Monday, 23 February 2026

KECELARUAN BERAGAMA AKIBAT MENGAMALKAN HADITH TANPA PANDUAN FUQAHĀʾ

KECELARUAN BERAGAMA AKIBAT MENGAMALKAN HADITH TANPA PANDUAN FUQAHĀʾ

Terdapat segelintir yang menganggap apabila dia amalkan hadith maka itulah sunnah. Sedangkan hakikatnya, praktik sunnah bukan semudah itu sebaliknya hendaklah dia ikut panduan para ulama muktabar untuk mengetahui kefahaman yang sahih dan praktik sunnah yang sebenar dalam beragama.

Perbincangan tersebut saya telah huraikan panjang lebar dalam tiga artikel di bawah:

https://www.facebook.com/share/p/17xSug9xjx/

https://www.facebook.com/share/p/1BFUgpege2/

https://www.facebook.com/share/p/14cg64FAcAc/

Antara akibat dari amal hadith tanpa panduan ulama fiqh ialah ketikamana masuk ke dalam masjid atau surau, seringkali saya ternampak segelintir individu yang sembahyang berjemaah dalam keadaan kakinya betul-betul rapat dilekatkan pada kaki orang yang berada di sebelahnya sehingga kakinya agak terkangkang besar kerana dia ingin memastikan kedua-dua kakinya menyentuh kaki orang yang berada di sebelah kanan dan kirinya. Seperkara lagi yang saya perhatikan, orang yang sama ini sembahyang dengan meletakkan kedua-dua tangannya betul-betul di atas dadanya.

Persoalannya, mengapa dia sembahyang dengan sedemikian rupa? Jika dia mempunyai masalah dengan kaki atau tangannya sehingga terpaksa mengangkang kakinya dan terpaksa menaikkan tangannya ke dadanya, maka hal itu tidak mengapa dan tidak menjadi masalah. Setiap kali saya melihat orang yang solat seperti itu, supaya tidak bersangka buruk, saya akan beranggapan bahawa kemungkinan dia ada masalah sendi pada tangan dan kakinya sehingga dia terpaksa solat dengan sedemikian rupa atau dia hanya mengikut-ngikut orang lain tanpa mengetahui duduk perkara yang sebenar. 

Namun untuk orang yang melakukan sedemikian, dia hendaklah bermuhasabah dan bertanya kepada dirinya sendiri adakah dia melakukan hal itu kerana mendakwa ianya sunnah atau kerana ia berdasarkan hadith semata-mata, jika sedemikian itu anggapannya, maka ia menjadi suatu kemusykilan kerana tidak ada siapa dari ulama muktabar yang menyatakan sunnah untuk menunaikan solat dengan cara sedemikian rupa. Bahkan semua mazhab menyatakan bahawa makruh hukumnya meletakkan tangan naik ke paras dadanya.  

Berkenaan cara meletakkan tangan ketika solat adalah seperti berikut:

Mazhab al-Shafi’i: Meletakkan di atas pusatnya iaitu antara pusat dan dada. Baik untuk lelaki dan perempuan. 

Mazhab al-Hanbali: Pendapat pertama ialah meletakkan tangan di bawah pusat. Pendapat kedua ialah ialah di atas pusat. Pendapat ketiga ialah dibawah dada. Adapun meletakkan tangan di atas dada adalah makruh menurut Imam Ahmad bin Hanbal.

Mazhab al-Maliki: Pendapat pertama ialah melepaskan tangan ke bawah (irsal). Pendapat kedua ialah meletakkan di atas pusat.

Mazhab al-Hanafi: meletakkan tangan dibawah pusat untuk lelaki dan meletakkan di atas dada untuk perempuan.

Hadith dalam bab ini ialah: “Dari Wa’il, beliau berkata: Lalu RasuluLlah SAW meletakkan tangan kanannya di atas tangan kirinya di atas dadanya (على صدره)”. (Riwayat Ibn Khuzaymah) 

Namun Imam Ibnu Hajar al-Asqalani menyatakan hadith ini da’if. Kerana dalam riwayat ada Mu’ammil bin Isma’il al-Basri dan ramai Muhaddithin mengatakan bahawa kalimah “…di atas dadanya” (على صدره) adalah penambahan (ziyadah) dari perawi. Sedangkan hukum-hakam tidak terbina di atas hadith da'if yang ditolak oleh para fuqaha'. Oleh kerana itu, kita dapati tiada seorang pun Imam Mazhab yang beramal dengan hadith ini secara literal. 

