Sunday 4 January 2015

Hamzah Fansuri

Satu Aspek Dari Sumbangan Hamzah Fansuri Dalam Persuratan Melayu
oleh Muhammad 'Uthman El- Muhammady

Pendahuluan Tulisan ini bertujuan untuk menumpukan perhatian kepada satu aspek sumbangan Syaikh Hamzah Fansuri yang terkenal dan agung dalam dunia melayu - semoga Allah memberi rahmat kepadanya - yaitu aspek berkenaan dengan gambarannya tentang hubungan insan dengan Tuhannya. Ini akan dilakukan dengan menumpukan perhatian kepada koleksi puisinya, terutamanya sebagaimana yang dicatitkan dalam karya mutakhir yang sangat mendalam dan penting oleh Dr Abdul Hadi W.M. berjudul “Tasawuf Yang Tertindas, Kajian Hermeneutik terhadap Karya-Karya Hamzah Fansuri”, yang berdasarkan kepada tesis Ph.D. beliau (Penerbit Paramadina, Jakarta, 2001). Buku yang pertama membicarakan kaedah hermeneutic dan ta’wil dalam pemahaman Hamzah secara meluas dan dalam buku ini banyak sekali diterangkan kedudukan yang sebenarnya tentang pemikiran Hamzah berkenaan dengan agama. Penulis mengambil sikap ini dengan memahami bahawa kajian ini memanfaatkan kajian-kajian sebelumnya seperti yang dilakukan oleh Drewes, Brakel, Syed Naguib Al-Attas, dan Ali Hasym, dan Haji Muhammad Bukhari Lubis, juga Md Salleh Yaapar, juga penulis ini menyedari tentang kajian Haji Wan Mohd Saghir, antara lainnya.(1)

Penulis ingin melihat bagaimana Syaikh Hamzah mengulas tajuk yang penting ini dalam konteks tradisi kerohanian Ahlis-Sunnah wal-jamaah, yang merupakan aliran mahzab pegangan Islam di rantau ini, walaupun terdapat kecenderungan menganggap bahawa aliran yang dibawanya bukan aliran Sunni.

Hubungan antara insan dan Tuhan boleh digarapkan dengan kita melihat gubahan puisinya yang berbicara berkenaan dengan soal-soal fahaman, amalan-amalan kerohanian, akhlak atau nilai-nilai moral-spiritual, serta lambang-lambang yang digunakan olehnya yang mengungkapkan hubungan itu, sebagaimana yang akan dilihat nanti pada tulisan seterusnya.

Nuru al-Din al-Raniri menyerang ajaran Hamzah dan menganggapnya zindik. Antara tuduhan-tuduhan pokoknya ialah:

Beliau dituduhkan mempunyai fahaman alam adalah Tuhan, dan ini kekufuran.

Para sufi yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bersifat demikian berada dalam keadaan mabuk kerohanian (walhal Hamzah bukan demikian).

Golongan ulama sufiah yang wujudiah itu percaya bahawa masuknya mereka dalam keadaan demikian membebaskan mereka daripada Syariat.

Dalam hal ini mereka yang berpegang kepada wujudiah itu tersilap, kerana semua Muslimin wajib melakukan amalan-amalan yang wajib dalam semua keadaan.

Mereka yang terus menerus dalam perjalanan kufur demikian dan yang tidak mempedulikan amaran-amaran (pihak yang berwajib) mesti dibunuh dan dibakar. (29).

Abdul Hadi W.M. merumuskan penentangan itu dalam beberapa perkara:

Hamzah fansuri sesat kerana berpendapat alam, manusia dan Tuhan sama sahaja.

Faham wujudiah Hamzah Fansuri sama sahaja dengan panteisme kerana dia melihat Tuhan sepenuhnya immanen (‘tasybih’), padahal Tuhan transenden (‘tanzih’).

Hamzah Fansuri dan Syamsu al-Din Pasai sama seperti golongan falsafah melihat Qur’an itu makhluk.

