Pada awal tahun 1938, kira-kira 20 tokoh masyarakat Melayu di Singapura, termasuklah Yahya bin Abdul Rahman, Cikgu Yunan bin Daim, Osman bin Hassan, Haji Ambo Sooloh bin Omar, Sudin bin Abdul Rahman, Abdullah bin Abdul Ghani dan Tun Haji Yusof bin Ishak telah bertemu di rumah Daud bin Mohamed Shah di Kampong Siglap. Mereka berbicara selama 3 jam berhubung dengan soal hendak melancarkan sebuah syarikat percetakan suratkhabar Melayu.
Kebanyakan dari mereka yang hadir pada waktu itu menyangka bahawa dengan pengalaman Tun Yusof selama tujuh tahun bekerja di dalam syarikat Warta Malaya Press Limited, tentulah beliau sanggup menyusun dan menjalankan sebuah syarikat orang Melayu.
Namun pada awalnya, Tun Yusof merasakan bahawa syarikat yang dicita-citakan itu tidak mungkin akan dapat hidup lama kerana terdahulu daripada itu telah berdiri berpuluh-puluh buah syarikat Melayu dan suratkhabar-suratkhabar serta majalah-majalah Melayu yang mati di dalam masa beberapa bulan sahaja.
Selain daripada itu, beliau tahu bahawa Warta Malaya Press Limited yang dipunyai oleh orang-orang Arab yang kaya akan berusaha seberapa daya upayanya menghancurkan syarikat-syarikat percetakan suratkhabar yang lain. Juga beliau tahu bahawa sahabatnya, Abdul Manan bin Mohamed Ali, waktu bersara daripada perkhidmatannya dengan pemerintah British dalam tahun 1937, telah berkata bahawa hasrat orang-orang Melayu ingin melancarkan sebuah suratkhabarnya sendiri akan terkubur kerana kekurangan sokongan dana.
Tun Yusof kemudiannya meminta sahabat-sahabatnya itu agar memberi beliau tempoh dua hari bagi beliau memikirkan rancangan tersebut. Beliau tahu bahawa tentang soal dana tidaklah begitu sulit lagi. Hanya yang menjadi soal ialah mencari seorang pengarang; dan pengarang yang handal pada masa itu ialah Haji Abdul Rahim bin Salim (atau Haji Abdul Rahim Kajai) yang bekerja di Warta Malaya.
Ke-esokan paginya, Tun Yusof berhubung dengan Haji Abdul Rahim dan menceritakan padanya rancangan mereka, lalu meminta Haji Abdul Rahim bersatu dengan mereka. Akhirnya Haji Abdul Rahim bersetuju dan mereka pun berjabat tangan.
Hari itu juga Tun Yusof berjumpa dengan sahabat-sahabatnya yang lain dan memberitahu mereka bahawa beliau telah sanggup memimpin syarikat itu. Janji Haji Abdul Rahim pada beliau telah menyebabkan beliau mencapai keputusan tersebut. Sudah tentu tidak siapa pun tahu akan perjanjian sulit mereka berdua itu sehingga beberapa waktu yang lama kemudian.
Justeru, mereka pun mulalah meletakkan serba sedikit wang masing-masing membawa jumlah $4 000. Syarikat yang dinamakan Utusan Melayu Press Limited pun didaftarkan dan memorandum serta syarat-syarat persekutuan pun dikeluarkan pada 15 Jun 1938.
Namun demikian, mereka masih kekurangan kira-kira $8 500 untuk memenuhi modal $12 500 dan mereka hanya mempunyai masa selama 3 hari lagi - itulah had waktu yang mereka harus mendapat modal sekurang-kurangnya sebanyak yang tersebut, kerana jika tidak, pendaftaran mereka akan dibatalkan oleh pemerintah.
Kerana terharu saat melihat Tun Yusof menitiskan air mata memikirkan kekurangan dana itu, maka Daud dan Haji Ambo Sooloh dengan segala susah payah mereka berdua telah berikhtiar mendapatkan dana yang mencukupi dan ke-esokan harinya mereka memberi Yusof Ishak $8 500 sambil berkata, "Kerana kenangkan awak, Yusof..".
Maka yang demikian, dipilihlah beberapa orang untuk menjadi pengarah bersekutu syarikat Utusan Melayu Press Limited. Mereka ialah:-
[1] Daud bin Mohamed Shah
[2] Haji Ambo Sooloh bin Omar
[3] Haji Abdul Hamid bin Mohamad @ Haji Abdul Hamid Palembang
[4] Tengku Abdul Kadir bin Tengku Mohamed
[5] Haji Ismail bin Mohamed Taib
[6] Haji Ambo Abdul Ghani bin Omar
[7] Abdul Jalil bin Harun @ Endut
[8] Tun Yusof bin Ishak
Tidak lama kemudian syarikat Utusan Melayu Press Limited pun mengutus Tun Yusof ke Hong Kong bagi membentuk huruf-huruf Melayu bagi suratkhabar mereka.
Kembalinya beliau ke Singapura dalam Februari 1939, beberapa jentera cetak yang telah mereka pesan daripada England telah sampai dan mereka pun menyewa sebuah bangunan di 64 Queen Street.
Pada masa yang sama, Ishak bin Mohamad, Zainal Abidin bin Alias (Za’ba) dan Mohamad bin Samawi telah membuat janji kepada Tun Yusof bahawa mereka akan menyertai syarikat Utusan Melayu Press Limited. Selain daripada itu, kira-kira dua puluh orang pengatur huruf dari Warta Malaya juga telah berjanji akan bekerjasama dengan Tun Yusof.
Maka pada 29 Mei 1939, buat kali yang pertama di dalam sejarah Tanah Melayu, sebuah syarikat dan suratkhabar harian Melayu telah berjaya dilancarkan.
Imam Haji Abbas bin Mohamed Taha (Ketua Kadhi Singapura ke-2) telah memimpin majlis ‘doa selamat’ pada majlis pelancaran syarikat suratkhabar Melayu pertama - Utusan Melayu.
Pada tahun 1959, syarikat Utusan Melayu Press Limited telah berpindah operasinya ke Kuala Lumpur dan suratkhabar Utusan Melayu kemudiannya diubah namanya menjadi Utusan Malaysia pada 1 September 1967.
Pada 9 Oktober 2019, setelah 80 tahun menghiasi persada persurat-khabaran di nusantara, akhirnya Utusan Malaysia menghentikan operasinya.
***
📸 Foto ihsan:-
Utusan Melayu
No comments:
Post a Comment