Adapun menurut Imam Abu Hanifah, wanita meletakkan tangannya di atas dadanya bukan beristidlalkan hadith Sahih Ibni Khuzaymah ini, tapi beristidlalkan qiyas bahawasanya ia lebih menunjukkan sifat haya’ bagi wanita.

Oleh yang demikian, seseorang yang meletakkan kedua tangannya di atas dadanya sebenarnya tidak mengikut mana-mana tafsiran Ulama dalam memahami hadith sifat solat, bahkan makruh disisi Imam Ahmad bin Hanbal, sebaliknya perbuatannya itu adalah mengikut pendapat Mazhab Hanafi secara qiyas untuk wanita. Adapun untuk lelaki, semua mazhab menyatakan bahawa kedudukan tangan adalah di bawah dada. 

Berkenaan kedudukan kaki ketika dalam saf, diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari sebagaimana berikut:

أقِيموا صفوفَكم، ثلاثًا، واللهِ لَتُقِيمُنَّ صفوفَكم أو ليُخالِفَنَّ اللهُ بينَ قلوبِكم، قال: فرأَيْتُ الرَّجُلَ يُلزِقُ مَنكِبَه بمَنكِبِ صاحبِه، ورُكبَتَه برُكبَةِ صاحبِه، وكعبَه بكعبِه

Baginda SAW berkata: Luruskan saf kalian (tiga kali), demi Allah, kalian sama ada benar-benar meluruskan saf-saf kalian atau Allah akan cerai-beraikan hati-hati kalian. Maka aku (Nu’man bin Bashir) melihat lelaki merapatkan bahunya disebelah bahu orang disebelahnya, lututnya pada lutut orang disebelahnya, buku lalinya pada buku lali orang disebelahnya”.

Berkenaan hadith di atas, al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani berkomentar dalam Fath al-Bari, beliau berkata:

قال الحافظ في ( الفتح ) : المراد بذلك المبالغة في تسوية الصفوف و تقاربها اهـ لاحقيقة الإلتصاق و يمكن أن أحدهم يمس منكبه منكب الآخر، فأما القدم و الركبة فلا يلزم التماس، و ذلك لأن البعض قد يتأذى من التلاصق و التقارب الشديد

“Maksudnya bersungguh-sungguh di dalam meluruskan saf bukan maksudnya betul-betul melekatkan. Boleh saja salah seorang mereka menempelkan bahunya ke bahu orang lain, adapun buku lali dan lutut tidak dilazimkan untuk saling bersentuhan. Yang seperti itu kerana terkadang seseorang merasa terganggu kerana tempelan dan desakan yang menganggu ini. Akan tetapi maksudnya ialah menegakkan barisan saf secara selari dan mengisi celah diantara saf hingga syaitan tidak boleh keluar masuk”.

Kenyataan yang dibuat oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqalani di atas adalah pengamalan seluruh mazhab, tiada satu pun menyalahinya. Seseorang yang solat dengan mengangkangkan kakinya agar bersentuhan rapat dengan orang disebelahnya, adalah sebenarnya tidak mengikut mana-mana tafsiran Ulama Muktabar dalam memahami hadith mengenai saf solat.

Dia akan terjebak dengan makna zahir hadith tersebut kerana jika dia mendakwa perbuatannya itu adalah untuk mengikut hadith sahih tersebut, maka dia perlu tahu bahawa hadith sahih itu tidak hanya menyebut bahu bertemu bahu dan kaki bertemu kaki, akan tetapi juga menyebut buku lali bertemu buku lali dan lutut bertemu lutut, sedangkan untuk mengamalkannya secara literal adalah hampir mustahil.

Pada asalnya, saya menyangka bahawa pendapat melekatkan kaki dengan kaki ini adalah pandangan dari Ulama Salafi, namun sepanjang pencarian saya, ternyata semua tokoh Salafi bersetuju bahawa makna hadith kaki bertemu kaki bukan bersentuhan melekat.

Seorang tokoh Salafi, Shaykh Muhammad Bin Uthaymin mengatakan bahawa yang sunnah dalam bab ini ialah seseorang pada awal solat hendaklah merapatkan saf dan meluruskan barisan agar tiada orang yang kakinya maju ke hadapan dan orang lain mundur dibelakang. Beliau menjelaskan bahawa bukan sunnah untuk menyentuh jari kaki dengan orang disebelahnya sehingga dia melebarkan bukaan kakinya apabila orang disebelahnya menarik kakinya ke arah bertentangan. Bahkan ia bertentangan dengan sunnah kerana yang sepatutya ialah dia perlu memberi kelonggaran kepada jirannya dan tidak menganggunya dengan sentuhan kakinya yang rapat. Bahkan menurut beliau, perbuatan tersebut adalah bertentangan dengan sunnah.

