Sunday, 22 February 2026

JUMHUR ULAMA HADITH ADALAH BERMAZHAB

JUMHUR ULAMA HADITH ADALAH BERMAZHAB

Para ulama hadith (muhaddithin) yang terdahulu sejak zaman berzaman adalah orang yang bertaqlid dengan mazhab. Sungguhpun mereka telah menghafal beratus-ratus ribu hadith dan menghasilkan kitab himpunan hadith yang sangat besar sumbangannya hingga ke hari ini, namun mereka tidak membentuk mazhab mereka sendiri. Bahkan mereka tetap berpegang teguh dengan Imam Mazhab.

Mengapa? Perlu difahami bahawa setiap ulama mazhab pasti menguasai ilmu hadith namun para ulama hadith tidak semestinya menguasai ilmu fiqh. Melainkan hanya segelintir mereka yang menguasai kedua-dua bidang sekaligus seperti Imam al-Nawawi, Qadi Iyad, Imam al-Suyuti dan lain -lain. meskipun begitu, mereka tetap mengikut Imam mazhab masing-masing. 

Hari ini ada segelintir yang keliru dengan istilah "Fiqh hadith" kerana menyangka orang yang mendalami "fiqh hadith" ialah orang yg faham hadith dan fiqh sekaligus. Ianya adalah silap, sebabnya ialah fiqh yang berada dalam kalimah "fiqh hadith" bukan merujuk kepada subjek ilmu fiqh, akan tetapi merujuk kepada subjek ilmu hadith itu sendiri bukan ilmu fiqh.

Juga perlu diketahui bahawa setiap Imam-imam Mazhab mempunyai Kitab Musnad Hadith mereka sendiri. Ini menunjukkan bahawa setiap Imam mazhab mempunyai penguasaan yang luas terhadap hadith. Namun begitu, bukan semua ulama hadith mempunyai kitab fiqh karangan mereka.

Oleh kerana itu, Imam al-Humaidi (rah) yg terkenal dengan kehebatan ilmu hadith dan juga guru hadith kepada Imam Bukhari (rah), apabila ada orang bertanya beliau mengenai hukum hakam agama (fiqh), maka beliau akan merujuk kepada Imam Syafi’I (rah). 

Seorang ulama Muhaddithin, Imam Abdullah bin Wahb (rah)[w.813M] telah berkata:

" Setiap ahli hadith yang tidak mempunyai imam dalam fiqh nescaya dia tersesat, aku telah bertemu tiga ratus orang alim, kalau bukan kerana Malik bin Anas dan Al-Laith bin Sa'ad nescaya aku akan binasa. (Imam Malik dan Imam Laith adalah imam feqah yg hebat pada zamannya)

Dikatakan kepadanya: bagaimana boleh terjadi sebegitu rupa?

Maka beliau berkata: aku telah mendapati terlalu banyak menghimpunkan hadith maka ia telah memeningkanku, aku sentiasa menyangka bahawa setiap apa yang telah datang daripada Nabi Sallalahu Alaihi Wasallam maka boleh beramal dengannya, maka aku bentangkannya kepada Malik dan al-Laith maka mereka berdua berkata: ambil (hadith) yang ni dan tinggalkan (hadith) yang ni.

Dibawah adalah senarai mazhab Muhaddithin Kutub Sittah:

1. Imam Al Bukhari, menurut pendapat masyhur beliau bermazhab Syafi’i, Imam Tajuddin al-Subki memasukkan Imam Bukhari dalam Tabaqat al-Shafi’iyah di mana beliau adalah murid Imam Al-Humaidi ulama besar Syafi’i. Ada pendapat mengatakan kemudian Imam Bukhari mencapai darjat mujtahid. Namun begitu, tiada sebarang mazhab terbentuk dari beliau. 

2. Imam Muslim bermazhab Shafi’i 

3. Imam Abu Isa al-Tirmizi bermazhab Shafi’i 

4. Imam Nasa’i dan Imam Abu Dawud menurut Imam Ibnu Taimiyah merupakan penganut madhab Al Hanbali, namun ada pihak lain yang menyebut bahwa kedua-duanya adalah bermazhab Syafi’i.

5. Imam Ibnu Majah tidak diketahui mazhabnya

Dibawah adalah senarai Muhaddithin yang bermazhab Shafi'i:

1. Al-Hafiz Al-Daraquthni
2. Al-Hafiz Al Bayhaqi
3.Al-Hafiz Ibnu Asakir
4. Al-Hafiz Ibnu Daqiq al-‘Id
5. Al-Hafiz al-Dimyathi
6. Al-Hafiz al-Munziri
7. Al-Hafiz Taqiyuddin Al-Subki
8. Al-Hafiz Al Mizzi
9. Al-Hafiz Al-Dhahabi
10. Al-Hafiz Ibnu Kathir
11. Al-Hafiz Al Haythami
12. Al-Hafiz Al Iraqi
13. Al-Hafiz Ibnu Hajar Al Asqalani
14. Al-Hafiz al-Suyuti
15. Al-Hakim Tirmizi
16. Imam Abu Isa al-Tirmizi
17. Imam Abu Uthman al-Sabuni
18. Imam Zakariyya al-Ansari
19. Imam Ibn Hajar al-Haytami 
20. Imam al-Sakhawi 

Dibawah adalah senarai Muhaddithin yang bermazhab Hanafi:

