Sunday 14 July 2019

JAWAPAN KEPADA SEMUA PENGKRITIK SAYA (2)

TUN ABDUL HAMID MOHAMAD

Former Chief Justice of Malaysia


JAWAPAN KEPADA SEMUA PENGKRITIK SAYA


JAWAPAN KEPADA SEMUA PENGKRITIK SAYA

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad


Pada 2 Julai 2014 Malaysiakini menerbitkan 16 ulasan terpilih daripada para pelanggannya di bawah judul “Yousay” diikuti dengan “Shocking that Abdul Hamid was chief justice”. (“Mengejutkan bahawa Abdul Hamid adalah ketua hakim negara”). Sama seperti tajuknya, semua mereka mengutuk saya dengan kasar dan mempersoalkan bagaimana seorang “bigot” (pelampau) seperti saya boleh menjadi hakim dan ketua hakim negara.

Untuk menjimatkan ruang, saya hanya memetik bahagian dari apa yang mereka katakan:

“closet bigot”
(pelampau (?))
“a fraud”
(seorang penipu)

“We can only lament such a defective mind could have led the judiciary.”
(Kita hanya boleh bayangkan fikran yang cacat seperti itu boleh mengetuai kehakiman.)

“cock-eyed judges like Abdul Hamid.”
(hakim bodoh seperti Abdul Hamid)

“Abdul Hamid is a traitor to the constitution and the rule of law”
(Abdul Hamid adalah pengkhianat perlembagaan dan keluhuran undang-undang)

“the man is a disgrace to the bench and the law.”
(dia mengaibkan mahkamah dan undang-undang)

“……bigots like Abdul Hamid around spouting their ridiculous ideas,”
(pelampau seperti Abdul Hamid meluahkan ideanya yang tak masuk akal)

Pada keesokan harinya, pada 3 Julai 2014, Malaysiakini sekali lagi menerbitkan pilihan 17 komen oleh para pelanggannya di bawah tajuk “Goodness gracious, and he was chief justice?” Komen mereka sama. Mereka menyerang saya secara peribadi.

Menyedari kesilapan saya itu, pada 8 Julai 2014, saya mengeluarkan pembetulan dan meminta maaf kerana kesilapan itu. Pembetulan itu adalah sekadar yang berkaitan dengan kekeliruan itu. Isi rencana itu adalah sama.

Walau bagaimanapun, pada keesokan harinya, 9 Julai 2019, Hornbill Unleash, mungkin bergantung kepada rencana asal oleh “Malaysian Insider,” melaporkan di bawah tajuk “Ex-chief justice was not truthful, he was not offered a place on unity council, says source”:

“Bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad (gambar) tidak bercakap benar apabila beliau berkata beliau menolak tawaran untuk menyertai Majlis Perundingan Perpaduan Negara kerana takut menjadi “pengkhianat” kepada orang Melayu dan Islam, kata sumber yang sudah biasa dengan isu ini.

“Sebenarnya, Abdul Hamid tidak pernah ditawarkan kedudukan dalam panel NUCC,” kata sumber kepada The Malaysian Insider.

“Beliau sebaliknya ditawarkan pengerusi Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian di Antara Penganut Agama (JKMPKA) di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi.”

Saya percaya “sumber” itu adalah salah seorang pegawai di jabatan itu. Apakah motifnya membocorkan maklumat kepada Malaysian Insider untuk melaporkannya, jika tidak untuk memburukkan saya kerana, pada masa itu, kedudukan NUCC pun sudah goyah?

Sebenarnya, saya bertanya sama ada jabatan berkenan boleh menyediakan kereta untuk membawa saya dari rumah saya untuk menghadiri mesyuarat dan menghantar saya kembali selepas mesyuarat kerana, disebabkan oleh keadaan kesihatan saya, saya tidak dapat memandu lagi dan saya tidak mempunyai seorang pemandu! Saya bukan meminta sebuah kereta dengan seorang pemandu. Lihatlah bagaimana ia diputarbelitkan.

