Friday 26 October 2018

Mufti tidak boleh cari jalan selamat Beri kebebasan kepada rakyat untuk memilih parti disukai

Mufti tidak boleh cari jalan selamat

Beri kebebasan kepada rakyat untuk memilih parti disukai


SAYA agak terkejut apabila ada seorang mufti begitu aktif dalam laman sosial hatta sampai ke tahap PRU yang sudah semakin hampir. Jika komennya neutral tidak mengapa juga, tetapi sehingga mahu menentukan parti tertentu yang seharusnya dipilih, seperti parti bunga raya, saya fikir, ini sudah melampaui ciri-ciri kemuftian.

Mufti ini seolah-olah mahukan kita menerima parti tertentu dan menolak parti tertentu. Saya fikir ini bukan tugas mufti.

Mufti sepatutnya neutral bukan mahu menjadikan dirinya relevan untuk semua parti politik, dan membolehkan dia melompat ke parti yang memerintah nanti.

Mufti tersebut ingin mencari jalan selamat jika ditakdirkan kerajaan bertukar. Besar kemungkinan, beliau tidak akan dipecat apabila kerajaan bertukar.

Sudah menjadi kebiasaan, apabila kerajaan bertukar, maka mereka akan mencari orang baharu yang dapat menggantikan kedudukan orang lama yang dikatakan pro kerajaan lama.

Di sini lah kebangangan yang kerap berlaku dalam politik Malaysia hari ini. Mereka tidak melihat kepada kepakaran atau kebolehan melakukan kerja. Yang dilihat adalah mereka ini orang aku atau bukan. Jika bukan, bekukan mereka. Tukar dengan pegawai yang pro mereka.

Saya fikir mereka yang oportunis tidak selayak memegang jawatan yang begitu penting kepada sesebuah negara. Saya tidak mempunyai masalah dengan mana-mana mufti, tetapi mencari jalan selamat tersebut sepatutnya tidak berlaku kepada mufti.

Saya amat yakin apabila kerajaan berubah, jika ditakdirkan, semua mufti akan ditukarkan kecuali satu sahaja mufti yang akan kekal dan tidak mustahil dilantik sebagai mufti besar atau menteri agama, iaitu mufti yang terlalu aktif dalam laman sosial, sehingga saya tertanya-tanya apakah tugas mufti ini sebenarnya? Apakah setiap hari mengaktifkan media sosialnya.

Sebab itu, saya mohon, mufti tersebut tidak terlalu pro mengambil sikap menyelamatkan diri kerana ia menjadi terlalu hodoh untuk orang jahil seperti saya melihat perkara tersebut.

Mufti tidak sepatutnya bercakap dalam semua perkara, terutama melibatkan politik kepartian. Saya bukanlah selayaknya untuk memberikan komen terhadap mufti. Tetapi sebagai rakyat saya mempunyai tanggungjawab terhadap mufti.

Saya boleh bersetuju dengan beberapa pendapat bahawa mufti tidak sepatutnya terlalu aktif dengan dengan blog, FB, twitter dan whatsAppnya. Begitu juga menulis puisi dan menulis lagu. Mufti adalah seorang yang diberikan mandat oleh Sultan atau Raja sebagai pemegang fatwa sesebuah negeri atau negara.

Pendek kata, tugas mufti amat berat selepas sultan, termasuk menulis fatwa, menyimpan dan membatalkan fatwa. Mufti sebenar setaraf dengan hakim. Seperti semua sedia maklum, hakim tidak boleh hidup seperti rakyat biasa seperti ke pasar, berjumpa orang ramai sewenang-wenangnya dan banyak lagi. Dia mesti menjaga adab sebagai sebagai seorang hakim. Begitu juga dengan mufti.

Tidak ramai yang mengetahui sifat seorang mufti. Kata-kata mufti itu mengikat rakyat seperti saya. Melebihi kitab-kitab lama karangan para ulama terdahulu. Misalnya, jika ada ulama mengatakan bermain gitar itu haram, manakala pendapat mufti itu kata harus, maka leburlah pendapat ulama terdahulu. Demikianlah tingginya darjat seorang mufti.