Manakala ilmuan Salafi yang lain bernama Shaykh Salih Fawzan pula berpendapat hadith sahih di atas adalah bermaksud المحاذات iaitu barisan saf yang selari bukan melekatkan kaki bersentuhan dengan kaki orang disebelahnya. Shaykh Bin Baz juga mengatakan bahawa maksud hadith diatas adalah memenuhkan saf dan selarikan barisan saf, bukan menempelkan kaki dengan kaki orang sebelah. Kenyataan semua tokoh Salafi dalam bab ini adalah sejajar dengan apa yang dijelaskan oleh para Ulama Muktabar yang lain.

Oleh yang demikian, seseorang yang solat berjemaah dengan mengangkang kakinya agar dapat bersentuhan dengan kaki orang disebelahnya dengan alasan untuk ikut sunnah, hendaklah dia mengetahui bahawa tiada seorang Ulama pun yang memahami sunnah dari hadith sifat saf dengan sedemikian rupa.

Seluruh perbincangan di atas membuktikan bahawa persoalan cara letak tangan dan cara merapatkan saf dalam solat sahaja sudah mencukupi untuk menunjukkan betapa pentingnya untuk seseorang yang ingin mengamalkan sunnah tidak hanya bergantung kepada teks hadith semata-mata, akan tetapi perlu melihat kepada pengamalan umat Islam dengan mengikut apa yang telah dijelaskan oleh para Ulama Fiqh sepanjang zaman. 

Perbincangan ini juga menunjukkan bahawa betapa pentingnya pengajian ilmu secara bersanad agar seseorang dapat memahami kefahaman yang sahih terhadap hadith-hadith RasuluLlah SAW supaya amalannya berada di atas pengertian “Sunnah”. 

Demikian adalah kerana praktik amalan yang dilakukan oleh Umat Islam adalah merupakan tasalsul iaitu berantaian dari umat Islam yang awal, seseorang yang hanya ingin mengamalkan hukum-hakam Islam dengan hanya berpandukan kepada teks al-Qur’an dan hadith semata-mata akan menatijahkan kepincangan dan kecelaruan dalam amalannya.

Oleh kerana itu, Sayyidina Ibnu Umar (ra) berkata:

العِلْمُ دِيْنٌ وَالصَّلَاةُ دِيْنٌ، فَانْظُرُوا عَمَّنْ تَأْخُذُونَ هَذَا العِلْمَ وَكَيْفَ تُصَلُّونَ هَذِهِ الصَّلّاةَ فَإِنَّكُمْ تُسْأَلُونَ يَوْمَ القِيَامَة

"Ilmu itu agama dan solat itu adalah agama. Maka hendaklah kalian perhatikan daripada siapa kalian mengambil ilmu dan solat kalian kerana sesungguhnya kalian akan ditanya pada Hari Qiamat."
(Riwayat al-Daylami)

Athar Sayyidina Ibnu Umar ini membuktikan bahawa kepentingan sanad bukan sahaja terletak kepada jalan riwayat semata-mata, akan tetapi juga merangkumi jalan pengamalan dan kefahaman.

Imam AbduLlah bin Wahb (w.197H/813M) pernah berkata, “Aku telah terlalu banyak menghimpunkan hadith-hadith maka ia telah membingungkanku, aku sentiasa menyangka bahawa setiap apa yang telah datang dari Nabi Muhammad SAW maka boleh beramal dengannya, maka aku bentangkannya kepada Imam Malik bin Anas dan Imam al-Layth, maka mereka berdua berkata: Ambil (hadith) yang ini dan tinggalkan yang ini”. Imam Malik dan Imam Layth adalah antara pakar Fiqh pada zaman tersebut. 

Imam AbduLlah bin Wahb juga berkata, “Setiap pakar hadith yang tidak berguru kepada Ulama Fiqh, nescaya dia akan tersesat. Dan jika Allah tidak menyelamatkanku menerusi Imam Malik dan Imam Layth, nescaya aku pasti tersesat” (kullu sāhib hadith laysa lahu imām fi al-fiqh fa huwa ḍāllun wa law lā anna Allah anqadhanā bi Mālik wa al-Layth laḍalalna).

(Ruj: Tartib al-Madārik li al-Qādi ‘Iyad, j.1,ms.247, Bāb Ashāb Malik dan al-Jāmi’ fi al-Sunan li Ibni Abi Zayd, ms.119)

iqbal Zain al-Jauhari

No comments:

Post a Comment