Ya, saya bertanya mengenai elaun mesyuarat bukan hanya untuk diri saya tetapi untuk semua ahli jawatankuasa. Menteri dan jabatan itu mempunyai pegawai sepenuh masa yang dibayar gaji sepenuhnya untuk melakukan kerja jabatan. Sekarang mereka mahu kami membuat kerja itu untuk mereka. Mereka tidak boleh mengharapkan kami melakukannya secara percuma untuk mereka dan, akhirnya, mereka yang mendapat nama. Saya menyebut jumlah Kementerian Kewangan dan Bank Negara membayar kepada saya untuk mempengerusikan jawatankuasa mereka untuk maklumat mereka. Mengapa bocorkan maklumat itu jika tidak untuk memburukkan integriti saya?

Rencana itu 1,077 perkataan panjangnya. Saya membincang beberapa isu, memberikan hujah saya untuk menyokong pandangan saya. (Untuk mendapat gambaran yang lebih jelas tentang isu ini, saya minta pembaca supaya membaca rencana tersebut dan juga rencana-rencana dan ucapan-ucapan saya yang lainnya tentang isu ini, di laman web saya.) Tiada siapa yang menulis rencana yang serupa memberikan hujah balas untuk menyokong pandangannya. Sebaliknya, mereka mencaci saya dengan kata-kata yang amat kasar dan tidak beradab; menumpukan kepada kesilapan saya dalam menaip singkatan “MKPN” yang sepatutnya “JKMPKA” dan cuba membuat saya kelihatan tamakkan wang.

Ia menunjukkan bahawa tiada seorang pun di antara mereka yang membaca rencana saya, dalam Bahasa Melayu. Saya yakin mereka hanya bergantung kepada rencana berita dalam bahasa Inggeris yang ditulis oleh seseorang yang biasanya mengikuti apa yang saya tulis dan diterbitkan oleh salah satu media internet yang menerbitkan rencana berita serupa tentang saya.

Mengapa mereka tiba-tiba begitu marah dengan saya? Sebenarnya, pada masa itu, mereka sudah dapat merasakan kekuatan penentangan kami dan pengaruh rencana dan ucapan saya. Saya mesti dimalukan (discredited) dan dibungkam dengan apa cara juga pun. Ini adalah peluang terbaik bagi mereka melakukannya.

Ucapan saya di majlis iftar yang dianjurkan oleh Perkasa pada 21 Julai 2014 memburukkan lagi kritikan mereka terhadap saya. Tajuknya ialah “Mempertahankan Perlembagaan Sebagai Asas Perpaduan Negara.”

Saya memulakan ucapan saya seperti berikut:

“Semenanjung Tanah Melayu tetah dijajah daripada orang Melayu. Yang menentangnya, baik Dato Bahaman, Dato’ Sagor, Dato Maharaja Lela, Dol Said atau Tok Janggut, adalah orang Melayu. Yang menentang Malayan Union adalah orang Melayu. Yang berkorban nyawa menentang pengganas Kominis semasa darurat adalah orang Melayu. Yang menuntut kemerdekaan adalah orang Melayu. Orang bukan Melayu menyertai gerakan menuntut kemerdekaan apabila mereka melihat ianya akan menjadi kenyataan untuk menjaga kepentingan mereka. Pada masa itu pun tujuan mereka sudah berlainan.

Lojiknya, Semenanjung Tanah Melayu yang dijajah daripada orang Melayu hendaklah dipulangkan kepada orang Melayu. Tetapi tidak, orang Melayu diminta berkongsi kuasa yang akan diserah balik oleh penjajah British. Pada masa itu pun orang Melayu telah diminta mengorbankan hak mereka “untuk menjaga perpaduan”. Orang Melayu bersetuju, sehinggakan dalam PIlihan Raya Umum (PRU) 1955, untuk memberi lebih banyak representasi kepada orang bukan Melayu, kawasan-kawasan majoriti Melayu di berikan kepada calun-calun bukan Melayu untuk bertanding. Keadaan ini berterusan demi untuk memastikan kemenangan pemimpin-pemimpin utama bukan Melayu, sehinggalah PRU 12 apabila kemenangan UMNO sendiri dalam kawasan majority Melayu sudah tidak terjamin.”

Kemudian, saya memetik buku Professor Shad Saleem Farouqi “Document of Destiny: The Constitution of the Federation of Malaysia” di mana beliau berkata:

“Akibat “kontrak sosial” antara pelbagai kaum, berjuta-juta pendatang ke British Malaya telah diberikan kewarganegaraan oleh Perlembagaan Merdeka. Adalah dipercayai bahawa bilangan warganegara di Malaya meningkat dua kali ganda pada pertengahan tengah malam pada 31 Ogos 1957 disebabkan oleh pemberian perlembagaan.”