1. Al-Hafiz Abu Bishr Ad Dulabi 
2. Al-Hafiz Abu Ja’far Ath Thahawi
3. Al-Hafiz Ibnu Abi Al Awwam As Sa’di
4. Al-Hafiz Abu Muhammad Al Haritsi
5. Al-Hafiz Abdul Baqi
6. Al-Hafiz Abu Bakr Ar Razi Al Jashas
7. Al-Hafiz Abu Nashr Al Kalabazi
8. Al-Hafiz Abu Muhammad al-Samarqandi
9. Al-Hafiz Syamsuddin As Saruji,
10. Al-Hafiz Quthb Ad Din Al Halabi
11. Al-Hafiz Alauddin Al Mardini
12. Al-Hafiz Az Zaila’i
13. Al-Hafiz Mughultay
14. Al-Hafiz Badruddin Al Aini
15. Al-Hafiz Qasim bin Quthlubugha
16. Syaikh Al Kawthari dan Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah menyebutkan terdapat 150 ulama hufaz hadith dan muhadith yang lain yang mengikut mazhab Hanafi
17. Imam al-Sarakhsi
18 Mawlana Zakariyya Kandahlawi
19. Mawlana Khalil Ahmad al-Saharanfuri
20. Mawlana Abdul Hayy al-Laknawi 
21. Mawlana Yusuf Binnori
22. Mawlana Zafar Ahmad al-Uthmani 
23. Mawlana Manzur Nu'mani
24. Mawlana Habib al-Rahman al-A'zami

Dibawah ialah senarai Muhaddithin yang bermazhab Maliki:

1. Al-Hafiz Hussain bin Ismail Al Qadhi
2. Al-Hafiz Al Ashili
3. Al-Hafiz Ibnu Abdil Barr
4. Al-Hafiz Abu Walid Al Baji
5. Al-Hafiz Ibnu Al Arabi
6. Al-Hafiz Abdul Haq
7. Al-Hafiz Qadhi Iyadh
8.Al-Hafiz Al Maziri
9.Al-Hafiz Ibnu Rusyd
10.Al-Hafiz Abu Qasim Al-Suhayli
11. Imam al-Shatibi
12. Imam Sahnun
13. Imam Ibn Abi Zayd al-Qayrawani
14. Imam al-Qarafi

Dibawah adalah senarai Muhaddithin yang bermazhab Hanbali:

1. Al-Hafiz Abdul Ghani Al Maqdisi
2. Al-Hafiz Ibnu al-Jawzi
3. Al-Hafiz Ibnu Qudamah
4. Al-Hafiz Abu Barakat Ibnu Taimiyah(datuk kpd Imam Ibnu Taymiah yg masyhur) 
5. Al-Hafiz Ibnu Rajab 
6. Imam Abu Bakr al-Khallal
7. Imam Mar'i Karami 
8. Imam Ibn Battah 
9. Imam Ibn Aqil 
10. Imam Ibn Muflih dan lainnya.

Mengapa para ulama Muhaddithin tetap berpegang sedangkan mereka menguasai beratus ribu hadith? Ini adalah kerana skop tugas Muhaddith ialah meriwayatkan sabdaan, perbuatan dan taqrir (pengakuan) Rasulullah SAW terhadap tindak tanduk sahabat, TANPA mengemukakan:

1. Yang mana satu hadith yang dimansukh hukumnya dan yang mana memansukhkannya

2. Yang mana hadith merupakan dasar utama dan yang mana merupakan hadith pengecualian

3. Suruhan yang manakah disokong oleh sekumpulan besar sahabat dan tabi’in, dan yang mana tidak disokong

Ini adalah kerana hal-hal diatas diserahkan kepada ulama mujtahid untuk melakukannya dan mengeluarkan hukum hakam, bukan ulama hadith. Oleh kerana itu, penilaian hadith yang dibuat oleh fuqaha'(Imam-imam mujtahid dlm mazhab) adalah lebih tinggi berbanding penilaian hadith yang dibuat oleh ulama Muhaddithin.

Senario yg berlaku pada masakini ialah, segelintir orang mengenepikan mana-mana hukum hakam dlm mazhab fiqh hanya beralasan ia tidak terdapat dalam kitab Kutub Sittah. Sedangkan seseorang yang benar-benar faham bagaimana penyusunan ilmu pada setiap bidang terbina dalam disiplin keilmuan Islam, pasti tidak akan mempermasalahkannya dengan pertikaian yang tidak relevan seperti itu. 

Hendaklah difahami bahawa hukum hakam dlm mazhab itu ada sandaran hadith yang dipegang oleh para Imam Mazhab yg mana hadith itu tidak semestinya terdapat dlm Kutub Sittah.

Maksud Imam Shafi’i apabila beliau mengatakan: إذا صحّ الحديث فهو مذهبي
"jika ada terjumpa hadith sahih, maka itulah mazhabku" ialah jika masih ada mana-mana hukum hakam yg belum ditulis dlm mazhab Syafi'e maka jika ada hadith sahih yg berkenaan dengannya, maka itu blh dimasukkan dlm mazhabnya.

Manakala hukum hakam yg telah pun tertulis dlm mazhabnya, telah pun disahkan oleh Imam Shafi’i sumber hadithnya adalah sahih menurut beliau. 

Perlu juga difahami bahawa ucapan itu beliau tujukan kepada murid-muridnya dan juga untuk para mujtahid dalam mazhab yang telah mencapai kedudukan yang tinggi dlm ilmu fiqh dan seluruh ilmu-ilmu alat yang lain. Ia bukan ditujukan kepada masyarakat biasa untuk melakukannya.

iqbal Zain al-jauhari

No comments:

Post a Comment