Sunday 14 July 2019

JAWAPAN KEPADA SEMUA PENGKRITIK SAYA(3)

TUN ABDUL HAMID MOHAMAD

Former Chief Justice of Malaysia

JAWAPAN KEPADA SEMUA PENGKRITIK SAYA


JAWAPAN KEPADA SEMUA PENGKRITIK SAYA

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad


Pada hari berikutnya, 31 Julai 2014, ada seorang menulis dalam ruangan “Just my thoughts” (saya tidak tahu dalam blog mana), di bawah tajuk ““Not in Defence of Tun Hamid”. (“Bukan hendak membela Tun Hamid”). Walaupun beliau berkata beliau bukan bertujuan membela saya, daripada isi kandungan tulisannya, beliau sebenarnya membela saya. Beliau juga memetik seorang lain yang menafikan kritikan terhadap saya satu demi satu selain daripada memetik Perkasa. Untuk mengelakkan rencana ini menjadi terlalu panjang, saya akan tinggalkan petikan-petikannya itu:

“Bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad telah menyampaikan satu ucapan yang penuh dengan fakta yang sangat baik baru-baru ini yang mesti dibaca sepenuhnya oleh semua ahli politik Melayu / Bumiputra khususnya dan rakyat Malaysia amnya:

PEMANSUHAN PROKLAMASI DAN ORDINAN DARURAT, ISA DAN AKTA HASUTAN DAN PENGGANTIANNYA

Malangnya, ucapan Tun Abdul Hamid telah benar-benar diputarbelit oleh penyokong-penyokong yang sangat pro-DAP / Pakatan (dan) The Malaysian Insider yang cuba menyangkal ucapan yang disediakan oleh Tun Abdul Hamid dengan sangat baik itu, dengan retorik biasa mereka yang tidak mempunyai sebarang fakta:

Bahaya bekas hakim menjadikan pendapat sebagai fakta

Selepas membaca TMI, saya mendapati mereka bukan sahaja cuba menghentam Tun Abdul Hamid tetapi mereka juga cuba menghentam UMNO, Perkasa dan ISMA, mereka juga cuba menghentam badan kehakiman. Sekiranya TMI menginginkan tindak balas negatif mereka, mendapat apa yang mereka mahu dari suspek biasa seperti Ambigas, DAP Lims dan juga bekas Hakim Mahkamah Rayuan (sic) yang telah bersara.

Sebenarnya terdapat banyak ilmu yang bermanfaat untuk dikutip yang boleh didapati dalam ucapan Tun Abdul Hamid …. mengenai ISA, NUCC, Akta Hasutan draf Rang Undang-undang Harmoni dan lain-lain dia adalah Ketua Hakim Negara pada satu masa, pandangannya terhadap urusan semasa sangat berharga.
……….

Bagi orang-orang Malaysia yang mengulas secara negatif terhadap ucapan Tun Abdul Hamid, saya bertanya kepada mereka, adakah kamu baca atau tidak membaca ucapan beliau sepenuhnya atau adakah kamu hanya membaca tajuk utama TMI dan mula menilai tanpa mendapatkan fakta yang betul atau lengkap?” (Penekanan ditambah).

Sama ada pembaca bersetuju dengannya atau tidak, perhatikan bahasa yang digunanya dan bahasa pengkritik saya. Saya pasti pembaca akan dapat melihat perbezaannya. Itu adalah perbezaan didikan ibu bapa masing-masing.

Lima bulan kemudian, pada 18 Disember 2014, Lim Kit Siang, supremo DAP, menulis dalam blognya “Bagaimana seorang ekstremis dan prasangka kaum dan agama boleh naik menjadi Ketua Hakim Negara, hakim paling kanan negara?”

Beliau hanya bergantung sepenuhnya kepada apa yang dikatakan oleh Gopal Sri Ram dan membuat kesimpulan, “Hamid sepatutnya dibawa ke hadapan tribunal kehakiman kerana prasangka ekstremis, perkauman dan keagamaan dan tidak dibenarkan untuk dinaikkan pangkat kehakiman.”

Bayangkan jika beliau seorang Perdana Menteri. Apabila mendengar seorang membuat tuduhan terhadap seorang hakim, tanpa mendengar penjelasan hakim itu, beliau akan terus menghadapkannya ke tribunal kehakiman. Mungkin itulah rule of law beliau.