Hamzah Fansuri percaya bahawa alam itu qadim atau abadi.

Dituduh bahawa Hamzah mengemukakan kata-kata ‘syatahiyyat’ seperti al-hallaj dan Bayazid dalam keadaan mabuk, tapi Hamzah bukan demikian. (30).

Pada penulis ini nampaknya tuduhan-tuduhan itu timbul daripada silap faham tentang puisi dan tulisan Hamzah, antaranya kerana tidak meneliti dengan cermat isi kandungannya yang sebenarnya, dan kerana tidak mengambil kira penafsiran ta’wil sebagaimana sewajarnya.

Kalau Hamzah menyebut tentang orang arif memandang alam dan manusia sebagai cermin kepada sifat-sifat Tuhan, maka itu adalah pengalaman kerohanian mereka, itu bukan aqidah. Tentang aqidah jelas bahawa Hamzah melihat Tuhan lain, manusia lain, alam lain. Ini boleh dirujuk kepada kenyataan-kenyataannya tentang perkara tersebut.

Tuduhan beliau itu berpegang kepada panteisme, itu juga tidak tepat, kerana panteisme adalah faham serba-Tuhan, juzuk-juzuk alam adalah Tuhan, dan difaham sebagai falsafah, walhal itu bukan dimaksudkan oleh Hamzah. (30a) Hamzah menerima Qur’an sebagai Kalam Ilahi, daripada KalamNya. Mungkin dalam hal ini tuduhan sesat terhadap ibn ‘Arabi boleh dipandang sebagai fenomena yang berkenaan, apa lagi bila dilihat bahawa Hamzah memang sangat terpengaruh dengannya. Sikap kita dalam hubungan dengan syaikh-syaikh sufiah–Allah memberi rahmat kepada mereka—kalau nampaknya ada apa-apa yang bercanggah dengan ilmu zahir, ada beberapa kemungkinan yang kita boleh faham daripadanya. (31)

Kita tidak anggapkan pendapat yang dinisbahkan salah pada mereka sebagai tepat, melainkan sehingga ditetapkan dengan teguhnya bahawa itu memang benar-benar daripada mereka dan bukan salah faham pihak yang menentang terhadap mereka.

Selepas dibuktikan secara autentik dan sahih bahawa itu daripada mereka, maka kita anggap itu ada maksudnya yang bersifat isyari atau yang memerlukan kepada ta’wilan; kalau tidak maka patutlah seseorang itu membuat kenyataan: Mungkin ia ada mempunyai maksud simbolis bagi mereka yang mempunyai ilmu kerohanian, dan para ‘arifin yang mempunyai ma’rifat terhadap Allah. Mungkin kenyataan-kenyataan itu datang daripada mereka dalam keadaan ‘mabuk kerohanian’ dan orang yang berada dalam keadaan demikian - selama dalam keadaan itu - ia tidak diambil salah oleh Syariat.

Selepas daripada memerhatikan kemungkinan-kemungkinan ini dan mengambil kira tentangnya, kalau seseorang itu masih lagi mempunyai pandangan yang jahat terhadap mereka yang berkenaan, maka alamatnya orang yang demikian akan binasa rohaninya. Allahumma sallimna. Antara para ulama yang mempunyai pendirian yang baik dan tinggi terhadap ibn ‘Arabi rd ialah mereka seperti: Al-Suyuti dan apa yang dilaporkannya dari al-Munawi, yang disuarakan oleh al-Safadi tentang beliau orang agung, kata-katanya paling baik, apa-apa yang sulit kita memahaminya kita serahkan kepada Allah.

Al-Qari dalam fatwanya tentang Ibn ‘Arabi mengakui bahawa jalan yang paling selamat dalam agama berkenaan dengan peribadi seperti ibn ‘Arabi ialah kita diam, kerana ulama berlainan pendapat tentangnya.