Kemudian, saya berkata:

“Rata-rata orang bukan Islam di Malaysia tidak senang dengan kedudukan agama Islam sebagai agama Perekutuan. Mereka mahu agama-agama mereka juga diberi kedudukan yang sama. Mengikut mantan Mufti Pulau Pinang, di Pulau Pinang telah berlaku satu peristiwa di mana di perasmian sebuah bangunan oleh Timbalan Ketua Menteri, do’a dibacakan oleh seorang Padri Kristian, seorang Sami Hindu dan Imam Masjid Negeri. Saya amat hairan mengapa Imam Besar pun turut menyertainya.”

Saya juga berkata, mengikut bekas Mufti itu sekarang semakin sukar bagi Majlis Agama Islam Negeri mendapat peruntukan kerana persatuan-persatuan agama-agama lain juga menuntutnya.

Pada 23 Julai 2014, Malaysia Today melaporkan Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang, menyerang saya dan memanggil saya “a racist, an extremist and a liar” (“seorang rasis, seorang pelampau dan seorang pembohong”.)

Pertama sekali, adakah beliau membaca keseluruhan ucapan saya sebelum menyerang saya? Sekarang, marilah kita lihat kemarahannya secara rasional. Saya telah menyatakan satu fakta berdasarkan apa yang diberitahu kepada saya oleh seorang yang yang saya percaya adalah benar. Sekiranya fakta itu salah, saya bukan berbohong. Saya membuat kesilapan fakta. Apa yang perlu dilakukan oleh Lim Guan Eng adalah untuk mengatakan bahawa apa yang saya katakan itu adalah salah dan memberikan fakta yang betul. Saya akan menerima kenyataannya dan memohon maaf sama seperti yang saya lakukan berkaitan dengan Tun Dr. Mahathir empat tahun kemudian. Adalah amat mendukacitakan, seorang Ketua Menteri tidak tahu perbezaan antara berbohong dan membuat kesilapan fakta.

Memanggil saya “rasis” dan “pelampau” tidak membuktikan sama ada apa yang saya katakan adalah betul atau salah. Ia hanya menunjukkan tahap hujahnya.

Oleh sebab itu adalah kritikannya terhadap saya yang pertama dan terakhir yang saya tahu, walaupun ketika beliau menjadi Menteri Kewangan, sebanyak dua kali, saya mempersoalkan penggunaan Bahasa Mandarin sahaja olehnya dalam perkara-perkara rasmi, saya tidak akan berkata apa-apa lagi mengenainya.

Perkataan “rasis” yang dikatakan oleh Lim Guan Eng terhadap saya itu seolah-olah telah mengejutkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Dato’ Sri Gopal Sri Ram dari tidurnya selama 30 tahun.

Pada hari berikutnya, 24 Julai 2014, The Malaysian Insider melaporkan “Hamid revealed racial prejudice in a High Court judgment, says retired judge” (“Hamid mendedahkan prasangka kaum dalam penghakiman Mahkamah Tinggi, kata hakim bersara”.)

Laporan itu meneruskan:

“Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata beliau telah bersidang di Mahkamah Rayuan pada tahun 1996 yang menyaksikan keputusan Hamid dalam kes sivil yang menunjukkan prasangkanya.

Dalam kes itu, bank telah menuntut terhadap dua orang rakan kongsi perniagaan, seorang Melayu dan seorang India, yang telah menjamin satu pinjaman. Kedua-dua defendan bergantung pada pembelaan bahawa tandatangan mereka dipalsukan oleh pihak ketiga.

Sri Ram memberitahu The Malaysian Insider bahawa Hamid, yang telah menulis penghakiman dalam Bahasa Malaysia, menerima pembelaan oleh defendan Melayu kerana “sebagai seorang Muslim dia tidak akan berbohong”.

“Namun, beliau tidak menerima pembelaan defendan India itu. Bank dan defendan India itu merayu kepada Mahkamah Rayuan.”

