Tuesday 16 July 2019

Biarlah Masuk Tanjung Rambutan Daripada Berbohong – Hamidah

Biarlah Masuk Tanjung Rambutan Daripada Berbohong – Hamidah


(Utusan)  – Bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Hamidah Osman rela dihantar ke Tanjung Rambutan daripada berbohong kepada rakyat.

Menurutnya, beliau tidak sanggup berbohong kepada rakyat dan menganiaya bangsa untuk kepentingan sendiri.

Katanya, beliau tidak mahu di hadapan rakyat cakap lain dan di belakang rakyat cakap lain kerana itu semua akan dijawab di akhirat nanti.

“Saya agak hairan kenapa setelah mengakui (Lim Kit Siang mencadangkan penubuhan Bersatu) Tun Mahathir mencadangkan supaya saya dan Datuk Seri Najib masuk Tanjung Rambutan?

“Namun saya berpendapat biarlah masuk Tanjung Rambutan daripada saya masuk ke neraka kerana berbohong kepada bangsa, agama dan negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hamidah membalas reaksi Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam agar beliau dihantar ke Tanjung Rambutan kerana mendakwa Bersatu ditubuhkan atas cadangan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Hamidah secara sinis mengucapkan terima kasih kepada Mahathir kerana akhirnya mengakui bahawa sememangnya Kit Siang ada mencadangkan penubuhan satu lagi parti melayu untuk menarik 10 peratus undi UMNO.

“Nampaknya bukan Melayu yang mudah lupa tetapi Kit Siang yang sudah lupa,” katanya.


Orang yang kata tu perlu ke Tanjung Rambutan - PM

PUTRAJAYA: “Orang yang kata tu perlu pergi ke Tanjung Rambutan,” demikian reaksi sinis Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung dakwaan kononnya penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dicadangkan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BERSATU mengulas dakwaan kononnya parti itu yang ditubuhkan tiga tahun lalu adalah hasil daripada cadangan Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri.

Dr Mahathir yakin tidak ada orang Melayu akan percaya dengan dakwaan sedemikian.

Beliau juga secara sinis berkata, bagi menubuhkan BERSATU, Kit Siang mengadakan mesyuarat dengan semua pemimpin Melayu berhubung cadangan untuk menubuhkan parti berkenaan.

“Lim Kit Siang adakan mesyuarat dengan semua pemimpin Melayu (untuk beritahu) adalah perlu pemimpin Melayu tubuh BERSATU... kalau awak nak percaya yang itu, awak boleh percaya,” kata Perdana Menteri secara sinis.

Beberapa hari lalu, bekas Naib Presiden BERSATU, Datuk Hamidah Osman mendakwa beliau adalah pemberi maklumat kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai cadangan Kit Siang untuk Dr Mahathir menubuhkan BERSATU.

Hamidah dilaporkan mendakwa beliau turut hadir dalam satu mesyuarat dipanggil oleh Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, ketika itu yang turut dihadiri beberapa pemimpin lain selepas gerakan Deklarasi Rakyat dilihat gagal membuahkan sebarang impak.

Dr Mahathir pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, hari ini. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

No comments:

Post a Comment