Saturday 4 August 2018

Masih ramai yang sayang Umno: Annuar

POLITIK

Masih ramai yang sayang Umno: Annuar

RAZIATUL HANUM A.RAJAK

4 OGOS 2018

Annuar Musa

A- A+ (Ubah saiz teks)

KLANG - Umno masih berdiri teguh kerana banyak tangan yang menghulurkan bantuan meskipun kuasa parti Melayu itu rebah, Mei lalu.

Setiausaha Agong Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata selepas tewas PRU14, pihaknya tidak menyangka sokongan itu masih ada.

Malah katanya ketika memutuskan untuk bertanding di Pilihan Raya Kecil Dun Sungai Kandis, bantuan datang dari pelbagai sudut termasuk daripada Pas.

“Waktu saya bincang dengan Tok Mat Hasan (Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan), biarlah tak ada orang pun, biarlah tak ada penyokong pun, biarlah hilang deposit pun masuk (pilihan raya) tetap kita masuk.

“Tapi rupa-rupanya bila kita masuk (pilihan raya), kawan-kawan dalam Pas datang tolong. Duduk sekejap, orang lain datang, ‘akaun BN tak ada duit...kami dulu kaya kerana Umno, saya bagi sedikit’. Ada saja orang nak menderma.

“Rupanya ramai lagi orang sayang pada Umno. Walaupun Dr Mahathir (Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) 'cekik' kita, Umno...ramai orang Melayu di luar sana tampil untuk membantu Umno,” katanya.

Menurutnya, apa pun keputusan di ketiga-tiga pilihan raya kecil termasuk di Balakong dan Seri Setia, Umno tetap berjuang menentang PH.

“Mungkin kita tak menang di Sungai Kandis kerana yang pening belum pulih, ada yang belum sedar sepenuhnya lagi,” katanya.

Beliau melihat kemungkinan ‘hukuman’ diberikan ALLAH pada PRU14 lalu akibat kealpaan pimpinan dan ahli Umno sendiri.

“Mungkin ALLAH tengok kita tamak, lupa, banyak kelemahan, tak pandai nak baiki diri, mungkin ada yang tidak amanah, rasuah, tak jaga rakyat maka Tuhan jadikan begini (kalah) supaya Umno sedar, kita baiki diri.

“Apa pun, perjuangan untuk orang Melayu, Islam wajib kita teruskan,” katanya.

Menyentuh soal kerjasama tidak rasmi antara Pas dan Umno di PRK Dun Sg Kandis dan Seri Setia, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata perpaduan ummah perlu dikembalikan semula.

“Anggaplah PRK ini permulaan kepada kebangkitan orang Melayu, umat Islam, rakyat Malaysia keseluruhannya. Ambillah pilihanraya ini untuk umat Islam kembali bersatu padu.

“Baik Umno, baik Pas letak tepi sentimen lama-lama. Kita kena mulakan semula penyatuan, perpaduan ummah. Ada yang bimbang kita bersama Pas.

“Tapi kalau kita kembali kepada Islam, inilah (penyatuan) yang kita perlu lakukan. Janganlah kita berpecah belah,” katanya.
 

No comments:

Post a Comment