Wednesday 8 August 2018

Daim, Rafidah bersikap plastik - Rahman

Daim, Rafidah bersikap plastik - Rahman

Oleh Siti Azila Alias dan Veena Babulal

cnews@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Veteran UMNO seperti Tan Sri Rafidah Aziz, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Tun Daim Zainuddin wajar bertanya sendiri kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, jika benar mereka mahu bercakap mengenai rasuah dan salah guna kuasa.

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata ini kerana bekas Perdana Menteri itu pernah dilabel sebagai perasuah terbesar negara oleh rakan mereka sendiri dalam pembangkang.

"Kalau Rafidah, Rais dan Daim mahu bicara rasuah dan salah guna kuasa, jangan takut tanya Mahathir yang dilabel perasuah terbesar Malaysia oleh kawan mereka dalam pembangkang.

"Barulah ada kredibiliti dan legitimasi hujah mereka mahu jadi juara anti rasuah!," katanya menerusi akaun Twitternya, hari ini.

Rahman berkata, Rafidah, Rais dan Daim sendiri juga adalah sebahagian daripada legasi sistem kroni kapitalis Dr Mahathir yang didakwa Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng sebagai sistem rasuah sistematik ciptaan Dr Mahathir.

"Rafidah; Rais dan Daim adalah sebahagian daripada legasi sistem kroni kapitalis Mahathir, sistem yang dituduh oleh Anwar, Kit Siang dan Guan Eng sebagai sistem rasuah sistematik berpuluh billion ringgit ciptaan Mahathir.

"Maaf, mereka tiada kredibiliti dan legitimasi bicara tentang rasuah!," katanya.

Abdul Rahman turut menyindir Rafidah dan Daim dengan melabelkan mereka sebagai plastik kerana tindakan yang beria-ria mahu memperjuangkan antirasuah bersama pembangkang, sedangkan diri sendiri pernah terpalit tuduhan rasuah oleh pembangkang berpuluh tahun lamanya.

"Berpuluh tahun, Rafidah dan Daim sendiri terpalit dengan tuduhan rasuah oleh pembangkang. Takkan sekarang dengan mudah mahu jadi juara anti rasuah? Nampak sangat "keplastikan" mereka.

"Bila Rafidah dan Daim berbicara tentang rasuah, terasa geli mendengarnya. Lebih geli bila Dr Mahathir duduk tersenyum di atas pentas yang sama. #plastik," katanya.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini memaklumkan, UMNO menggugurkan keahlian Rafidah dan Daim susulan sokongan mereka terhadap pembangkang dan mengeluarkan kenyataan menghentam parti.

Bagaimanapun, keahlian Rais yang kerap mengkritik kerajaan pula masih belum digugurkan dan di peringkat perbincangan untuk tindakan selanjutnya.

No comments:

Post a Comment