Saya tidak ingat kes tersebut, jika ada, hampir tiga puluh tahun yang lalu, mengikut tarikh yang diberikan oleh Gopal Sri Ram, jika betul. Tunjukkan kepada saya penghakiman itu dan apa yang saya katakan, dalam bahasa Melayu. Hanya selepas itu baru saya akan dapat mejawabnya. Buat masa ini, atas anggapan apa yang dikatanya itu benar, saya hanya akan berkata seperti berikut:

Pertama, jangan cuba menggambarkan bahawa saya menulis penghakiman itu dalam bahasa Kebangsaan kerana saya rasis dan saya mempunyai sesuatu yang hendak disembunyikan. Pada masa itu, terdapat arahan Ketua Hakim Negara yang menghendaki hakim-hakim menulis penghakiman mereka dalam bahasa Kebangsaan dan bagi mereka yang tidak mahir bahasa Kebangsaan, sekurang-kurangnya satu sebulan. Saya tidak tahu sama ada Gopal Sri Ram mematuhi arahan itu.

Kedua, pernahkah beliau membaca dan memahami penghakiman yang ditulis dalam bahasa Kebangsaan?

Ketiga, saya menjadi hakim selama 18 tahun, menulis beratus-ratus penghakiman dan memutuskan beribu-ribu kes, tetapi beliau hanya dapat menyebut satu kes, samar-samar, 30 tahun kemudian, untuk menyokong tuduhan bahawa saya “rasias”. Adakah beliau tidak menemui kes-kes lain? Tunjukkan kepada saya satu aduan rasmi oleh mana-mana peguam atau Majlis Peguam atau sesiapa sahaja terhadap saya, mengenai apa saja, sepanjang tempoh saya menjadi hakim.

Keempat, beliau adalah ahli panel Mahkamah Rayuan yang mendengar rayuan itu. Mengapa Mahkamah Rayuan (atau beliau sendiri) tidak menulis suatu penghakiman yang mengatakan bahawa saya salah memberikan alasan seperti itu untuk menerima satu keterangan afidavit. Adalah kewajipan Mahkamah Rayuan untuk membetulkan kesilapan Mahkamah Tinggi. Saya, seorang hakim yang junior pada masa itu, akan mengetahui kesilapan saya, tiga abad lebih awal. Hakim-hakim lain juga akan mendapat manfaat daripadanya. Atau, mengapa beliau atau mana-mana ahli panel Mahkamah Rayuan itu tidak menelifon memberitahu saya bahawa saya salah. Saya akan berterima kasih kepada mereka kerana itu.

Gopal Sri Ram sendiri pergi ke Pulau Pinang untuk persidangan Mahkamah Rayuan. Malah, hakim-hakim itu menggunakan bilik saya dan bilik mahkamah saya ketika mereka berada di sana. Mengapa beliau tidak memberitahu saya berkenaan kesilapan saya itu? Sebaliknya, beliau memberitahu saya untuk tidak menulis penghakiman dalam bahasa ebangsaan “kerana orang tidak akan membacanya”.

Tambahan pula, apabila saya dipindahkan ke Kuala Lumpur pada tahun 1999, Ketua Hakim Negara, Tun Eusoff Chin memberitahu saya bahawa Gopal Sri Ram telah mengadu (complain) kepadanya bahawa saya tidak sopan kepadanya (kepada Tun Eusoff!) semasa saya di Pulau Pinang kerana saya duduk kaki atas kaki di hadapan Ketua Hakim Negara itu! Memandangkan semua itu, apakah motifnya membangkitkan isu ini hampir tiga abad kemudian? Adakah untuk mengajar seorang hakim junior atau memburukkan namanya selepas beliau bersara, atas alasan yang beliau (Gopal Sri Ram) sendiri lebih mengetahuinya? Adakah ia dilakukan dengan niat baik?

Pada 30 Julai 2014, Hornbill Unleash menyiarkan rencana “Muslim Cannot Tell Lies” (Orang Islam tidak boleh berbohong) yang ditulis oleh Ravinder Singh. Adalah jelas bahawa beliau menceduk apa yang dikatakan oleh Gopal Sri Ram enam hari sebelumnya dan “menghentam” saya. Tetapi, apa yang menarik ialah beliau menumpukan bahagian kedua rencana itu untuk mengkritik Tun Dr Mahathir kerana tidak bercakap benar. Saya percaya beliau juga adalah seorang peguam kerana beliau bercakap berkenaan “hearsay evidence”, walaupun di luar konteks tetapi nampaknya beliau tidak mengetahui makna perkataan “relevance”. Perhatikan bahawa pada masa itu Pakatan Harapan belum ditubuh!

No comments:

Post a Comment