Monday 11 March 2019

Perang Najib-Mat Sabu

Perang Najib-Mat Sabu

Syarikat Singapura setuju beli Hotel Royale Chulan RM198 juta


 admin  11/03/2019


BANGI, 4 Rejab 1440H, Isnin – Datuk Seri Najib Razak menyifatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sudah terperangkap dengan pendedahan beliau mengenai penjualan Hotel Royale Chulan kepada syarikat Singapura dengan harga yang murah.

Hotel berkenaan yang terletak di kawasan segi tiga emas di Kuala Lumpur, dimiliki syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings, dijual kepada syarikat Singapura dengan harga RM197 juta.

Awal Mac lalu, bekas perdana menteri itu mendedahkan mengenai penjualan hotel berkenaan, tetapi Setiausaha Akhbar Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, Amin Shah Iskandar mengatakan Najib menyebar berita palsu mengenai perkara itu.

Amin berkata, Najib gagal memahami proses membabitkan penjualan Hotel Royale Chulan Bukit Bintang, seperti yang diumumkan kepada Bursa Saham Malaysia pada 19 Februari lalu.

“Pemilik hotel, Boustead Holdings Bhd, belum memutuskan perjanjian untuk menjual hotel itu. Apa yang dilakukan ialah pengumuman kepada Bursa Malaysia pada 19 Februari oleh Boustead ialah hasratnya untuk menjual hotel berkenaan,” kata Amin dalam satu kenyataan akhbar disiarkan New Straits Times.

Tetapi, Najib kemudian mendedahkan dokumen daripada Bursa Saham Singapura di mana syarikat dari negara berkenaan mengesahkan mereka memperoleh kelulusan untuk membeli Hotel Royale Chulan daripada bursa saham itu.

“Mereka juga mengesahkan hotel 4 bintang 400 bilik ini terletak di atas tanah hak milik kekal dengan lokasi yang amat strategik di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur.

“Syarikat Singapura ini juga puas hati dengan harga pembelian kerana saya percaya harga RM450,000 satu bilik ini adalah rendah jika dibandingkan dengan penjualan hotel 4 bintang lain di Kuala Lumpur.

“Ada hotel-hotel lain yang terletak di jalan yang sama yang pernah dijual pada harga dua kali ganda lebih tinggi beberapa tahun yang lepas ini,” kata Ahli Parlimen Pekan itu.

Najib juga berkata, syarikat Singapura berkenaan turut mengesahkan bahawa wang deposit sudah pun dibayar kepada Boustead.

“Takkan syarikat Singapura ini mahu menipu Bursa Saham Singapura pulak? Betul atau tidak, Mat Sabu?,” katanya sambil meletak link Bursa Singapura dalam kiriman di Facebook beliau, bagi mengelak dituduh menyebar berita palsu.

Bagaimanapun, hari ini pihak Mohamad Sabu atau lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu tidak mahu mengalah berhubung isu penjualan hotel berkenaan, apabila Amin sekali lagi mendakwa bekas perdana menteri tidak memahami mengenai pengumuman Boustead kepada Bursa Malaysia walaupun penjelasan demi penjelasan telah diberikan.

Menyatakan bahawa Najib terlalu lama hidup dalam ‘kayangan’, Amin dipetik media hari ini sebagai berkata:

“Bekas perdana menteri dan menteri kewangan Najib Razak masih lagi bising mengenai isu penjualan Hotel Royal Chulan Bukit Bintang milik syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings walaupun penjelasan demi penjelasan sudah diberikan.

“Najib yang sedang berdepan dengan pelbagai tuduhan rasuah semasa menjadi perdana menteri dan menteri kewangan itu berhujah “deposit” sudah pun dibayar oleh syarikat milik Singapura itu.

“Mungkin disebabkan terlalu lama hidup “dalam kayangan”, Najib tidak mengetahui bahawa membayar deposit bukan bermakna sesuatu urusan jual beli itu selesai. Wang deposit masih boleh dikembalikan sekiranya sesuatu urusniaga itu tidak jadi atau terbatal.”

Menjawab kenyataan itu, Najib berkata, apabila beliau membuktikan wang deposit RM3.94 juta telah diterima oleh pihak Boustead, pihak Mat Sabu menjawab bahawa deposit berkenaan masih boleh dikembalikan jika sesuatu urus niaga tidak diteruskan atau terbatal.

Katanya, apabila beliau mendedahkan pengumuman pembeli dari Singapura mengenai pembelian hotel ini telah dibuat dan diluluskan oleh Bursa Saham Singapura, pihak Mat Sabu menjawab bahawa pengumuman kepada bursa saham adalah perkara biasa bagi sesebuah syarikat untuk memaklumkan kepada pemegang saham mengenai aktiviti mereka.

“Alangkah banyaknya masa dan wang kerajaan PH dan syarikat Singapura ini untuk dibazirkan bagi mengupah peguam, membuat perjanjian, membayar deposit, mengumum kepada Bursa Saham, jika langsung tidak ada niat untuk menjual hotel ini pada harga murah kepada syarikat Singapura.

“Kerajaan PH suka membuat kerja sia-sia main-main jual harta beratus juta ke? Maka terbukti sahihlah segala yang saya dedahkan sebelum ini. Lepas tu, mereka kata saya hidup dalam kayangan pulak. Sehingga kini, penjualan ini masih diteruskan dan tidak dibatal. Jika dibatalkan nanti pun, agaknya mereka akan batal atau tidak kalau saya tidak mendedahkan isu ini?,” kata Najib.

No comments:

Post a Comment