Saturday 6 July 2019

Mahathir punca parti Melayu banyak, kata Najib

Mahathir punca parti Melayu banyak, kata Najib

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata, beliau akan membuat kenyataan rasmi berhubung pelawaan Dr Mahathir supaya parti Melayu menyertai PPBM selepas parti komponen PH memberi komen masing-masing.


KUALA LUMPUR: Dr Mahathir Mohamad merupakan punca menyebabkan banyak parti Melayu muncul, selain bersekongkol dengan parti lain sehingga membawa kepada perpecahan masyarakat itu, kata Najib Razak.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata demikian ketika mengulas pelawaan Mahathir supaya parti Melayu menyertai PPBM bagi menyatukan orang Melayu.

“Dia (Mahathir) yang tubuh parti tambahan dan dia bersekongkol dengan pihak lain,” kata Najib, dipercayai merujuk kepada jatuhnya kerajaan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini didominasi oleh orang Melayu dalam pilihan raya umum lepas.

Najib berkata demikian ketika ditanya sama ada Mahathir merupakan punca sebenar tertubuhnya lebih banyak parti Melayu dengan menubuhkan PPBM memandangkan Umno telah lama wujud

Bekas perdana menteri itu berkata, beliau akan membuat kenyataan rasmi berhubung pelawaan Mahathir itu selepas rakan komponen Pakatan Harapan (PH) pimpinan beliau memberi respons kepada kenyataan itu.

“Umno adalah parti terbesar, terkuat. Macam manapun, kita fikir elok tunggu dulu komen daripada rakan-rakan dia dalam PH; PKR, Amanah dan DAP. Kita akan komen secara rasmi lepas mereka komen dulu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Setiawangsa di sini, hari ini.

Semalam, Mahathir, yang juga pengerusi PPBM mempelawa semua parti politik, termasuk Umno, untuk menyertai partinya dalam usaha menyatupadukan serta memperkasakan kuasa politik orang Melayu.

Beliau berkata, orang Melayu hari ini berpecah kepada 6 parti dan kewujudan banyak parti politik Melayu menyebabkan potensi untuk menang pilihan raya semakin tipis.

“Enam, bukan lagi majoriti 60%, tetapi setiap parti 10% sahaja,” kata Mahathir.

Dalam ucapan perasmiannya itu, Najib juga berkata, Barisan Nasional (BN) dan PAS boleh membentuk kerajaan di Putrajaya jika Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat.

Katanya, rakyat sudah muak dengan kerajaan PH yang gagal membawa kebaikan dalam pentadbiran.

“Kalau besok Parlimen dibubarkan, BN dengan kerjasama PAS boleh tubuh kerajaan baru. Inilah antara senjata yang ampuh.

“Inilah perpaduan Melayu-Islam sejati yang akan menentukan masa depan. Kita tidak akan menganiaya rakyat,” katanya, selain menegaskan nasib kaum lain juga tidak akan dinafikan apabila Umno dan PAS bersatu.

No comments:

Post a Comment