Monday 8 August 2016

Menyapu Muka Selepas Berdoa

Menyapu Muka Selepas Berdoa

Seminggu yang lepas seorang rakan ada sms bertanyakan aku tentang hukum menyapu muka setelah selesai bersholat dan berdoa. Katanya ada seorang eksekutif kat tempat kerjanya telah menegur perbuatannya. Menurut dia lagi, eksekutif (protaz lah tu gamak nyer!!!!) tu mengatakan perbuatannya bid’ah dan tiada hadits yang shohih mendokongnya. Allahu … Allah … ramainya mufti diakhir zaman ni. Tak cukup ker lagi dengan 13 mufti di Malaysia ni?

Yang nak aku sentuh kesempatan yang ini adalah mengenai menyapu muka setelah selesai berdoa sahaja, yang satu lagi lain kesempatan atau boleh rujuk kat blog Sidi AbuMuhd. Sejak kecil aku diajar tentang adab berdoa antaranya adalah menyapu tangan kemuka setelah habis doa.

Didalam al-Azkar karangan Imam Nawawi رحمه الله تعالى pada bab adab-adab ketika berdoa, beliau berkata: “Dan telah berkata Abu Hamid al-Ghazali didalam ihya, ada berdoa itu ada sepuluh. …….. Yang ketiga: menghadap qiblat, dan mengangkat kedua belah tangan dan menyapu keduanya kemuka pada akhir doa (setelah habis berdoa) …”

Seterusnya didalam kitab Fathul Muin: “Dan (disunatkan waktu berdoa itu) mengangkatkan kedua tangan yang suci keduanya sampai sejajar dengan dua bahu, dan disunatkan menyapu muka dengan kedua tangan itu selepas berdoa …”

Didalam Hasyiah al-Baijuri: “Dan tidaklah disunatkan menyapu muka setelah selesai berdoa didalam sholat [contohnya umpama selesai doa qunut] bahkan terlebih aula meninggalkannya. Bersalahan dengan ketika diluar sholat, maka disunatkan menyapu muka ……”

Seterusnya mengenai hadits yang dikatakan dhoif itu, ulama telah mengatakan bahawa walaupun ia dhoif tetapi ia mempunyai syawahid. Hadits ini boleh ditemui didalam kitab Bulughul Maram min Adillatil Ahkam oleh al-Hafiz Shaikh Ibn Hajar al-Asqolani, sebagaimana berikut:

عن عمر رضي الله عنه قال: كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا مد يديه في الدعاء لم يردهما حتى يسمح بهما وجهه – أخرجه الترمذي وله شواهد منها حديث ابن عباس رضي الله عنهما عند ابي داود وغيره، ومجموعها يقضي بأنه حديث حسن.

“Diriwayatkan daripada seorang shahabat Nabi yang bernama Sayyidina Umar رضي الله عنه katanya: Adalah Rasulullah صلى الله عليه وسلم apabila menadah tangannya masa berdoa, baginda tiada mengembalikan tangan itu hingga menyapu dengan tangannya ke mukanya.” (Dikeluarkan oleh at-Tirmidzi, baginya saksi daripadanya hadits Ibn Abbas رضي الله عنهما di sisi Abu Daud, dengan kumpulnya itu semua memberi putusan bahawa hadits ini hasan)

Lihat bagaimana komen al-Hafidz Ibn Hajar, yang digelar sebagai Amirul Mu’minin fil Hadits. Manakala Imam as-Son’ani ketika memberi komentar didalam kitabnya Subulus Salam Syarh Bulughul Maram, terhadap kata-kata al-Hafidz Ibn Hajar :

وفيه دليل على مشروعية مسح الوجه باليدين بعد الفراغ من الدعاء

Maksudnya: “Dan padanya (hadits tersebut) menjadi dalil atas disyariatkan menyapu wajah/muka dengan kedua tangan setelah selesai berdoa”

Memang benar hadits tersebut lemah kerana diantara rawinya terdapat seorang yang dipandang lemah oleh ahli hadits iaitu Hammad bin Isa al-Juhani, namun kerana terdapat banyak syawahid atau penguatnya maka ianya naik menjadi hadits hasan lighairih. Antaranya hadits riwayat al-Hakim, Abu Daud dan Ibnu Majah.

إذاسألتم الله فأسئلوه ببطون اكفكم ولا تسألوه يظهرها وامسحوابها وجوهكم

Maksudnya: “Apabila kalian memohon kepada Allah (berdoa), maka mohonlah dengan bahagian dalam tapak tangan kalian dan jangan kalian memohon dengan bahagian belakangnya. Dan sapulah dengannya (tapak tangan) muka kalian."

Diantara hikmah mengapa disapu tangan kemuka, maka Imam as-Son’ani berkata: “Ada ulama yang berkata bahawa hikmahnya adalah kerana kedua tangan yang diangkat ketika berdoa itu tidak kosong dari rahmat Allah. Maka wajarlah kalau kedua tangan yang penuh dengan rahmat Allah itu disapukan terlebih dahulu ke wajahnya sebelum diturunkan, kerana wajah itu di anggap sebagai anggota tubuh manusia yang paling mulia dan paling terhormat.”

Tak hairanlah kalau golongan tersebut mendhoifkan hadits bersangkutan masalah ini kerana depa bertaqlid kepada Tok Guru Hadits depa al-Albani. Tapi kalau kalau mahu tahu lebih jelas tentang-hadits berkenaan dengan masalah ini maka rujuklah kepada ulama-ulama kita yang jelas sanad ilmunya seperti tulisan Shaikh Mahmud Sa’id Mamduh bertajuk at-Ta’rif bi Auhami man Qassmas Sunan ila Shohih wa dhoif, jilid 4. Beliau telah menolak dakwaan-dakwaan al-Albani dalam mendhoifkan beberapa hadits yang berkaitan dengan masalah diatas.

