Sunday 28 April 2019

Gabenor Bank Negara: Mahathir Lantik Ali Abul Hassan Bukan Zeti

Gabenor Bank Negara: Mahathir Lantik Ali Abul Hassan Bukan Zeti


Dakwaan Tun Mahathir Mohamad bahawa beliau tidak pernah menukar dan campur tangan dalam pelantikan Gabenor Bank Negara adalah satu pembohongan. Malah kenyataan beliau bahawa langkah membenarkan Perdana Menteri melantik gabenor Bank Negara akan menyebabkan bank pusat tersebut tidak lagi bebas merupakan satu kenyataan nyanyuk.

Dalam temu bual dengan Bloomberg yang dipetik oleh Malaysiakini.com, Mahathir dilaporkan berkata hanya Yang di-Pertuan Agong boleh melantik gabenor Bank Negara atas nasihat Perdana Menteri.

Apakah ini bukan campur tangan politik? Jika pentadbiran kerajaan tidak boleh campur tangan dalam Bank Negara Malaysia siapa yang menentukan polisi kewangan negara, Kerajaan atau Bank Negara secara terasing?

Menurut Mahathir lagi, pada hari beliau mahu melaksanakan kawalan mata wang, gabenor bank pusat dan timbalannya, ketika itu menyerahkan surat peletakan jawatan mereka.

“Oleh itu, saya tidak mempunyai pilihan tetapi untuk melantik orang ‘ketiga’, iaitu (Tan Sri) Zeti Akhtar Aziz untuk menjalankan tugas sebagai gabenor.

Mungkin Mahathir lupa bahawa pada 1998 selepas beberapa ketika Tan Sri Zeti Akhtar menjadi Pemangku Gabenor Bank Negara, beliau membawa masuk sekutu kuatnya, Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman, sebagai Gabenor Bank Negara pada 1998 sehingga 2000. Zeti hanya dilantik sebagai Timbalan sahaja.

Mahathir mungkin boleh membohongi sebahagian generasi muda yang malas membaca dan buta politik.

Kita tidak menyatakan keputusan Mahathir salah atau tidak baik kepada negara.

Sudah tentu kerajaan perlu campur tangan dalam pelantikan Gabenor Bank Negara kerana ia termaktub dalam Perlembagaan bahawa Yang Di Pertuan Agong melantik Gabenor Bank Negara atas nasihat Perdana Menteri.

Yang kita kesalkan ialah Mahathir secara terang-terangan memberi maklumat yang salah kepada rakyat. Hanya orang terdekat dengan beliau boleh memberitahu kita apakah beliau seorang pembohong atau sudah “pelupa”.

Apa yang kita mahu tunjukkan ialah dakwaan bahawa kerajaan MAHATHIR tidak campur tangan dalam urusan Bank Negara adalah satu pembohongan terang-terangan.

Catatan

Memang benar Tan Sri Ahmad Mohamed Don dan timbalannya, Datuk Fong Weng Phak meletak jawatan mulai 1 September 1998. Sehari kemudian Timnbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat.

Tapi bukankah aneh perletakan jawatan serentak dua orang kanan Bank Negara ini berlaku pada hari yang sama kerajaan melaksanakan kawalan modal dan matawang? Bukankah ini jelas campur tangan kerajaan dalam Bank Pusat yang Mahathir cuba nafikan?

Mahathir kata beliau tidak memecat Gabenor dan Timbalan Gabenor Bank Negara. Jadi mengapakah mereka meletak jawatan pada hari kerajaan mahu Bank Negara melaksanakan kawalan modal?

Pada zaman Mahathir adalah perkara biasa kita melihat pemegang jawatan besar meletak jawatan secara tiba-tiba apabila tidak mengikut kehendak Mahathir.

Mahathir tidak perlu memecat kerana politik “ugutan dan buka fail” sudah cukup menakutkan ramai orang berundur kecuali Tun Salleh Abbas, Anwar Ibrahim, Tan Sri Azmi Kamaruddin, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdoolcadeer, Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh, Tan Sri George Seah dan Tan Sri Hamzah Mohamed Salleh.

Mereka ini tidak tunduk kepada politik Mahathir dan Mahathir tiada pilihan terpaksa memecat. Enam Hakim kanan dipecat menggunakan tribunal, manakala Timbalan beliau dipecat menggunakan kuasa dan Majlis Tertinggi UMNO.

Pelantikan Gabenor Bank Negara dan Politik

Adalah sangat melucukan apabila Mahathir menyatakan beliau tidak masuk campur dalam pelantikan Gabenor bank Negara.

Mahathir tidak terus meminta perkenan Yang Dipertuan Agong melantik Penolong Gabenor, Datuk Dr. Zeti Akhtar Aziz Gabenor Bank Negara. Sebaliknya beliau hanya memohon perkenan melantik sebagai pemangku bank Negara.

Beliau mencari seseorang “junior” yang boleh mengikut kehendak beliau di Bank Negara. Dengan melantik Zeti sebagai pemangku beliau memberi isyarat bahawa jika arahan dan keputusan beliau tidak dipatuhi, jawatan tersebut belum tentu milik Zeti.

Dalam temuramah hari juga Mahathir berkata, “Oleh itu, saya tidak mempunyai pilihan tetapi untuk melantik orang ‘ketiga’, iaitu (Tan Sri) Zeti Akhtar Aziz untuk menjalankan tugas sebagai gabenor. Dan selepas itu, saya buat cadangan supaya beliau jadi gabenor. Saya tidak pecat mana-mana gabenor.”

Apakah Mahathir lupa bahawa beliau tidak melantik Zeti sebagai Gabenor?Sebaliknya, pada tahun tersebut beliau membawa masuk sekutu rapat Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman sebagai Gabenor Bank Negara pada 1998 sehingga 2000, manakala Zeti dilantik sebagai Timbalan sahaja.

Jadi di mana fakta bahawa Mahathir tidak masuk campur dalam urusan Bank Negara? Bukankah pelantikan Ali Abul Hassan ini sangat kontroversi kerana setahun sebelum itu Mahathir memebebaskan beliau dari tangkapan Badan Pencegah Rasuah (BPR) kerana memiliki wang tunai sebanyak RM 100 ribu tanpa sumber yang sah?

Pelantikan Ali Abul Hassan sebagai Gabenor Bank Negara jelas sekali kroni Mahathir. Dan hari ini Mahathir ingin menimbulkan persepsi bahawa tindakan Kerajaan tidak menyambung kontrak Gabenor Bank Negara merupakan satu campur tangan kerajaan dalam Bank Pusat yang mustahil berlaku pada zamannya?

Oh Tun Mahathir, anda mudah lupa atau sengaja menipu fakta? Cukup-cukuplah memusnahkan legasi sendiri. Anak-anak Tun Mahathir, selamatkanlah maruah negarawan kita ini. Anda sahaja yang mampu melakukan.-MYKMU.NET

No comments:

Post a Comment