Sunday 16 August 2015

MENGENAL KAUM MUDA

Didalam Fatwa Mufti Kerajaan Johor yang telah difatwakan oleh Allahyarham al-‘Allamah Dato’ Sayyid Alwi bin Thahir al-Haddad, Mufti Kerajaan Johor 1936 – 1961M = 1356 – 1381H, dikumpul dan diterbitkan oleh Bahagian Penerbitan Jabatan Agama Johor, halaman 397 – 399:

PERKARA: MENGENAL KAUM MUDA –WAHHABI-DAN MUSUH-MUSUH ISLAM.

Soalan:

Bagaimanakah dapat kenal atau ketahui alamat-alamat kaum muda (wahhabi) itu? Adakah kaum muda itu terjumlah dalam golongan Islam?

Jawab:

Jawab Soalan Pertama:
Yang dikatakan Kaum Muda (Wahhabi) pada pertuturan orang-orang zaman ini (zaman beliau) ialah suatu kumpulan orang-orang yang tiada mengerti dan faham tentang Islam, mereka bersungguh-sungguh hendak menghampir dan menyatukan agama Islam kepada agama lain. Apa jua perkara yang terbit daripada agama Kristian atau Majusi, mana yang dipandang mereka molek dan elok pada zhohirnya berkehendaklah mereka memalingkan hukum-hukum Islam kepadanya seperti berkata setengah mereka itu (wahhabi): Babi itu suatu binatang yang suci, dan berkata setengah yang lain pula; Tiada sah ruju’ dengan tiada redha perempuan, dan berkata yang lain pula; Nabi Allah ‘Isa عليه السلام berbapa seperti perkataan orang-orang Yahudi.”

Setengah dari alamat (ciri-ciri) mereka itu (wahhabi):

Mereka marahkan Imam-Imam Mazhab yang empat dan ulama’ fiqh, mereka mengaku mengetahui al-Quran dan al-Hadits Nabawi.

Mereka membangkang ijma’, menyebarkan masalah khilaf di antara umat-umat Islam supaya menambah porak peranda umat-umat Islam sebagai mana disukai oleh seteru-seteru Islam.

Apabila mereka melihat orang-orang Islam tiada menyentuh al-Quran melainkan kemudian daripada mengambil air sembahyang, mereka (wahhabi) berkata; Harus menyentuh al-Quran dengan tiada air sembahyang.

Apabila mereka melihat orang Islam tiada membaca al-Quran melainkan kemudian daripada bersuci daripada hadats besar, mereka (wahhabi) berkata; Harus membaca al-Quran kalau ada hadats besar sekalipun.

Apabila mereka melihat orang-orang Islam menjauhkan diri daripada najis seperti arak dan babi, mereka berkata ; Kedua-dua perkara itu suci. Mereka mencita-cita (bercita-cita) supaya orang Islam menjadi seperti orang Majusi. Mereka berlumur dengan lemak babi dan mencurahkan arak kepada bajunya kemudian sembahyang.

Setengah mereka itu sepanjang hari memain (bermain) kemaluannya atau menyentuh kemaluan isterinya beberapa kali kemudian boleh dia sembahyang (‘la za’mihim) dengan tiada mengambil air sembahyang.
Lagi demikian jua kalau ia membuat rantai leher daripada daging babi atau memakai kulit babi yang basah kemudian pergi sembahyang, nescaya sah sembahyang disisi mereka.

Kalau mereka bergelumbang dalam reban ayam atau kandang kambing atau lembu dan jadi baunya sebusuk-busuk manusia, kemudian ia sembahyang sah juga sembahyang disisi mereka.

Dan setengah dari ‘alamat mereka itu (wahhabi), mereka bersungguh mengamat-amati dan mengambil susah dalam perkara yang kecil-kecil seperti talqin, tahlil dan seumpamanya dan tiada menghiraukan perkara-perkara yang besar-besar seperti dosa-dosa besar yang telah membiak setengah daripadanya berzina, riba, was-was sangka pada Allah dan mengajar kanak-kanak Islam agama yang bukan Agama Islam. Perkara ini semua tiada disebut (dititik beratkan oleh wahhabi)dan tiada dihiraukannya.