Dan aku nak ingatkan lagi bahwasanya menurut Imam Nawawi, adalah harus beramal dengan hadits dhoif dalam hal-hal fadhoilul ‘amal, targhib wa tarhib selagimana bukan hadits maudhu’.

Akhirkalam, ….maka janganlah cepat melatah untuk mengatakan sesuatu amalan yang dibuat itu bid’ah, sesat dan apa saja, selidiki dulu secara saksama, rujuklah dahulu karangan para ulama kita yang mu’tabar, bertanyalah kepada ulama yang benar susur galur ilmunya, jangan main meng’khinzir’buta saja menjatuhkan hukum atau membid’ahkan sesuatu amalan….

Janganlah meremehkan ulama', janganlah mengelirukan masyarakat awam. Jadilah dengan ilmu yang ada pada kita demi untuk mencari keredhaan Allah semata-mata jangan disertai dengan niat-niat lain yang merosakkannya.

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : " من طلب علما مما يبتغى به وجه الله ليباهي به العلماء أو ليماري به السفهاء ، أو ليصرف به وجوه الناس إليه لقي الله وهو عليه غضبان "(حديث صحيح . رواه الترمذي ، وابن أبي الدنيا ، والحاكم ، والبيهقي ، وابن ماجه ، وابن حبان)

Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم: “Siapa yang menuntut suatu ilmu yang dimaksudkan untuk memperoleh keredhaan Allah Ta’ala, lalu ia menggunakan ilmu itu untuk mendebat para ulama atau mengangkat diri atas orang-orang bodoh atau untuk menarik minat orang kepadanya, nescaya ia akan menemui Allah kelak di Hari Qiamat sedang Allah sangat murka terhadapnya”.(Hadits riwayat: at-Tirmidzi, Ibn Abi Dunya, al-Hakim, al-Baihaqi, Ibn Majah dan Ibn Hibban) - والله أعلم

اَلَّلهُمَّ انْفَعْنَا بِمَا عَلَّمْتَنَا وَعَلِّمْنَا مَا يَنْفَعُنَا وَزِدْنَا عِلْمًا وَالحَمْدُ للهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ وَ نَعُوْذُ بِاللهِ مَنْ أَحْوَالِ أَهْلِ النَّارِ

ABU ZAHRAH FANSURI

http://al-fanshuri.blogspot.com/

Dimasukkan oleh Ar Ruzaini Al Marbawi pada 12:06 PM

Hal Ehwal ADAB SOPAN, DOA, SOLAT

__________________

Menyapu Muka Selepas Berdoa

October 22, 2009 by abidfana

Dalam sebuah majlis kenduri doa selamat minggu lepas, saya ditanya mengenai hukum menyapu muka selepas berdoa. Saya rasa yang bertanya kepada saya itu mungkin mengajukan soalan tersebut kepada saya selepas melihat saya menyapu muka saya dan juga memegang tangan anak saya lalu menyapukannya ke mukanya selepas doa.

Jawapan saya hanya ringkas, iaitu ianya termasuk dalam perkara khilaf. Kebetulan saya sendiri tidaklah ingat semua dalilnya, maklumlah manusia akhir zaman, mudah lupa. Ada juga memberi jawapan, tetapi jawapannya itu merujuk kepada persoalan menyapu muka selepas solat. Selepas solat, terserahlah kepada kita nak sapu di mana-mana pun kerana ianya di luar solat. Ada pandangan dalam mazhab Shafie turut menyatakan sunat menyapu di dahi dengan menggunakan tangan kanan (seperti dalam hadith Anas di dalam kitab al-Azkar), dan tidak dinafikan kebanyakan riwayat tidak melaporkan apa yang nabi buat sejurus selepas salam.

Berbalik kepada persoalan hukum menyapu muka selepas berdoa, perkara ini menjadi khilaf rentetan hadith Saidina Umar yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi:

أنَّ النبي صلى الله عليه وسلم كان إذا رَفَعَ يديه لا يردُّهما حتى يمسح بهما وجهَهُ

Sesungguhnya nabi SAW sekiranya mengangkat tangannya (untuk berdoa), baginda tidak akan meletakkan tangannya ke bawah kembali melainkan selepas disapu mukanya.

Menurut Syeikh ‘Uthaimin dan Syeikh al-Albani, hadith ini adalah da’if dan juga hadith-hadith penguat lain kepada hadith ini juga adalah da’if. Justeru, Ibn Taimiyyah menyatakan yang tidak perlu menyapu muka selepas berdoa, kerana berdoa itu ialah ibadah, dan ibadah memerlukan dalil yang sahih.

Akan tetapi, Ibn Hajar di dalam kitab Bulugh al-Maram dan juga Imam al-Son’ani di dalam Subul al-Salam menyatakan yang hadith ini diterima sebagai hadith hasan kerana banyak hadith-hadith saksi penguat yang lain, seperti hadith riwayat Ibn Abbas di dalam Sunan Abu Daud dan juga beberapa kitab hadith yang lain. Justeru, disunatkan untuk menyapu muka selepas berdoa.

Kesimpulannya bagi muslim, anda boleh memilih mana-mana pandangan sama ada menyapu muka atau tidak menyapu muka selepas berdoa, kerana perkara ini termasuk di dalam khilaf ulama’.

No comments:

Post a Comment