Dalam kata lain, mufti bukanlah hanya seorang pendakwah, tetapi lebih tinggi daripada itu seorang pendukung. Tugasnya bukan menegakkan agama, tetapi memelihara agama. Tidak sepatutnya seseorang mufti sama cara hidup nya seperti rakyat jelata yang lain, apatah lagi untuk berpuisi, berblog, bertwitter dan aktif sepanjang hari berwhatsApp dengan rakan-rakan separti dan sejawatan.

Menurut Engku Ahmad Zaki Engku Alwi (2008), mufti adalah tokoh terpenting dalam hierarki masyarakat dan kerajaan Islam. Mufti memikul amanah cukup berat lagi getir dalam memimpin umat manusia amnya dan umat Islam khususnya ke arah kebajikan dan kesejahteraan sejagat. Bahkan mufti adalah satu jawatan yang diberikan kepada seorang alim yang berkelayakan dan berkemampuan serta mempunyai kepakaran dalam pelbagai disiplin ilmu Islam. Akan tetapi tidak semua orang alim itu layak menjadi mufti dan sebaliknya seorang mufti adalah seorang ulama berkewibawaan.

Mufti juga mendapat kedudukan istimewa di sisi undang-undang di samping mendapat pengiktirafan daripada Islam sebagai jawatan yang bertanggungjawab penuh dalam misi penjelasan terhadap isu keagamaan serta mengajak seluruh umat Islam agar kembali kepada al-Quran dan hadis sebagai wadah kesejahteraan ummah.

Justeru, mufti tidaklah perlulah menyerang parti-parti politik yang tidak sebulu dengannya. Cukup cakap secara umum sahaja. Jika mufti mahu juga bercakap mengenai PRU14 maka tegurlah perkara yang lebih besar yang tidak bersifat partisan.

Misalnya, perbelanjaan atau pembaziran kempen pilihan raya sehingga menelan belanja berbilion ringgit. Tidakkah lebih baik wang tersebut digunakan untuk membantu mereka yang memerlukan seperti fakir dan miskin, ibu tunggal serta mereka yang berada dalam persimpangan antara hidup dan mati seperti kanak kanak di Syria yang dibunuh kejam oleh regim Bashar.

Saya tidak boleh bayangkan berapa puluh juta mungkin mencecah bilion wang yang terpaksa digunakan bagi tujuan kempen PRU14 ini. Bayangkan duit tersebut digunakan untuk membantu si fakir dan si miskin, berapa ramai dalam kalangan mereka boleh dikeluarkan daripada kemiskinan.

Semua sudah sedia maklum, rakyat sudah membuat pilihan parti masing-masing yang mahu diundi. Apatah lagi PRU14 hanya ada tiga parti besar yang bertanding. Pertama, BN, PAS, PKR (PH) dalam konteks Semenanjung. Mungkin sedikit berbeza di Sabah dan Sarawak.

Jadi, berpada-padalah apabila berkempen. Perang poster yang keterlaluan hanya satu pembaziran yang tidak sepatutnya berlaku tatkala rakyat sudah menetapkan pilihan parti yang akan diundi.

Mufti patut tampil membuka minda masyarakat, bukannya turut terlibat meminta rakyat menolak parti-parti tertentu. Ini bukan mufti namanya.

Negara telah menetapkan sistem demokrasi sebagai asas pemerintahan, bermakna rakyat adalah raja kepada sistem ini. Berilah mereka kebebasan untuk memilih bila tiba pilihan raya. Tidak perlulah seorang mufti tampil ke hadapan untuk mendogmakan rakyat.

Bila perkara ini berlaku, nampak sangat hodohnya wajah seorang yang bergelar mufti. Bertindaklah secara neutral.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

No comments:

Post a Comment