Saturday 13 July 2019

JAWAPAN KEPADA SEMUA PENGKRITIK SAYA (1)

TUN ABDUL HAMID MOHAMAD

Former Chief Justice of Malaysia


JAWAPAN KEPADA SEMUA PENGKRITIK SAYA


JAWAPAN KEPADA SEMUA PENGKRITIK SAYA

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

  

 

Apabila saya memulakan laman web saya, atas cadangan dan bantuan seorang kawan, niat saya adalah untuk memuatkan ucapan dan kertas kerja saya yang disampaikan atau ditulis semasa saya berkhidmat sebagai hakim supaya orang lain dapat membacanya. Kesemuanya adalah mengenai undang-undang.

Dalam tempoh beberapa tahun pertama persaraan saya, akibat penglibatan saya dalam bidang tersebut, saya mula menulis dan bercakap mengenai aspek undang-undang perbankan dan kewangan Islam. Selain itu, saya sering mendapat jemputan untuk berucap mengenai subjek seperti integriti, rasuah dan lain-lain.

Semuanya dimuat naik di laman web saya. Bilangan pelawat terus meningkat, di luar jangkaan saya. Saya kerap menerima e-mel daripada pembaca, tetapi tidak ada yang mengkritik.

Pada awal Mac 2014, saya dijemput oleh sekumpulan NGO Melayu / Islam yang diketuai oleh Dato’ Ibrahim Ali, yang menentang pemansuhan Akta Hasutan 1948 dan kelulusan apa yang dikenali sebagai Bil Harmoni, untuk mengetuai sebuah jawatankuasa bagi menyediakan memorandum untuk dikemukakan kepada Dato’ Seri Najib, Perdana Menteri BN pada masa itu.

Saya berbahas sendirian sama ada hendak menerimanya atau tidak, kerana apabila saya dilihat duduk disamping Dato’ Ibrahim Ali, Presiden Perkasa itu pun sudah cukup untuk menarik kritikan daripada kumpulan bukan Melayu yang memperjuangkan pemansuhan Akta Hasutan dan menjadikan bil Harmony sebagai undang-undang.

Saya memutuskan untuk menerimany atas syarat saya, yang saya nyatakan di mesyuarat pertama pada 14 Mac 2014, iaitu:

1. Tugas saya hanya untuk membantu jawatankuasa itu mengenai aspek undang-undang dan perlembagaan dalam merangka memorandum. Saya mungkin atau tidak bersetuju dengan beberapa bahagian memorandum tersebut. Isi kandungannya akan diputuskan oleh konvensyen NGO-NGO yang akan diadakan.

2. NGO-NGO tersebut tidak boleh melanggar undang-undang dalam tindakan mereka. Selain itu, tindakan mereka mestilah tidak bertentangan dengan akhlaq umat Islam dan adab orang Melayu.

Walaupun kedudukan saya hanya sebagai penasihat, bukan seorang aktivis, saya tahu bahawa saya akan dituduh terlibat dalam politik, lebih-lebih lagi dengan kumpulan “ultra-ekstremis Melayu” oleh kumpulan bertentangan. Sebaliknya, Majlis Peguam yang secara terbuka bukan sahaja memperjuangkan pemansuhan Akta Hasutan, malah menggubal rang undang-undang Harmony tidak dilihat sebagai terlibat dalam aktiviti “politik”, atau adakah ia dikecualikan?

Bagaimanapun, saya berhujah bahawa saya telah bersara, memetik Dr Zhivago,”I am the people too´ (“Saya juga rakyat”) dan, setelah pemecatannya, Tun Salleh Abas, bertanding dalam pilihan raya, mula-mula sebagai calon PKR, kemudian sebagai calon PAS dan menjadi Ahli Exco di Terengganu, tiada siapa berkata apa-apa. Saya tidak menyertai mana-mana parti politik atau bertanding dalam pilihan raya sebagai calon mana-mana parti, mengapa patut menjadi suatu isu?

Tetapi, seperti dijangka, saya ditanya oleh seorang wartawan (Cina) sama ada wajar bagi saya, bekas KHN untuk terlibat dalam penggubalan memorandum itu. Kita dapat lihat berapa cepatnya mereka mencari kesalahan kita apabila apa yang kita lakukan mungkin mengancam kepentingan mereka.

Pada 22 April 2014, saya menulis rencana “Perpecahan Melayu Punca Tuntutan Melampau Bukan Melayu” dari Bilik Cempaka, Hospital Kuala Lumpur. Itu adalah rencana politik pertama saya tetapi kedudukan saya adalah jelas: saya hanya mempertahankan hak-hak orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak serta kedudukan Islam seperti yang telah dipersetujui oleh kesemua kaum dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang sedang dicabar, terutama sekali oleh orang Cina yang telah berkumpul di belakang DAP untuk mencapai matlamat mereka. Rencana itu diterbitkan oleh Utusan Malaysia dan telah tular di kalangan orang Melayu. Saya menerima banyak mesej tahniah menerusi e-mel saya.

Momentum bantahan terhadap pemansuhan Akta Hasutan dan kelulusan bil Harmony sebagai undang-undang semakin kuat. Saya telah dilihat sebagai penentang kuat usaha untuk memansuhkan Akta Hasutan dan kelulusan bil Harmony itu.

Pada 29 Jun 2014 saya menulis rencana “Pembangkang, Majlis Peguam dan Comango “Merampas” MPKN (NUCC)”. Rencana itu diterbitkan oleh Utusan Malaysia pada 2 Julai 2014 di bawah tajuk “Saya tidak mahu jadi pengkhianat”.

Ketika menulis rencana itu, saya terkeliru antara Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) atau dalam bahasa Inggerisnya NUCC dengan Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian di Antara Penganut Agama (JKMPKA) yang juga berada di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN). Saya telah ditawarkan pengerusi JKMPKA yang saya tolak. Walau bagaimanapun, dalam rencana itu, saya tersilap menaip “MKPN” yang sepatutny “JKMPKA”.

Saya tidak dapat mencari rencana yang disiarkan oleh Malaysiakini sekarang kecuali satu baris “1 Julai 2014 – – ‘To helm unity panel will make me Malay traitor’. (‘Untuk memimpin panel perpaduan akan menjadikan saya pengkhianat Melayu’.” Saya percaya itu adalah rencana berita berdasarkan rencana saya pada 29 Julai 2014.

No comments:

Post a Comment