan al-Tirmidhi).
Dalam hadith di atas, telah jelas bahawa peninggalan RasuLlah SAW kepada umat ini ialah dalam bentuk manusia hidup yang dapat berinteraksi dengan manusia dan berasimilisasi dengan mereka. Manakala pusaka berharga yang ditinggalkan adalah ilmu. Dapat diketahui dari gabungan seluruh hadith-hadith di atas mengandungi isyarat bahawa dari kalangan ahli keluarga RasuluLlah SAW dan keturunannya adalah paling ramai dibangkitkan sebagai para Ulama.
Hal tersebut disokong dengan bacaan selawat yang dibacakan oleh seluruh umat Islam yang menselawati Nabi Muhammad SAW dan ahli keluarganya. Imam Badi’uzzaman al-Nursi menyebutkan bahawa selawat ke atas Ahli Keluarga RasuluLlah SAW dan ke atas Nabi Ibrahim a.s. serta keturunannya secara khusus yang sentiasa dibaca oleh jutaan umat Islam dalam setiap solat mereka adalah menunjukkan bahawa golongan terbesar yang menjadi mursyid (pembimbing umat manusia) sepanjang zaman adalah datang dari jalur keturunan dari Nabi Ibrahim a.s. yang menjadi Anbiya’ daripada kalangan Bani Isra’il, dan yang menjadi Rasul daripada kalangan Arab iaitu Nabi Muhammad SAW yang merupakan Penghulu kepada sekalian keturunan Nabi Adam (Sayyidu Waladi/Wuldi Adam). Kemudian rantaian kepimpinan tersebut diteruskan misinya secara berkesinambungan oleh mereka yang bernasab kepada RasuluLlah SAW. (Risalah al-Nur, Imam Badi’uzzaman al-Nursi.)
Sehubungan dengan hadith di atas iaitu “ Para ulama adalah pewaris para Nabi”, selain dari ulama Ahlulbait yang merupakan pewaris hakiki Rasulullah SAW kerana didalam diri mereka tersimpan genetik dan darah Rasulullah SAW, ada juga pewaris Rasulullah SAW yang bersambung kepada baginda SAW dari segi rantaian keilmuan. Lafaz hadith “pewaris” itu sahaja membawa makna sesuatu yang sambung menyambung tanpa putus dari pewaris kepada yang mewariskan hinggalah kepada sumber asalnya. Mereka semua adalah tempat kita berpaut dalam mencari kebenaran ilmu yang sahih kefahamannya.
Para ulama adalah pemegang otoriti dalam ilmu agama. Jika tiada otoriti ini, maka tidak mustahil orang boleh sampai mendakwa al-Quran dan kitab-kitab hadith seluruhnya yang sampai kepada kita saat ini adalah palsu. Dengan alasan bahawa yang memberitahu kita bahawa dihadapan kita ini adalah al-Quran dan hadith adalah ulama sebelum kita juga, dan ulama tidak sunyi dari kesilapan serta manusia biasa, mungkin saja mereka berdusta kepada kita tanpa kita ketahui.
Oleh itu, tidak tepat seseorang yang berkempen kembali kepada al-Quran dan hadith sahih tanpa memberi otoriti kepada ulama dalam memberi tafsiran dan syarahan dalam memberi erti Sunnah Rasulullah dari al-Quran dan Sunnah. Sesuatu yang berlawanan dengan fitrah ilmu jika kedua-dua yang ditinggalkan Rasulullah kepada kita berbentuk kaku tanpa emosi, dan tanpa tabiat kemanusiaan. Maka salah satu darinya hendaklah berbentuk manusia yang berbicara dan memahami dinamik manusia sehingga penzahiran Sunnah yang diberikan berdasarkan al-Quran dan Hadith mencerminkan agama Islam yang universal tanpa mengenepikan adat, budaya, kebiasaan, corak pemikiran dan tabiat manusia setempat diseluruh dunia.
Allah berfirman “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang memegang otoriti) dari kalangan kamu”. (an-Nisa,4:59)
“Ulil amri” dalam kelilmuan adalah majoriti ulama yang berada disepanjang zaman, mereka adalah ulama muktabar ahlus Sunnah wal jamaah yang mempunyai sanad keilmuan sehingga Rasulullah SAW. Dalam sanad inilah kita akan dapati peranan ulama Ahlilbayt yang menjadi penghubung kepada para ulama lain selain mereka dalam pewarisan ilmu
Oleh kerana itu Rasulullah SAW tidak menyatakan terangkatnya ilmu ini dengan terhapusnya kitab-kitab hadith sahih tapi dengan meninggal dunianya para ulama. Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya Allah SWT tak mencabut ilmu mendadak secara tiba-tiba daripada hamba-hamba-Nya, tetapi mencabut ilmu dengan mematikan ulama sehinggalah apabila tidak ada orang alim, maka manusia mengambil orang-orang jahil sebagai pemimpin agama mereka yang amat jahil dlm agama. Bila ditanya, pemimpin ini berfatwa tanpa ilmu. Mereka ini sesat dan menyesatkan”.