Peliknya, dua tahun kemudian, pada 10 September 2016, menulis dalam blognya, beliau memetik perenggan-perenggan berikut daripada rencana saya yang bertajuk “Pegawai Awam Sebagai Penyelamat Negara” (02 09 2016):

“Semenjak Merdeka, tidak ada satu tahun di mana kita menyambut hari kemerdekaan dalam keadaan negara seperti tahun ini, di mana pemimpin-pemimpin kerajaan menghadapi krisis integriti yang paling serius dan imej yang paling teruk. Sebabnya boleh disimpulkan dengan satu perkataan: rasuah.

Umumnya, pemimpin-pemimpin politik sudah tidak boleh hendak dihormati dan diteladani untuk tujuan yang baik lagi. Selain daripada mereka disorak (cheered) oleh penyokong-penyokong mereka yang berkepentingan, yang mengharapkan sesuatu habuan atau yang tidak tahu dan terikut-ikut, paling tinggi, mereka hanya ditolerated oleh pegawai-pegawai awam yang berkerja di bawah mereka dan tiada pilihan. Dalam keadaan itu, kita lihat, masa depan negara menurun dan menurun.”

(Sila ambil perhatian bahawa saya menulis rencana itu pada 2 September 2016, hampir dua tahun sebelum GE 14, ketika Najib masih berkuasa.)

Beliau meneruskan:

“Adakah ini ditulis oleh pemimpin politik dari DAP, PKR atau AMANAH dari Pakatan Harapan? Atau adakah oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir?

Bukan sesiapa yang tersebut di atas. Ia ditulis oleh bekas pegawai awam yang tertinggi, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad yang memegang jawatan hakim tertinggi di negara ini dari tahun 2007 hingga 2008.”

Apabila saya membaca rencana Lim Kit Siang itu, saya terkejut dan gembira kerana beliau juga melawat laman web saya. Walau bagaimanapun, beberapa soalan timbul di fikiran saya: Adakah beliau telah mengubah fikirannya tentang saya? Adakah beliau menyangka saya telah berubah? Adakah beliau lupa apa yang beliau dan anaknya berkata tentang saya? Jika saya seorang “pembohong” seperti yang dikatakan oleh anaknya dan saya sepatutnya telah dihadapkan ke tribunal, mengapa memetik kata-kata saya dengan persetujuan? Adakah saya hanya berbohong apabila saya berkata sesuatu yang berlawanan dengan kepentingan politiknya?

Pada hari berikutnya, Free Malaysia Today mengeluarkan laporan “LKS plaudit for ex-CJ’s corruption remarks”. (“LKS memuji kata-kata bekas KHN mengenai rasuah.”) Oleh sebab saya tidak ingat sama ada saya pernah menemui perkataan “plaudit” sebelum ini, saya terpaksa google untuk mengetahui maknanya. Inilah hasilnya: “ungkapan pujian atau persetujuan.”

Wartawan FMT itu, antara lain, menulis:

“PETALING JAYA: Seorang bekas Ketua Hakim Negara yang pernah dikecam oleh pemimpin DAP kerana mengeluarkan kata-kata yang kontroversial mengenai Islam dan masyarakat Cina, diberi layanan yang baik oleh supremo DAP Lim Kit Siang kerana mengajak supaya diambil tindakan dalam menghadapi krisis integriti di kalangan pemimpin kerajaan.

Menulis di blognya hari ini, Lim memetik dari rencana minggu lalu oleh Abdul Hamid Mohamad, Ketua Hakim Negara dari tahun 2007-2009 (sic), yang telah menyeru kepada penjawat kerajaan untuk menjadi penyelamat Malaysia.
……

Lim memuji seruan Abdul Hamid supaya penjawat awam menjadi penyelamat Malaysia melalui kempen kebangsaan untuk membuat ikrar awam: “Kami tidak akan terlibat dengan rasuah”, untuk memalukan pemimpin-pemimpin politik yang korup dalam kerajaan.
……

Kenyataan Lim yang memuji Abdul Hamid itu berbeza dengan serangan yang dilancarkan terhadap bekas ketua hakim negara itu oleh anak Lim, Guan Eng, yang merupakan setiausaha agung DAP dan P Ramasamy, timbalan pengerusi kebangsaan.”

Seolah-olah mengingatkan Lim, wartawan FMT itu memetik apa yang dikatakan oleh Lim Guan Eng dan Ramasamy mengenai saya dua tahun lebih awal.

Soalan: Adakah Free Malaysia Today kecewa dengan pendirian terbaru Lim Kit Sing?

No comments:

Post a Comment