Dan setengah daripada ‘alamat mereka itu, mereka berseteru dan merekakan masalah-masalah fiqh yang tiada padanya khilaf, barangsiapa menyalahi akan mereka itu pada satu daripada masalah-masalah fiqah seperti suatu hukum daripada hukum-hukum sembahyang atau sujud sahwi atau tayammum atau sunnah talqin, nescaya mereka jadikan orang itu seteru, terus diingkarkannya.
Semuanya ini ialah adat orang-orang khawarij (orang-orang yang benci akan Sayyidina ‘Ali karramahu wajhah) dan ‘adat ahlul bid’ah yang menyalahi puak-puak Islam kerana sahabat-sahabat Nabi صلى الله عليه وسلم, al-Tabi’in, mereka yang kemudian daripada Imam-imam mazhab yang empat dan sekalian ‘ulama’ mazhab, mereka bersalah-salahan (berselisihan pendapat) pada beberapa masalah dalam masalah fiqah (furu’ fiqhiyyah) tetapi mereka tiada berseteru diantara setengah dengan setengahnya dengan sebab bersalah-salahan ambilnya itu kerana bukannya bersalahan itu pada usul (asal masalah) bahkan pada furu’ (cawangan-cawangan) sahaja. …….

Syaikh Hasan Ma’shum Mufti Kerajaan Deli yang nama lengkapnya ialah Hasanuddin bin Muhammad Ma’shum bin Abi Bakar ad-Dali (Deli). Namun lebih dikenali dengan Syaikh Hasan Ma’shum. Asal keturunan dari Acheh kemudian berpindah ke Deli. Lahir di Labuhan Deli, Sumatera Utara pada tahun 1300H/1882M dan wafat di Medan pada 24 Syawal 1355H/7 Januari 1937M. Ayah dan datuknya juga merupakan ulama. Seorang pembela kaum tua ketika berlaku pertembungan pendapat antara kaum tua dan kaum muda. Antara kitab yang beliau tulis untuk menyanggah pendapat kaum muda adalah Al-Quthufat as-Saniyah fi Raddi Ba’dhi Kalam al-Fawaid al-‘Aliyah [kitab ini mendapat pujian dari gurunya Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau dan Syeikh Abdul Qadir Shabir al-Mandaili], Beberapa Masail [untuk menangkis 19 perkara yang dilemparkan oleh Kaum Muda @ Wahabi yang dianggap bidaah oleh mereka iaitu antaranya tentang melafazkan ‘Usalli’, membaca talkin, mengaji (membaca al-Quran) di kubur,berdiri ketika marhaban, mempercayai ulama, lafaz ‘Saidina’ dalam shalawat, qadha sembahyang, mengangkat tangan ketika qunut, ziarah makam Nabi صلى الله عليه وسلم , membaca al-Quran untuk orang mati, fidyah sembahyang, ziarah kubur dan lain-lain lagi. Kitab ini dicetak pada tahun 1929 (cetakan kedua)]

Jelas bahawa ulama-ulama diatas menolak fahaman/ajaran yang dibawa oleh kaum muda atau Wahabi. Jika kita terima ajaran Wahhabi, maknanya kita tolak fatwa ulama-ulama kita yang dahulu-dahulu yang terkenal mereka itu dengan ke’aliman dalam pelbagai cabang ilmu, kewarakan dan ketaqwaannya.

Kata al-Marhum Tuan Guru Syaikh Wan Muhammad Shaghir bin Wan Abdullah:

“Ada orang jadi masyhur namanya kerana mempertahankan sesuatu pegangan yang diamalkan oleh orang ramai. Tidak dinafikan juga bahawa seseorang jadi masyhur kerana membantah amalan orang lain. Seseorang yang mempertahankan pegangan, sama ada yang betul ataupun yang salah, ada yang terikat dengan adab-adab yang tertentu, tetapi tidak sedikit yang tiada beradab. – Walau bagaimana hebat pun seseorang memperoleh kemasyhuran sanjungan manusia, tetapi jika pemikiran, pekerjaan dan perbuatannya tiada diredhai Allah, dia bukanlah seorang yang bijak. Hakikatnya dialah orang yang paling bodoh”

Sekian Dari
~ Abu Zahrah ~

Nota:
Orang ramai (jama'ah)

No comments:

Post a Comment