Hakikat ilmu ialah yang berada dalam dada-dada ulama, mereka merupakan gedung ilmu, bukan semata-mata kitab, mentelaah ilmu dari internet semata-mata tanpa guru. Pewarisan ilmu secara bersanad inilah yang membezakan sistem ilmu Islam dan sistem ilmu Barat. Yakni sanad ilmu dalam kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah pasti bertemu dengan ulama muktabar Ahlulbayt sejak zaman Salaf. Justeru hadith "dua pusaka" ini tidak menafikan peranan ulama lain selain Ahlulbayt kerana mereka semua berada dalam bahtera yang sama.
Bersabda Nabi SAW: "Sesungguhnya perumpamaan Ahlul Baitku di sisi kalian adalah umpama bahtera Nabi Nuh di sisi kaumnya. Siapa yang menaikinya akan selamat dan yang tertinggal akan tenggelam". (Mustadrak al-Hakim, Tabrani)
Imam Ibnu Hajar telah meriwayatkan hadith di atas di dalam kitabnya al-Sawaiq al-Muhriqah dan berkata:"Dasar keserupaan mereka dengan bahtera (Nabi Nuh) bermakna bahawa sesiapa yang mencintai mereka dan menghormati mereka sebagai tanda terima kasih atas nikmat kemuliaan mereka, serta sebagai ikut bimbingan ulama mereka maka akan selamat dari kegelapan perselisihan, sementara mereka yang tidak ikut akan tenggelam di dalam lautan kekufuran nikmat dan akan celaka di bawa arus kezaliman”.
Pada zaman ini, ada sekelompok ahli agama yang menyeru kepada Sunnah tetapi mengehadkan kepada hadith-hadith sahih sahaja. Walhal Rasulullah SAW tidak pernah menyebut untuk mengikuti al-Quran dan Hadith Sahih .
Menyempitkan makna Sunnah hanya kepada hadith-hadith sahih membawa kepada implikasi penyempitan khazanah ilmu dalam Islam. Sehingga Muhaddithin yang memang memaknai Sunnah sebagai hadith tidak menyempitkannya pada hadith-hadith sahih sahaja. Pembukuan hadith sahih hanya berlaku setelah zaman tabi’in iaitu sekitar 220H.
Pendekatan makna Sunnah sebagai “hadith sahih” ini tidak pernah diambil oleh mana-mana ulama ahli Sunnah wal jamaah. Seorang ahli ilmu yang jujur dan amanah, sebelum memberi makna kepada suatu lafaz dalam hadith, hendaklah terlebih dahulu melihat syahid (saksi) dari nas yang lain. Namun, dalam memaknai Sunnah dalam hadith yang dibincangkan dalam artikel ini, telah pun sabit dari nas yang lain memberi syahid (saksi) kepada makna sunnah iaitu “Ahlulbait”.
Sesuatu yang sabit dari nas hendaklah ditarjihkan dan diutamakan keatas makna “hadith sahih”. Bahkan pada hakikatnya, makna sunnah itulah yang menjadi penyokong dan saksi kepada makna Ahlulbayt kerana status hadith Ahlulbayt adalah lebih kukuh berbanding hadith dengan lafaz Sunnah.
Mutakhir ini, kita dapati ada segelintir pihak yang tidak berada dalam lingkungan para Ulama keturunan RasuluLlah SAW (Ahlulbait) atau kerana lebih terjebak kepada banyak bersangka buruk kepada Ulama Ahlulbait, maka mereka sukar untuk memahami maksud hadith tersebut sehingga kelompok yang sentiasa melaungkan untuk ikut hadith sahih sendiri tidak mengangkat hadith sahih dalam bab ini hanya kerana kurangnya mereka bergaul dengan Ulama Ahlulbait yang hak.
Namun begitu, ianya tidak sukar difahami bagi orang yang mengkaji sejarah dari awal permulaan Ahlulbait sehinggalah kehari ini dan mengkaji siapakah tokoh-tokoh Ahlulbait dari kalangan Ulama Muktabar Ahli Sunnah wal Jama’ah sepanjang zaman bagaimana Ulama Ahlulbait telah, sedang dan akan memainkan peranan mereka dalam menghidupkan roh Sunnah diseluruh pelusuk alam sehinggalah kelak munculnya ulama Ahlulbait yang akan menjadi Khalifah al-Mahdi yang memimpin seluruh umat Islam sebelum hari Qiamat menjelang tiba.
iqbal Zain al-jauhari
No comments:
Post a Comment