Friday 6 October 2017

Merampas kembali Tradisi

Masagos cabar madrasah S'pura supaya 'rampas kembali tradisi' lahirkan cendekiawan Islam Nusantara

7/10/2017 2:15Oleh: MUHAMMAD FARIS ALFIQ MOHD AFANDI


SINGAPURA: Madrasah-madrasah Singapura dicabar supaya "merampas kembali tradisi" melahirkan golongan cendekiawan agama Islam, yang menjadi "pelita masyarakat".

Pelita dalam erti kata bukan sahaja menjadi penyuluh bidang keagamaan bagi Singapura, tetapi juga bagi negara-negara rantau ini.

"Hanya dengan cara itu, madrasah-madrasah Singapura akan menjadi institusi yang disegani."

Cabaran tersebut disuarakan Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Masagos Zulkifli, semasa berucap di Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-80 Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah, di Fairmont Hotel pada Jumaat (6 Okt).


CONTOH ULAMA PELITA MASYARAKAT

Encik Masagos kemudian memberikan contoh beberapa ulama dan tokoh yang pernah dihasilkan madrasah tempatan dan menjadi pelita masyarakat nusantara, iaitu Prof Dr Hj Awang Mahmud, Ustaz Syed Abdillah Al-Jufri dan Mu’allim Kamil Suhaimi.

(Almarhum Ustaz Syed Abdillah. Gambar: Facebook)

Prof Dr Hj Awang Mahmud, seorang warga Brunei, merupakan pelajar Madrasah Aljunied di Singapura antara tahun 1955-1961. Beliau akhirnya menjadi pakar kehakiman dan perundangan Islam, bukan sahaja di Brunei, tetapi juga bagi rantau ini.

Ustaz Syed Abdillah, juga seorang lulusan Madrasah Aljunied, menjadi ulama dan pendakwah terkenal yang "membuat sumbangan-sumbangan penting melalui Jawatankuasa Fatwa", kata Encik Masagos. Mu'allim Kamil Suhaimi pula merupakan salah seorang tokoh Madrasah Al-Maarif yang meninggalkan pusaka ilmu dalam bentuk dokumen dan buku.

"Mereka semua adalah pelita di zaman kita yang lalu," ujar Encik Masagos di hadapan 1,000 bekas pelajar, tenaga pengajar Madrasah Al-Maarif dan golongan agamawan di majlis itu. Beliau menambah, ulama dan tokoh Islam tersebut adalah pelita kerana mereka merupakan "ulama yang peduli pada masyarakat" dan melibatkan diri dalam kehidupan masyarakat.

(Para hadirin Majlis Makan Malam Ulangtahun ke-80 Madrasah al-Maarif. Gambar: BERITAMediacorp/ Ummu Rabbisyfina)

MASAGOS KRITIK ‘ULAMA INTERNET’

Golongan pelita sedemikian jelas Encik Masagos lagi, memimpin dengan penuh rahmah dan "bukan setakat penghukum".

Encik Masagos kemudian mempersoalkan kemunculan golongan 'ulama internet' yang cepat menghukum:

"Siapakah pelita masyarakat di Singapura sekarang? Apakah kerana belum jelas pelita masyarakat tersebut hingga terlahir ulama-ulama di internet yang muncul secara mendadak bak cendawan selepas hujan – yang cepat menghukum satu sama lain dengan ilmu ‘cut and paste’?

"Atau anak-anak madrasah yang baru keluar universiti yang tidak segan-silu menyalahkan guru sesepuh mereka hingga mencelarukan fikiran agama masyarakat?"

Mengalihkan perhatian beliau kepada Madrasah Al-Maarif, Encik Masagos berkata beliau gembira dengan visi madrasah tersebut. Iaitu, mahu melahirkan umat Islam yang kukuh jati diri dan relevan dengan peredaran zaman, serta toleran terhadap masyarakat sekeliling.

(Para pelajar Madrasah Al-Maarif. Gambar: MUIS)

Beliau seterusnya mengajak Madrasah Al-Maarif agar terus menyesuaikan program pendidikannya supaya menyajikan mata pelajaran yang kontemporari dan menggunakan pedagogi yang terkini.

Semua usaha tersebut tambah Encik Masagos lagi, memerlukan perancangan rapi dan sokongan masyarakat.

"Madrasah Al-Maarif dan madrasah-madrasah kita yang lain, akan terus melahirkan golongan ulama dan karyawan Islam yang mempunyai asas kukuh dalam kededua bidang ukhrawi dan akademik, peka akan budaya dan adat setempat, luas ufuk pemikirannya, dan dalam sifat empatinya, memberi sumbangan kepada kemaslahatan bersama dan kebaikan kemanusiaan sejagat.

"Moga madrasah Singapura melahirkan agamawan pelita masyarakat nusantara yang kita harapkan," kata Encik Masagos menggulung ucapannya. 

- BERITAMediacorp/fa

No comments:

Post a Comment